
Mathias Winston ditemani Mira Dehim ketika terlantar di HUS, Kuching, Sarawak, semalam.
KUCHING 21 Jan. - Seperti kebiasaan, pemandu lori, Mathias Winston, 37, mandi di sebuah jeti kecil di Sungai Semada, Balai Ringin, kira-kira 40 kilometer dari pekan Serian semalam.
Namun pada petang itu, bukanlah hari biasa baginya apabila dia diserang buaya sepanjang enam meter ketika sedang mandi di sungai itu kira-kira pukul 6.30 petang.
Mujurlah dalam kejadian itu, Mathias hanya cedera di betis dan paha kiri selain tapak tangan akibat digigit haiwan ganas tersebut.
Menceritakan detik cemas itu, katanya, dia terasa 'sesuatu' menggigit betis kiri dan menariknya ke dalam sungai semasa sedang mandi.
Katanya, ketika kejadian, isterinya, Mira Dehim, 37, sedang memasak di dapur rumahnya yang terletak berdekatan.
"Sejurus itu, saya ternampak kelibat seekor buaya. Dalam keadaan cemas, saya terus memeluk dan mengilas kepala buaya itu.
"Saya juga menyiku kepala haiwan itu dengan sekuat hati sambil menepis ekornya yang cuba melibas," katanya sambil memberitahu insiden itu berlaku kira-kira 10 minit.
Katanya, mujurlah isterinya mendengar jeritan dirinya lalu bergegas ke jeti sebelum cuba menarik tangannya untuk keluar dari dalam sungai terbabit.
Tambahnya, buaya itu bagaimanapun tetap enggan melepaskan kakinya menyebabkan dia cuba membuka sekuat hati rahang haiwan tersebut.
"Usaha itu juga gagal lalu saya terfikir untuk mengorek matanya dan akhirnya barulah gigitannya terlepas.
"Saya anggarkan buaya itu sepanjang enam meter dan inilah pertama kali saya nampak dan diserang oleh buaya," katanya ketika ditemui pemberita di Hospital Umum Sarawak (HUS) di sini hari ini.
Katanya, dia percaya haiwan tersebut pernah menyerang bapa saudaranya ketika mandi di sungai itu dua tahun lalu serta sering muncul dan dilihat oleh penduduk kampung.
Tambah beliau, dalam serangan itu, bapa saudaranya juga terselamat apabila hanya cedera di rusuk.
Dalam pada itu, Mira yang masih terkejut berkata, dia tiba-tiba terdengar jeritan suaminya meminta tolong ketika sedang memasak.
"Sejurus sampai di jeti, saya menggeletar seluruh badan apabila lihat suami sedang diserang buaya.
"Saya ingat suami saya akan mati kerana buaya itu amat besar dan sedang menggigit kakinya selain menghempas badan beberapa kali," katanya.
Menurut Mira, dia terus menarik tangan Winston untuk keluar dari sungai namun buaya itu enggan mengalah malah menarik suaminya dengan kuat sehingga dia hampir terjatuh.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Serian, Deputi Supritendan Jamali Umi mengesahkan kejadian tersebut bagaimanapun belum mendapat laporan mengenai kejadian daripada mana-mana ahli keluarga mangsa.
Katanya, polis akan pergi ke tempat kejadian selepas menerima laporan dalam tempoh terdekat ini.