Search This Blog

Loading...

Thursday, January 21, 2010

Wanita maut tertimbus dalam sampah

2010/01/21 BACHOK: Seorang wanita maut selepas tertimbus di tapak pelupusan sampah Beris Lalang, dekat sini, dalam satu kejadian kira-kira jam 10.30 pagi tadi.

Mangsa, rohana Dollah, 44 dijumpai tertimbus sedalam dua meter pada jam 4.30 petang oleh anggota dari Balai bomba dan Penyelamat Bachok.

Penganggur dijatuhi hukuman gantung terhadap kesalahan bunuh

2010/01/21 SIBU: Seorang penganggur berusia 40 tahun dijatuhi hukuman gantung kerana kesalahan menikam mati seorang wanita di Lembangan Lane dekat Jalan Central di sini tiga tahun lalu.


Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Linton Albert menjatuhkan hukuman itu terhadap
Tiong Ing Soon selepas mendapati dia bersalah membunuh Soon Pek Lian, 28,
pada kira-kira jam 7.30 malam, 25 Ogos 2006.


Dalam kejadian pada 2006 itu Soon sedang menunggang motosikal dengan seorang
kawan wanita bersama anaknya sebelum diserang oleh Tiong ketika berhenti
untuk memeriksa tayar motosikalnya.

Tiong yang tiba-tiba muncul entah dari mana menikam Soon berulang kali di
bahagian dada dengan pisau yang baru dibeli yang berharga RM2.90.


Tiong turut menikam rakan Soon dan anaknya, namun kedua-dua mereka selamat
dalam serangan itu.

Dalam penghakimannya, Linton berkata, Tiong melakukan pembunuhan berdasarkan
kepada fakta bahawa Soon meninggal dunia disebabkan kecederaan akibat perbuatan
Tiong.

Tiong yang diwakili oleh peguam Louis Jarau semasa pembelaannya berkata
dia tidak menyedari apa yang dilakukannya pada hari kejadian.

Pihak pendakwaan memanggil 19 saksi sepanjang perbicaraan.-Bernama

Suami isteri rugi RM20 ribu rumah sewa terbakar

2010/01/21 KUANTAN: Sepasang suami isteri hari ini kerugian kira-kira RM20,000 selepas rumah teres dua tingkat yang disewa mereka di kawasan perumahan Bukit Setongkol, dekat sini terbakar.

Ketua Bahagian Siasatan Kebakaran, Jabatan Bomba dan Penyelamat Pahang,
Yusaimi Zulkifli berkata, pasukan bomba dan penyelamat Kuantan yang bergegas
selepas menerima laporan orang ramai mengenai kejadian itu kira-kira 9.30 pagi
dan berjaya mengawal kebakaran yang memusnahkan bahagian dapur rumah

itu.

"Anggota bomba mendapati kerosakan teruk pada bahagian dapur rumah yang
dianggarkan bernilai RM20,000 termasuk barang elektrik dan punca kebakaran masih
dalam siasatan," katanya ketika ditemui pemberita di sini.

Penyewa rumah itu, Nur Anis Amin,26, berkata beliau dan suami tiada di rumah

ketika kejadian kerana keluar bekerja, manakala anak lelakinya yang berumur lapan bulan di hantar ke pusat asuhan kanak-kanak.

"Saya dan suami bergegas pulang kira-kira 9.20 pagi sebaik menerima panggilan daripada jiran-jiran yang mengatakan rumah kami terbakar," katanya.

Sementara itu, jiran mangsa, Wan Shahrul Azmi Wan Rastam,27, berkata kebakaran itu berlaku ketika dia sedang tidur di dalam rumahnya sebelum terdengar bunyi letupan dan gegaran yang kuat.

"Apabila keluar melalui pintu belakang rumah saya dapati cermin tingkap
dapur rumah terbabit telah pecah dan api menjulang sehingga ke atap.

"Saya dan kira-kira 10 lelaki lain kemudian terpaksa mengangkat pintu pagar
belakang rumah itu untuk menyimbah air menggunakan baldi dan getah paip
sehinggalah bomba sampai," katanya. -Bernama

Jel 15 tahun kerana sehelai seluar

2010/01/21 KUANTAN: Seakan merindui suasana kehidupan di sebalik tirai besi, seorang bekas banduan masuk penjara untuk kali keempat apabila Mahkamah Sesyen, di sini, semalam, menjatuhkan hukuman 15 tahun dan 11 sebatan atas kesalahan merompak dan mencederakan mangsanya, Mac tahun lalu.

Tertuduh, Tengku Khairulrizan Shah Tengku Mabhar, 33, dari Felda Sungai Tekam, Jerantut, sebelum ini pernah dimasukkan ke Pusat Serenti Bukit Chabang, Perlis, selama dua tahun pada 16 April 2001 mengikut Seksyen 3(1) Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983.


Namun, sebaik tamat menjalani pemulihan di pusat serenti itu tertuduh dikenakan hukuman penjara 20 bulan dan satu sebatan di Penjara Penor, di sini, mengikut Seksyen 6 (2) akta sama kerana melanggar syarat tempoh pengawasan pada 9 Julai 2003.


Tertuduh yang juga penghidap HIV dan Hepatitis C kemudian dikenakan penjara sekali lagi selama setahun mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan kerana mencuri, 6 Disember 2006.


Bagaikan tidak serik, dia dihukum penjara lima bulan kerana menceroboh mengikut Seksyen 447 akta sama dan empat bulan serta denda RM3,000 kerana mencuri. Kedua-dua hukuman berjalan serentak pada 29 Oktober 2008.


Masih tidak insaf selepas tiga kali keluar masuk penjara, tertuduh baru dua minggu dibebaskan ditahan lagi kerana mencuri sehelai seluar jenama Camel Active pasar raya Parkson Ria di Kuantan Plaza, di sini, pada 18 Mac 2009.


Dalam kejadian jam 3.20 petang itu, tertuduh turut mencederakan dua pengawal keselamatan pasar raya berusia 54 dan 19 tahun dengan pisau ketika mangsa cuba menangkapnya.


Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan dan sabit kesalahan boleh didenda maksimum 20 tahun dan sebatan atau denda.

Gadis cinta terhalang terjun flet

2010/01/21 GEORGETOWN: Akibat percintaannya dihalang ibu bapa, seorang gadis nekad terjun dari balkoni rumahnya di Tingkat 14, Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) Taman Manggis, Jalan Zainal Abidin di sini, petang kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 7.30 malam itu, J Janaki, 14, menyelinap keluar melalui balkoni dapur dan terjun dari rumahnya.


Jurucakap polis berkata, mangsa yang sudah berhenti sekolah itu ditemui mati di tingkat bawah flet berkenaan akibat parah di kepala selain kedua-dua kakinya patah.


Katanya, mangsa dipercayai bertindak demikian selepas bertengkar dengan bapanya yang menghalang percintaannya dengan seorang pemuda berusia 16 tahun yang tinggal di kawasan perumahan sama.


“Keluarga mangsa menghalang ‘percintaan muda’ itu apatah lagi kekasih gadis itu masih remaja dan tidak mempunyai pekerjaan.


“Selepas mengetahui mangsa sering berjumpa kekasihnya, bapanya mengurungnya sejak beberapa hari lalu, tetapi perhubungan mereka berterusan melalui telefon bimbit yang baru saja dibelikan kekasih Janaki,” katanya.


Bagaimanapun, pada hari kejadian, bapa mangsa menemui telefon bimbit yang digunakan secara bersembunyi itu dan melihat sistem pesanan ringkas (SMS) yang berunsur luahan cinta dihantar kekasih anaknya.


Katanya, bapanya dipercayai mencukur kepala mangsa hingga botak dan dikurung dalam rumah.


Bapa mangsa Jayabalan, 50-an, berkata keluarganya menghalang percintaan Janaki kerana dia masih terlalu muda dan ia tidak dapat menjamin masa depan berikutan usia kekasihnya juga masih di bawah umur dan tidak mempunyai pekerjaan tetap.



Kongsi artikel ini menerusi media sosial


Kongsi Artikel | Facebook MySpace Google Twitter

'Ayah bohong'

Oleh Rashidi Karim
am@hmetro.com.my
2010/01/21 KANGAR: “Apa yang bapa (Abdul Rahman Talib) cakap semua bohong. Dia tidak pernah menjalani rawatan jantung dan perbuatannya mereka-reka cerita berkenaan semata-mata untuk meraih simpati masyarakat,” tegas Suhari Abdul Rahman, 28, yang didakwa membuang bapa kandungnya.

Menurutnya, dia dan isteri, Noraiza Ayub, 32, tidak pernah menghalau bapanya keluar dari rumahnya di Rancangan Perumahan Awam (RPA) Beseri, dekat sini, sebaliknya Abdul Rahman sukarela keluar dan berhasrat menetap berasingan daripada keluarganya.


Katanya, mereka tidak pernah melihat kesan parut pada dada atau bahagian lain di tubuh badan bapanya berikutan pembedahan jantung yang didakwa dilakukan sebelum ini.


“Selalunya jika seseorang menjalani pembedahan jantung akan meninggalkan parut, tapi saya dan isteri tak pernah melihat kesan terbabit selepas dia pulang ke rumah pada 7 Januari lalu.


“Bapa selalu mereka-reka cerita untuk menarik simpati masyarakat dan kami tak pernah menghalaunya, malah makan dan minum dia di sini sentiasa dijaga,” katanya sambil ditemani isterinya ketika ditemui di rumahnya, semalam.


Pada 13 Januari lalu, Harian Metro melaporkan seorang bapa yang baru menjalani pembedahan jantung, berlinangan air mata selepas dibuang anak sendiri bersama bungkusan pakaian di pondok bas berhadapan Sekolah Kebangsaan (SK) Datuk Wan Ahmad di sini.


Kejadian menyedihkan itu berlaku pada petang 8 Januari, sejurus Abdul Rahman mendakwa keluar dari Hospital Pulau Pinang (HPP) selepas menjalani pembedahan jantung, menjejak kaki di rumah anak lelakinya di RPA Beseri.


Anak lelakinya itu dikatakan mendapat tekanan daripada isterinya dan enggan menerima semula kehadiran bapa kandungnya dengan memberi pelbagai alasan tidak munasabah serta meminta warga emas itu menyatakan tempat untuk dituju.


Abdul Rahman diselamatkan pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebelum ditempatkan di Rumah Orang Tua-Tua Batu Bertangkup, Chuping, dekat sini, selepas laporan akhbar ini.


Suhari berkata, dia tetap memaafkan perbuatan bapanya walaupun kenyataannya sebelum ini lebih berunsur fitnah dan cuba mengaibkan keluarganya, terutama isteri.


“Lagi pula, pampasan bagi pengambilan rumah di Kampung Belat Batu, Arau bukan kepunyaan bapa, sebaliknya sumbangan bapa saudara saya, Abdul Rahman Rejab. Rumah terbabit diambil kerajaan untuk projek dan pampasan digunakan untuk membeli rumah RPA ini,” katanya.


Noraiza pula sedih apabila dia dikaitkan punca Abdul Rahman dibuang anaknya sendiri dan sempat menghubungi bapa mentuanya bagi menyatakan rasa tak puas hati pada 16 Januari lalu.


“Bapa mentua cuba menganiaya saya dengan mereka pelbagai cerita karut untuk menagih simpati masyarakat dan saya malu dengan perbuatannya,” katanya.


Sementara itu, Abdul Rahman ketika ditemui semalam mendakwa, menantunya bukan saja mengabaikan makan dan minum, malah mengaibkannya dengan mendakwa dia cuba mencabul menantunya.


“Saya tak akan memaafkan perbuatan Noraiza di dunia dan akhirat, tapi memaafkan perbuatan Suhairi yang saya lihat lebih menuruti kehendak isteri. Saya pergi sendiri ke Hospital Pulau Pinang untuk menjalani rawatan jantung dan bertarung maut di sana selama empat hari.


“Saya juga berkali-kali meminta dia (Noraiza) mengangkat sumpah di masjid serta membuat laporan polis berikutan dakwaan dicabul. Dia cuba mempengaruhi Suhairi dengan dakwaan terbabit bertujuan menghalau saya keluar dari rumah berkenaan,” katanya sambil memegang surah Yassin bagi menyatakan dia tidak pernah melakukan perbuatan cabul terhadap menantu.


Abdul Rahman mendakwa terpaksa berkerja keras ketika menetap bersama anaknya di RPA Beseri termasuk setiap pagi berbasikal membeli keperluan perniagaan Suhairi yang berniaga sate serta memasak untuk keperluan dirinya memandang anak dan menantunya kerap bangun lewat.


Abdul Rahman berkata, dia keluar dari rumah berkenaan apabila diarah menantu dan ketika itu, Suhari yang tidur terpaksa bangun untuk membawanya keluar sebelum ditinggalkan di pondok bas.


Sementara itu, seorang pegawai JKM pula mengesahkan Abdul Rahman pernah menjalani rawatan jantung iaitu menerusi teknik Angiogramme di Hospital Pulau Pinang dan dibenarkan keluar dari wad pada 7 Januari lalu.


Seorang jiran di RPA Beseri pula berkata, Abdul Rahman seorang pendiam dan dilihat keluar dari rumah setiap pagi untuk membeli keperluan dapur dan memasak di rumah.


“Kami sedih apabila lihat pak cik (Abdul Rahman) pulang berjalan seorang diri sambil memegang dada selepas menjalani rawatan jantung di Pulau Pinang,” katanya.


Katanya, dia dan rakan pernah menasihati Noraiza yang sebelum ini kerap menyatakan dia cuba dicabul mentua membuat laporan polis dan bersumpah di masjid, tetapi dia enggan.

Teman wanita baru tahu

2010/01/21 KOTA BHARU: “Saya tidak menyangka cincin pemberian teman wanita ini menyebabkan saya terpaksa menempuh detik cemas di hospital.

“Namun, saya bersyukur kerana cincin itu berjaya dipotong,” kata penuntut Politeknik Kota Bharu (PKB), Mohd Muhaimin Mohd Izani, 21, yang lega selepas cincin aloi yang terlekat pada jari kelengkeng hingga menyebabkan ia bengkak, berjaya dipotong petang kelmarin.


Mohd Muhaimin berkata, ketika itu dia turut bimbang kemungkinan jarinya terpaksa dibedah sekiranya cincin itu gagal dipotong.


Katanya, dia bersyukur kerana jarinya diselamatkan apabila doktor menggunakan alatan lebih canggih untuk memotong cincin berkenaan di dalam bilik pembedahan.


“Walaupun dibius, namun saya dapat merasai kesan panas sambil melihat mata gergaji khas yang digunakan untuk memotong cincin seterusnya menyelamatkan jari saya,” katanya ketika ditemui, sejurus dibenarkan pulang dari Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) petang semalam.


Selain itu, Mohd Muhaimin berkata teman wanita yang menghadiahkan cincin terbabit turut melawatnya pagi semalam, selepas terbaca akhbar.

Ibu melintas jalan maut

2010/01/21 YAN: “Arwah mak tidak menunjukkan sebarang sikap pelik, malah sebelum kejadian itu, mak keluar rumah seperti biasa dan dia lebih suka menaiki basikal untuk ke tempat kerja dan tidak mahu menyusahkan sesiapa,” kata Siti Fatimah Awang, 22, anak bongsu Azizah Ramli, 68, yang maut dalam kemalangan di Kilometer 24.2 Jalan Alor Star-Sungai Petani, pagi kelmarin.

Dalam kejadian jam 7.20 pagi itu, mangsa yang menaiki basikal hendak melintas di jalan berkenaan untuk ke tempat kerja di sebuah sekolah di sini, sebelum terbabit kemalangan dengan sebuah motosikal dan kereta.


Difahamkan, mangsa yang bekerja sebagai tukang masak di sekolah berkenaan sejak beberapa bulan lalu lebih suka menaiki basikal kerana sudah biasa sejak beberapa tahun lalu.

Wanita bawa dadah RM2 juta

2010/01/21 KUALA LUMPUR: Seorang wanita warga Malaysia yang membawa pelbagai dadah, termasuk bahan membuat pil khayal ditahan pihak berkuasa Indonesia selepas mesin pengimbas mengesan objek mencurigakan dalam bagasi dibawanya.

Wanita berusia 45 tahun itu ditahan di Pelabuhan Karimun, Tanjung Balai, Kepulauan Riau, Indonesia kelmarin selepas dipercayai cuba menyeludup pelbagai jenis dadah dianggarkan bernilai RM2 juta ke republik itu. Sebelum itu, suspek tiba dari Pelabuhan Kukup, Pontian menggunakan bot ekspres, MV Marina Baru 5, namun ‘tersangkut’ apabila mesin pengimbas mengesan objek mencurigakan dalam bagasinya.

Dua nahas angkara lori pasir pancit



2010/01/21 BUKIT BERUNTUNG: Seorang penunggang cedera parah selepas motosikal ditungganginya merempuh sebuah lori di Kilometer 427 Lebuhraya Utara-Selatan arah utara berdekatan Plaza Tol Bukit Beruntung di sini, malam kelmarin.

REMUK...keadaan lori muatan barangan yang terbabit dalam nahas, semalam.
TRAGEDI...orang ramai membantu mengangkat motosikal mangsa. Pemandu lori berkenaan, Kamaruzaman Ahmad, 36, berkata lori dipandunya tiba-tiba bocor menyebabkan dia menggunakan laluan paling kiri sebelum tiba-tiba dirempuh sebuah lori membawa muatan barangan runcit.

Katanya, ketika sedang memeriksa kejadian itu, tiba-tiba sebuah motosikal ditunggang seorang lelaki merempuh belakang sebuah lori yang sebelum itu merempuh lorinya.


Menurutnya, selepas melihat penunggang itu terjatuh dan cedera parah, dia nekad mengambil langkah keselamatan dengan melambai kepada pemandu lain agar tidak melanggar mangsa yang ketika itu tercampak ke laluan paling kanan lebuh raya.

Katanya, mangsa dihantar ke Hospital Sungai Buloh (HSB) untuk rawatan lanjut.

Sementara itu, pemandu sebuah lagi lori, Yap Guan Teh, 51, berkata, ketika kejadian dia dalam perjalanan dari Ipoh ke Kuala Lumpur membawa muatan barangan untuk dihantar kepada pelanggan. Katanya, dia tidak menyedari ada lori yang dipandu perlahan tanpa isyarat kecemasan di selekoh yang gelap itu. “Saya cuba elak lori pasir itu dan mahu ke lorong tengah, tetapi tidak gagal kerana banyak kenderaan laju mengekori di belakang. “Lori saya remuk di hadapan dan sebelah pintu kiri, namun saya bersyukur kerana tidak cedera,” katanya. Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintendan Norel Azmi Yahya Affandi ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu.

MB hilang jawatan ketua bahagian

Oleh AZIAN AZIZ
pengarang@utusan.com.my

KUALA SELANGOR 20 Jan. - Parti Keadilan Rakyat (PKR) Bahagian Kuala Selangor yang diketuai Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dibubarkan setelah 13 ahli jawatankuasanya (AJK) meletak jawatan.

Kesemua 13 AJK berkenaan termasuk Ketua Angkatan Muda (AMK), Nazaruddin Darmawan dan Ketua Wanita, Fauziah Sulaiman meletak jawatan secara berperingkat bermula November lalu hingga kelmarin.

Mereka bertindak demikian kerana hilang kepercayaan terhadap Abdul Khalid yang juga Pengerusi Perhubungan PKR Selangor.

Pengumuman pembubaran PKR Bahagian Kuala Selangor itu dibuat oleh Timbalan Ketua bahagian itu, Arshad Abu Bakar (gambar) di sini hari ini.

Dengan pengumuman itu, bermakna Abdul Khalid hilang jawatan Ketua Bahagian sehingga pemilihan baru diadakan yang dijangka pada Mac ini.

Arshad pada sidang akhbar juga berkata, pembubaran itu dibuat kerana AJK bahagian itu yang dipilih pada Mesyuarat Agung Tahunan Bahagian 2007 (untuk sesi 2007-2010) kini hanya tinggal tiga orang.

Beliau berkata, ia selaras dengan Artikel 25.7 (Pindaan 25.9) Perlembagaan PKR iaitu jika dua pertiga daripada AJK bahagian berhenti serentak, Majlis Pimpinan Pusat hendaklah mengadakan mesyuarat agung khas untuk melantik semula AJK baru.

''Kita mempunyai 30 AJK bahagian. Mereka yang dipilih dan mempunyai kuasa hanya 20 orang manakala 10 lagi adalah lantikan.

"Sekarang 13 daripada 20 yang dipilih telah meletak jawatan, dua lagi meninggal dunia, seorang keluar parti (Azmi Mohamad) dan seorang lagi dipecat (Ketua Penerangan, Ibrahim Mahidin). Jadi, yang tinggal hanya tiga orang iaitu saya, Abdul Khalid serta seorang AJK iaitu Faridah Abdul Rahman. Mengikut Perlembagaan PKR, bahagian ini boleh dibubarkan kerana tidak cukup ahli," katanya.

Menurut Arshad, peletakan jawatan beramai-ramai dibuat kerana AJK telah hilang kepercayaan dan kecewa dengan kepimpinan Abdul Khalid yang tidak menjalankan tanggungjawabnya sebagai ketua.

Jelasnya, AJK bahagian juga berasa terpinggir dan diabaikan kerana sejak 14 bulan lalu, tiada mesyuarat diadakan menyebabkan aktiviti dan gerak kerja tidak dapat dilakukan.

Malah dakwanya, PKR Bahagian Kuala Selangor tidak mempunyai pejabat pentadbiran sendiri sebaliknya menggunakan kemudahan Pejabat Kerja Menteri Besar di Pekan Ijok yang dibiayai oleh kerajaan negeri.

"Abdul Khalid juga mula mewujudkan jurang dan tidak percayakan AJK yang dilantik, bersikap diktator, angkuh, membawa gaya pentadbiran autokrasi dan langsung tidak mengambil inisiatif untuk memperkukuhkan parti walaupun ada ahli keluar parti.

"Segala pengorbanan, tenaga dan penat lelah AJK di awal penubuhan parti sehingga berjaya merampas Selangor daripada Barisan Nasional (BN) juga tidak dihargai. Ini bukan rintihan kami sebagai AJK sahaja malah juga sebagai penyokong PKR," kata beliau.

Sehubungan itu kata Arshad, pembubaran itu diharap dapat mengubah kepimpinan bahagian tanpa Abdul Khalid.

Mantik berubah sikap sebelum lari

SHAH ALAM 20 Jan. - Seorang perunding hartanah memberitahu bahawa pembantu rumahnya, Mantik Hani berubah sikap serta enggan mendengar arahan selepas beberapa kali dilihat berbual dengan seorang lelaki sebelum melarikan diri pada 17 September tahun lalu.

Bekas majikan Mantik, Puah Hooi Sueew, 53, berkata, sikap suka melawan dan mempersoalkan setiap arahan berbeza dengan sikap wanita itu yang taat kepadanya sejak dia mula berkerja pada Februari 2005.

"Pada satu hari, saya mendapati dia lari begitu sahaja. Saya tidak tahu mengapa kerana pada pagi itu saya ada memberitahu Mantik bahawa saya akan membelikannya pakaian baru untuk hari raya.

"Semasa dia tinggalkan rumah, keadaan fizikalnya baik, tidak ada lebam, tidak ada luka. Saya tidak tahu ke mana dia pergi dan saya tidak pernah berjumpanya lagi sehinggalah saya mendapat tahu dia telah mati," katanya.

Dia berkata demikian ketika menjawab soalan Timbalan Pendakwa Raya, Mohd. Dusuki Mokhtar di Mahkamah Tinggi di sini hari ini dalam kes terhadap penjual air tebu, A. Murugan, 35, yang didakwa membunuh Mantik, 36.

Dia didakwa melakukan perbuatan itu di rumahnya di No. 11, Jalan Datuk Yusof Shahbudin 6, Taman Sentosa, Klang dekat sini antara 18 dan 20 Oktober tahun lalu.

Rayuan kes pikat Daphne disebut 19 Feb.

KUALA LUMPUR 20 Jan. - Mahkamah Tinggi di sini menetapkan 19 Februari ini untuk sebutan semula rayuan seorang pengarah urusan sebuah syarikat yang didakwa memikat model dan pengacara, Daphne Iking ketika dia masih isteri orang.

Hakim Datuk Mohd. Sofian Tan Sri Abd. Razak menetapkan tarikh itu selepas peguam Akbardin Abdul Kader yang mewakili Darren Choy Khin Ming selaku perayu memaklumkan bahawa rekod rayuan yang disediakan masih belum lengkap.

Pada 26 Ogos tahun lalu, Darren, 44, memfailkan rayuan bagi mengetepikan keputusan Majistret Mohd. Faizi Che Abu yang menolak permohonannya agar perbicaraan kes saman peribadi itu didengar oleh majistret lain.

Tujuan Darren mengemukakan rayuan itu untuk mengelakkan sebarang prejudis.

Ini kerana lelaki itu mendakwa, Mohd. Faizi pada Ogos tahun lalu telah membenarkan suami Daphne ketika itu, Ryan Chong Yiing Yih, 31, untuk mengemukakan saman peribadi terhadapnya.

Kebenaran diberikan setelah pihak pendakwa memutuskan untuk tidak meneruskan pendakwaan ke atas Darren atas alasan ia membabitkan masalah rumah tangga.

Sebelum ini, Mahkamah Majistret menggantung prosiding perbicaraan kes saman peribadi itu selepas membenarkan permohonan Darren untuk merujuk tujuh soalan perlembagaan ke Mahkamah Tinggi.

Ia bagi menentukan sama ada prosiding saman peribadi terhadap dirinya (Darren) sah di sisi perlembagaan yang akan menyentuh isu diskriminasi gender di bawah Artikel 8(1) dan 8(2) Perlembagaan Persekutuan serta Seksyen 498 Kanun Keseksaan.

Darren dipercayai individu pertama yang didakwa mengikut Seksyen 498 Kanun Keseksaan kerana dituduh memikat atau membawa pergi Daphne, 31, anak kelahiran Kota Kinabalu, Sabah yang ketika itu masih menjadi isteri Ryan, dengan niat untuk membolehkannya melakukan persetubuhan yang ditegah.

Akhir tahun lalu, Daphne mengesahkan dia dan Ryan telah bercerai secara rasmi. Pasangan itu mempunyai seorang anak perempuan, Isobel, 2.

Kartika sah bercerai talak satu

KUALA KANGSAR 20 Jan. - Bekas model sambilan yang dijatuhi hukuman sebat atas kesalahan minum arak di khalayak ramai, Kartika Sari Dewi Shukarnor (gambar) hari ini sah bercerai talak satu dengan suaminya, Mohamad Afandi Amir.

Hakim Mahkamah Rendah Syariah, Burhanuddin Ismi Adam membuat ketetapan itu selepas berpuas hati dengan lafaz berbunyi 'aku ceraikan kamu' yang disebut Mohamad Afandi, 39, kira-kira pukul 1 petang di rumah mereka di Singapura pada pertengahan Oktober 2008.

Beliau bagaimanapun menegur pasangan tersebut yang mengambil masa terlalu lama iaitu sehingga lebih setahun untuk melaporkannya kepada Mahkamah Syariah.

Terdahulu, timbul keraguan apabila Mohamad Afandi yang bertugas di sebuah firma teknologi maklumat (IT) di Singapura dalam keterangannya memberitahu bahawa dia telah melafazkan cerai sebanyak dua kali terhadap Kartika, 33.

Menurutnya, dia mengulangi lafaz cerai pada 10 Februari 2009 setelah was-was dengan lafaz pertama yang dibuatnya kira-kira empat bulan sebelum itu.

Bagaimanapun Burhanuddin memutuskan Kartika dan pasangannya itu cuma bercerai talak satu memandangkan lafaz cerai kedua dilakukan selepas tempoh idah tamat.

''Berdasarkan keterangan plaintif (Kartika), tempoh idah dia telah tamat pada 16 atau 17 Januari 2009 iaitu selepas tiga kali suci.

''Lafaz cerai kedua dibuat defendan (Mohamad Afandi) pada 10 Februari 2009 tidak sah kerana ketika itu mereka bukan lagi pasangan suami isteri,'' katanya.

Sementara itu, Mohamad Afandi yang memakai kemeja berwarna hijau ketika ditemui mengakui rumah tangga mereka bergolak sehingga tidak dapat diselamatkan berikutan tuduhan minum arak yang dihadapi oleh Kartika.

Namun katanya, dia masih menaruh harapan agar hubungan yang terputus itu dapat disambung semula jika segala-galanya telah kembali tenang.

''Saya akui sudah silap langkah. Sekiranya keadaan sudah jernih semula harap masih terbuka peluang untuk bersama dengan dia,'' katanya.

Kartika yang berbaju kurung warna biru hitam pula berkata, dia dan bekas suami sepakat membenarkan kedua-dua anak mereka terus berada di bawah penjagaannya yang kini menetap di Kampung Jawang, Karai dekat sini.

Pada 11 Julai 2008, Kartika ditahan pihak berkuasa ketika minum arak di sebuah resort di Cherating dan selepas mengaku bersalah, Mahkamah Tinggi Syariah Kuantan menjatuhkan hukuman denda RM5,000 dan sebatan enam kali terhadapnya.

Hukuman sebatan itu masih tertangguh sehingga kini.

Tidak mengapa, pasti ada hikmahnya - Mohd. Saiful Bukhari

KUALA LUMPUR 20 Jan. - "Tidak mengapa, pasti ada hikmahnya."

Itu reaksi Mohd. Saiful Bukhari Azlan, pengadu kes liwat Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim sebaik sahaja mengetahui mahkamah menangguhkan tarikh perbicaraan kes itu ke bulan depan.

"Saya akan terus berdoa, istiqamah dan sabar," katanya ringkas di dalam laman sosial Facebook bagi mengulas perkembangan terbaru kes liwat membabitkan dirinya itu.

Perbicaraan kes yang sepatutnya bermula di Mahkamah Tinggi di sini pada 25 Januari ini ditunda ke 2 Februari depan.

Ini ekoran Mahkamah Persekutuan yang mendengar rayuan Anwar bagi mendapatkan dokumen penting berhubung kes itu hanya dapat membuat keputusan pada 29 Januari ini.

Anwar sebelum ini memfailkan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Rayuan pada 6 November lalu yang membenarkan rayuan pendakwa raya untuk mengetepikan perintah Mahkamah Tinggi agar beliau dibekalkan dengan dokumen bagi tujuan penyediaan pembelaan terhadap kes liwat yang dihadapinya.

Ketua Pembangkang itu menghadapi tuduhan meliwat Mohd. Saiful Bukhari di Unit 11-5-1, Kondominium Desa Damansara, Jalan Setiakasih, Bukit Damansara, di sini, di antara pukul 3.01 petang dan 4.30 petang, 26 Jun 2008.

‘Jangan pandang hina keluarga kami’

Oleh MOHAMMAD YASIR JAAFAR
utusanN9@utusan.com.my

SEREMBAN 20 Jan. – “Tolonglah, jangan pandang hina keluarga kami. Kalau boleh mak cik ingin merayu agar Rasidi tidak dikenakan hukuman gantung.”

Begitulah rintihan seorang ibu, Zaharah Atan, 59, apabila anak lelakinya, Rasidi Ismail, 32, dituduh di mahkamah kerana membunuh empat sekeluarga dalam kejadian di Kampung Batang Rokan, Gemencheh, dua minggu lalu.

Dalam perbualan telefon selama 10 minit itu, suara Zaharah tersekat-sekat menahan sebak sekali gus menggambarkan perasaan seorang ibu terhadap anaknya meskipun sebesar mana dosa dilakukan.

Apatah lagi apabila menyaksikan sendiri Rasidi dihadapkan ke Mahkamah Majistret Rembau, semalam, dalam keadaan tangan bergari.

“Kalau boleh mak cik sendiri hendak merayu agar Rasidi tidak dikenakan hukuman gantung,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Dalam kejadian bunuh itu, seorang bekas imam, Atan Daud, 87, isterinya, Sufiah Katas, 80, menantunya, Ismail Awang, 76 dan cucunya, Siti Khadijah Ismail, 22 ditemui mati dalam keadaan mengerikan.

Mayat Atan ditemui putus tangan kanan, manakala isterinya, Sufiah putus tangan kiri. Ismail pula putus kepala dan Siti Khadijah ditemui dengan sebilah senjata tajam terpacak pada dadanya.

Rasidi yang merupakan suspek utama kes itu telah ditahan di atas jejambat berhampiran stesen transit aliran ringan (LRT) Masjid Jamek, Kuala Lumpur, kira-kira pukul 4.05 petang 6 Januari lalu.

Zaharah yang baru balik dari bekerja di sebuah kilang di rumahnya belum bersedia bertemu dengan wartawan apabila tragedi hitam dalam hidupnya itu masih segar dalam ingatannya.

“Harapan mak cik, biarlah Rasidi dibebaskan dan tidak dikenakan hukuman gantung. Mak cik sayangkan Rashidi.

“Mak cik mahu Rasidi pulang semula ke pangkuan keluarga. Mak cik sudah maafkan kesalahan yang dilakukannya itu,” ulang Zaharah lagi.

Kata Zaharah, dia tidak akan berhenti berdoa supaya Rashidi selamat dari hukuman yang berat itu.

“Mak cik tidak boleh melihat penderitaan Rasidi sekarang ini. Air mata mak cik akan terus mengalir bila melihat Rasidi digari dan ditangkap,” ujarnya.

Ditanya mengapa dia tidak mahu tinggal di rumah yang memalitkan tragedi hitam dalam hidupnya, Zaharah berkata, setiap kali matanya tertutup, wajah mereka yang dibunuh akan terus terbayang.

“Tragedi itu terlalu sukar untuk dilupakan,” ujarnya.

Mengenai anaknya Siti Mariam, individu pertama yang melihat pembunuhan itu, Zaharah berkata, dia lebih trauma daripadanya.

Ketika temu bual ini dicatatkan, Siti Mariam menyampuk dan berkata, “adik tidak mahu cakap apa-apa lagi dengan wartawan. Sudah tak tahu apa nak cakap lagi.”

Zaharah berkata, biarkanlah Siti Mariam bertenang seketika kerana mereka yang dibunuh itu merupakan individu yang amat rapat dengannya.

“Mak cik akan terus mendiami rumah sewa ini buat seketika sehingga keadaan reda,” katanya.

Pegawai Exco ditahan

Oleh ABDUL YAZID ALIAS
pengarang@utusan.com.my

SHAH ALAM 20 Jan. - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini menahan setiausaha sulit seorang Exco kerajaan negeri bagi membantu siasatan berhubung dakwaan rasuah melibatkan kelulusan kontrak perlombongan pasir dan lawatan ke China baru-baru ini.

Hussein Ahmad yang bertugas dengan Exco Pemodenan Pertanian, Pengurusan Sumber Alam dan Pembangunan Usahawan negeri, Yaakob Sapari ditahan dalam serbuan oleh lima pegawai SPRM di pejabatnya di tingkat 14, Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) pada pukul 11.15 pagi.

Hussein kemudian dibawa ke Ibu Pejabat SPRM, Putrajaya kira-kira pukul 3.30 petang ini.

Difahamkan, pegawai SPRM yang diketuai Penguasa Prem Raj Victor turut mengambil beberapa dokumen daripada pejabat Yaakob bagi membantu siasatan.

Sementara itu Yaakob memberitahu, pihaknya tidak mempunyai sebarang kuasa untuk meluluskan aktiviti perlombongan pasir di Selangor memandangkan ia di bawah tanggungjawab Kumpulan Semesta Sdn. Bhd. (KSSB).

Menurutnya, hanya KSSB yang boleh memproses permohonan aktiviti tersebut yang perlu dibentangkan dalam mesyuarat Exco kerajaan negeri.

Bagaimanapun beliau mengesahkan pegawai SPRM terbabit telah mengambil tiga dokumen yang mengandungi maklumat syarikat perlombongan pasir serta dokumen berkaitan lawatan ke negara China untuk tujuan siasatan.

Hussien telah dibawa ke Putrajaya sambil diiringi Yaakob serta peguam kerajaan negeri, Salim Bashir.

Dalam pada itu, Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim ketika diminta mengulas perkara itu memberitahu, pihaknya mengalu-alukan tindakan pegawai SPRM menjalankan siasatan terhadap pegawainya termasuk Exco kerajaan negeri.

Bagaimanapun beliau meminta suruhanjaya tersebut mematuhi prosedur yang ditetapkan untuk proses siasatan tersebut yang seharusnya dilakukan di pejabat kerajaan negeri dan pada waktu bekerja.

Malah katanya, kerajaan negeri juga akan turut menyediakan bantuan perundangan terhadap individu yang disoal siasat termasuk mendapatkan penasihat undang-undang sekiranya proses siasatan berkenan dilakukan di luar kawasan pejabat SUK dan melebihi waktu bekerja

Kilang dirompak rugi RM100,000

SHAH ALAM 20 Jan. - Sebuah kilang menghasilkan barangan elektronik di Telok Panglima Garang dekat sini kerugian kira-kira RM100,000 apabila lapan botol bahan kimia dan empat unit komputer riba dilarikan tiga penjenayah awal pagi kelmarin.

Bahan kimia yang mengandungi 'sianida gold' itu lazimnya digunakan untuk menyaring emas dan perak dalam industri penghasilan produk elektronik.

Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Supritendan Mohamad Radzi Ishak berkata, suspek dikatakan memecah masuk kilang itu kira-kira pukul 3 pagi sebelum mengikat dua pengawal keselamatan yang berada dalam pondok pengawal.

"Mereka yang bersenjatakan parang kemudian menggeledah pejabat pentadbiran kilang serta merosakkan CCTV (kamera litar tertutup) bagi mengelak wajah mereka dirakam.

"Mereka juga turut mencederakan seorang pekerja di kepala sebelum melarikan botol-botol bahan kimia dan beberapa barangan lain," katanya ketika dihubungi di sini semalam.

Menurut Mohamad Radzi, polis tidak menolak kejadian itu didalangi oleh orang dalam kerana hanya orang tertentu sahaja tahu mengenai nilai dan kegunaan bahan kimia tersebut.

Berikutan itu, polis melancarkan gerakan memburu kesemua suspek dan siasatan dilakukan mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan.

rakan ditahan edar dadah

rakan ditahan edar dadah
KUALA LUMPUR 20 Jan. - Tindakan tiga sahabat menjadikan sebuah rumah tumpangan di Jalan Petaling di sini sebagai lokasi mengedar dadah terbongkar apabila polis menyerbu premis itu, kelmarin.

Kesemua mereka yang berusia 37 hingga 49 tahun itu direman sehingga 25 Januari depan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik negeri, Asisten Komisioner Kang Chez Chiang berkata, berdasarkan maklumat awam, polis menyerbu premis tersebut kira-kira pukul 9.40 malam dan menahan tiga lelaki.

Menurut beliau, polis turut merampas 31 bungkusan dan 28 tiub serbuk putih dipercayai dadah jenis heroin serta lima tiub dadah disyaki syabu.

"Berdasarkan siasatan, kita mendapati rumah tumpangan itu dijadikan sebagai lokasi untuk mengedar dadah sejak dua bulan yang lalu," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Kesemua suspek, katanya, mempunyai empat hingga sembilan rekod jenayah termasuk dadah.

Pemeriksaan ujian air kencing juga katanya, mendapati kesemua mereka positif dadah.

Chez Chiang berkata, bekalan tersebut dipercayai untuk edaran tempatan.

Dadah: 2 penoreh getah ditahan

Oleh ZAINU'L AZHAR ASH'ARI
utusankedah@utusan.com.my



Abdul Aziz Ahmad (tengah) menunjukkan ganja yang dirampas daripada dua penoreh getah di Kampung Kubur Panjang, Pendang, kelmarin. - utusan/Halim Khalid

--------------------------------------------------------------------------------



PENDANG 20 Jan. - Polis menahan dua penoreh getah dan merampas dua peket dadah jenis heroin dan syabu di sebuah kebun getah di Kampung Kubur Panjang di sini malam semalam.

Penahanan kedua-dua lelaki itu kemudian membawa kepada rampasan sebuah kotak plastik yang mengandungi ganja seberat 627 gram, sebotol tin berisi tujuh straw serbuk heroin dan tiga peket heroin seberat 26.5 gram yang kesemuanya dianggarkan bernilai RM3,700.

Ketua Polis Daerah Pendang, Deputi Supritendan Abdul Aziz Ahmad memberitahu, kedua-dua lelaki berusia 44 dan 37 tahun itu ditahan sepasukan anggota polis yang diketuai Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pendang, Inspektor Mohd. Nazri Nordin kira-kira pukul 8 malam.

Menurut beliau, mereka ditahan di dalam sebuah kereta jenis Proton Iswara, dipercayai sedang menunggu pelanggan di dalam kebun getah tersebut.

Beliau berkata, sebuah lori lama yang diubah suai dalam kebun getah itu dipercayai menjadi pusat bagi para penagih dadah di kawasan itu melepaskan gian.

"Polis berjaya membongkar kegiatan kedua-dua lelaki tersebut hasil siasatan yang dijalankan sejak beberapa hari lalu," katanya pada sidang akhbar di pejabatnya di sini semalam.

Abdul Aziz memberitahu, hasil pemeriksaan ke atas salah seorang lelaki dipercayai pemandu kereta berkenaan, pihaknya menemui dua peket heroin dan syabu yang disorok dalam beg pinggangnya.

Katanya, ini membawa kepada pemeriksaan di dalam kereta yang menemui sebuah kotak plastik berisi daun-daun kering dipercayai ganja seberat 627 gram di belakang tempat duduk pemandu.

"Kita turut merampas wang tunai RM150 dipercayai hasil jualan dadah," katanya.

Abdul Aziz memberitahu, kedua-dua lelaki terbabit disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952. Mereka turut disiasat di bawah Seksyen 39A dan Seksyen 12 (2) akta yang sama.

Lelaki tua mati ditetak

IPOH 20 Jan. - Seorang warga emas yang lumpuh sebelah badan ditemui mati dengan kesan kecederaan di kepala, tangan dan tengkuk, dipercayai ditetak dengan benda tajam di Kampung Datuk Ahmad Said Tambahan II di sini hari ini.

Polis yang menerima maklumat berhubung kejadian itu daripada orang awam, menemui mayat S. Kanavathy, 53, dalam keadaan duduk dan berlumuran darah.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Azisman Alias berkata, mangsa dipercayai dibunuh semalam dan mayatnya dijumpai orang awam pukul 2 petang.

"Polis percaya mangsa mati akibat ditetak dengan objek tajam tetapi kita tidak menemui sebarang senjata.

"Mangsa tinggal seorang diri di bekas sebuah tokong Cina. Mayat mangsa yang cedera parah ditemui dalam keadaan duduk di atas kerusi malas dengan kepalanya tertunduk.

"Polis masih menyiasat punca kejadian dan tiada tangkapan dibuat setakat ini," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Sementara itu, abang mangsa, S. Shannumugam, 60 ketika ditemui berkata, adik lelakinya itu yang sudah berpisah dengan isterinya mempunyai lima orang anak dan baru sebulan tinggal di tokong tinggal tersebut.

Ujarnya, mangsa tidak bekerja dan lumpuh sebelah kiri badan selepas terbabit dalam kemalangan jalan raya 15 tahun lalu.

"Dia tidak boleh berjalan selepas kemalangan itu dan hanya mampu mengengsot.

"Kali terakhir saya jumpa dia, minggu lepas apabila dia datang ke rumah untuk meminjam duit sebanyak RM100. Duit itu dia nak gunakan untuk rawatan sakit belakang," katanya

Tony Eusoff, Diana Johor fail saman terhadap Gulatis

KUALA LUMPUR: Pelakon dan model, Tony Eusoff serta Diana Johor Zainal Abidin masing-masing memfailkan saman RM500,000 terhadap syarikat tekstil, Gulatis Exclusive Sdn Bhd kerana mendakwa mengggunakan gambar mereka untuk tujuan komersial tanpa pengetahuan dan kebenaran bertulis.

Mereka memfailkan saman itu jam 2.15 petang tadi di Pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi di sini, melalui firma guaman Tetuan Effande & Partners.

Loji kumbahan disedut untuk dapatkan semula pistol polis

KUALA LUMPUR: Loji Kumbahan Indah Water Taman Koperasi Polis, Sentul di sini terpaksa disedut bagi mendapatkan semula sepucuk pistol jenis .38 milik seorang anggota polis.

Difahamkan, pistol itu dicampak seorang penjenayah yang merampas senjata api itu daripada anggota polis terbabit dalam satu kejadian pergelutan kira-kira 5 petang semalam.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Wira Muhammad Sabtu Osman, ketika ditemui di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur di sini hari ini, mengesahkan pistol itu berjaya ditemui kira-kira jam 11.30 pagi ini.

Terdahulu, anggota peronda polis menahan seorang suspek yang dilihat dalam keadaan mencurigakan di KM 3.4 Lebuh Raya Duta-Ulu Kelang.

Namun, suspek itu merampas pistol tersebut sebelum melarikan diri dipercayai menaiki sebuah motosikal dan mencampakkan senjata api itu ke dalam loji berkenaan.

Suspek kemudian berjaya ditahan selepas itu. - Bernama

SPR kaji perluaskan hak undi pos

Oleh ZULKIFLI JALIL
pengarang@utusan.com.my

PUTRAJAYA 19 Jan. – Doktor, jururawat dan wartawan mungkin dipertimbang untuk dibenarkan mengundi secara pos pada pilihan raya umum akan datang.

Ia akan dibuat menerusi pindaan Peraturan-Peraturan Pilihan Raya (Perjalanan Pilihan Raya) 1981 yang sedang diteliti oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Pengerusi SPR, Tan Sri Abd. Aziz Mohd. Yusof berkata, pihaknya sedang meneliti untuk memperluaskan hak pengundi pos kepada mereka yang berada dalam perkhidmatan-perkhidmatan penting, yang sebelum ini terhad untuk anggota tentera dan polis.

“Kita sedang teliti dari segi bilangan mereka termasuk adakah mereka (dalam perkhidmatan penting) ini boleh bergilir-gilir untuk mengundi, misalnya di sebelah pagi separuh berbuat demikian dan pada sebelah petang separuh lagi.

“Pertimbangan ini adalah untuk mereka yang terlibat dalam urusan pilihan raya.

‘‘Jika ini dibenarkan, bermakna hak pengundi pos yang sebelum ini dikhususkan hanya untuk pasukan tentera, polis atau pegawai kerajaan yang bertugas di luar negara akan diperluaskan ke perkhidmatan penting lain,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Mengulas lanjut cadangan berkaitan pengundian pos, Abd. Aziz berkata, pihaknya juga sedang mempertimbangkan untuk menyediakan satu tempat pengundian yang sesuai kepada anggota tentera yang berkhidmat di perbatasan sekiranya jumlah yang terlibat ramai.

“Mengikut sistem pengundian pos sedia ada, pengundi kalangan anggota tentera dan polis ini boleh membawa pulang kertas undi itu ke rumah sebelum mengeposnya,” katanya.

Menurutnya, SPR juga sedang memikirkan untuk mengubah nama pengundi pos kepada pengundi awal.

“Mengikut perjalanan mengundi secara pos sekarang ini pun, mereka yang mengundi akan memasukkan kertas undi ke dalam sampul sebelum karungnya dibawa untuk penjumlahan undi.

‘‘Ini dilakukan semasa penjumlahan undi oleh pengundi berdaftar lain. Konsep pengundian pun kini bukan lagi secara pos, justeru eloklah diubah kepada pengundi awal,” katanya.

Majlis antara agama baik untuk bincang isu sensitif: Dr M

KUALA LUMPUR: Kewujudan sebuah majlis antara agama adalah lebih baik bagi membincangkan isu sensitif antara kumpulan agama berbeza daripada mengadakan protes jalanan, kata bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Beliau berkata isu sensitif tidak wajar dibincangkan di tempat awam.

"Akan sentiasa ada mereka yang tidak boleh bertolak ansur dan cara mereka berbincang adalah dengan merosakkan harta benda," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan ucaptama pada Persidangan Umum berkenaan Sokongan kepada Al-Quds, di sini hari ini.

Beliau mengulas mengenai cadangan beberapa pihak agar sebuah majlis antara agama diwujudkan sebagai saluran untuk membincangkan sebarang isu berkaitan agama.

Ditanya mengenai sama ada beliau berhasrat mengambil tindakan undang-undang terhadap Barry Wain yang menulis buku bertajuk " Malaysian Maverick: Mahathir in Turbulent Times", beliau berkata tindakan itu hanya membuang masa.

"Kita tidak akan mendapat sebarang kepuasan daripada tindakan itu. Ia hanya akan mengheret saya selama 20 tahun," katanya.

Antara lain, Wain, bekas editor pengurusan Asian Wall Street Journal, menulis bahawa Dr Mahathir telah membazirkan sehingga RM100 bilion sepanjang 22 tahun berkuasa.

"Ia sebuah buku hebat yang patut dibaca semua orang kerana sepanjang 22 tahun saya sebagai Perdana Menteri, saya langsung tidak melakukan apa-apa yang betul.

"Seluruh buku itu adalah mengenai kesilapan yang telah saya lakukan," katanya. - Bernama

Mahkamah sahkan lafaz cerai terhadap Kartika

KUALA KANGSAR: Mahkamah Rendah Syariah pagi ini mengesahkan lafaz cerai Muhammed Afandi Amir terhadap Kartika Sari Dewi Shukarnor yang dilafaz pada pertengahan Oktober 2008.

Hakim Syarie Burhanuddin Ismi Adam berkata Kartika jatuh talak satu dan kedua-dua mereka sudah tidak lagi suami isteri selepas Kartika tamat edah pada 17 Disember 2008.

Kartika adalah bekas model sambilan yang dijatuhi hukuman sebat atas kesalahan minum arak di Pahang.

Dua beradik antara 8 ditahan berhubung kes kebakaran gereja

KUALA LUMPUR: Dua beradik dan bapa saudara mereka antara lapan lelaki yang ditahan berhubung kes pembakaran gereja Metro Tabernacle Ag di Desa Melawati, Wangsa Maju di sini, baru-baru ini.

Mereka berumur antara 21 hingga 26 tahun ditahan di beberapa lokasi di sekitar Lembah Klang bermula petang semalam hingga pagi ini selepas 12 hari kejadian kebakaran gereja yang berlaku pada 8 Januari lalu.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Bakri Mohd Zinin, berkata suspek pertama ditahan di Hospital Kuala Lumpur petang semalam.

"Lelaki berusia 25 tahun itu ditahan 3.30 petang, ketika menerima rawatan di hospital tersebut berikutan kecederaan di bahagian dada dan tangannya akibat melecur," katanya kepada pemberita di Ibu pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur di sini hari ini.

Beliau berkata susulan daripada penahanan lelaki yang bekerja sebagai penghantar surat itu, polis kemudiannya menahan tujuh lagi lelaki di lokasi berasingan di sekitar Ampang, yang dipercayai mempunyai kaitan berhubung kes berkenaan.

"Mereka yang ditahan adalah dua beradik yang berumur 24 dan 25 tahun, seorang lagi bapa saudara kepada adik beradik tersebut yang berumur 26 tahun, manakala lima lagi adalah kawan mereka.

"Dengan penahanan kesemua mereka itu, kita percaya kes kebakaran gereja di Desa Melawati selesai dan kita sedang menjalankan siasatan rapi bagi membolehkan mereka yang terlibat didakwa di mahkamah," katanya.

Mohd Bakri berkata adik kepada suspek pertama yang ditahan turut mengalami kesan melecur di bahagian tangan kirinya dipercayai berikutan kejadian berkenaan.

"Kesemua mereka bekerja dengan syarikat swasta antaranya sebagai kerani, penghantar surat dan kerja pejabat.

"Mereka kini ditahan reman selama tujuh hari mulai hari ini dan kes disiasat di bawah Seksyen 436 Kanun Keseksaan yang boleh membawa hukuman maksimum 20 tahun penjara," katanya.

Beliau berkata semenjak kes pertama kebakaran gereja di Desa Melawati dan beberapa kawasan lain, polis telah menubuhkan satu pasukan khas bagi menyiasat kejadian itu.

Bagi kes gereja Metro Tabernacle Ag, katanya, polis Bukit Aman bekerjasama dengan polis Kuala Lumpur bagi menjalankan siasatan dan setakat ini polis tidak menemui kaitan kumpulan tersebut dengan pembakaran gereja lain yang berlaku di Lembah Klang.

"Kita minta orang ramai bersabar dan memberi peluang pada polis untuk menjalankan siasatan terperinci bagi membolehkan kita menghantar kertas siasatan kepada Peguam Negara untuk tindakan lanjut.

"Jangan cuba kaitkan kumpulan yang ditahan dengan pembakaran gereja-gereja lain," katanya.

Mohd Bakri juga turut menegaskan kepada orang ramai agar tidak mengambil tindakan sama dengan melakukan tindakan yang boleh menjejeskan ketenteraman negara, kaum dan agama. - Bernama

Peneroka Felda Kemahang dapat ganti rugi

PUTRAJAYA 19 Jan. – Seramai 354 penduduk Kemahang Tiga, Tanah Merah, Kelantan mendapat ‘durian runtuh’ RM11 juta setelah Mahkamah Persekutuan memerintahkan Felda membayar ganti rugi kerana melakukan penipuan terhadap sistem timbangan kelapa sawit.

Penantian sekumpulan peneroka itu bagi mendapat pembelaan setelah ditipu selama enam tahun bermula 1996 hingga 2002 berbaloi selepas mahkamah menolak permohonan Felda bagi mendapatkan kebenaran merayu.

Ia diputuskan panel tiga hakim diketuai Ketua Hakim Negara, Tun Zaki Tun Azmi yang bersidang bersama Hakim-Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Zulkefli Ahmad Makinudin dan Datuk Gopal Sri Ram.

Zaki ketika menolak permohonan Felda berpuas hati bahawa tiada persoalan undang-undang yang perlu diputuskan bagi membolehkan agensi itu diberikan kebenaran merayu.

Tiga didakwa lakukan oral seks

MELAKA 19 Jan. – Tiga sahabat yang bertugas di Jabatan Perangkaan Negeri mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tuduhan melakukan seks oral terhadap seorang wanita pada pertengahan tahun lalu.

Sulaiman Abdul Kadir, 30; Hezer Karsin, 25; dan Hamizan Wahit, 28, membuat pengakuan tersebut ketika pertuduhan masing-masing dibacakan secara berasingan.

Sulaiman didakwa melakukan seks oral terhadap wanita berusia 24 tahun itu di rumahnya di Rumah Awam Rumbia, dekat sini pada pukul 12.30 tengah malam, 2 Mei tahun lalu.

Dakwaan terhadapnya dibuat mengikut Seksyen 377B Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara 20 tahun dan sebatan jika sabit kesalahan.

Hakim Al Baishah Abd. Manan membenarkan lelaki itu dibebaskan secara ikat jamin RM8,000 dengan seorang penjamin dengan syarat tambahan tertuduh perlu melaporkan diri di Balai Polis Rumbia pada minggu pertama setiap bulan.

Di hadapan hakim yang sama, Hezer yang baru ditamatkan kontrak dengan jabatan tersebut didakwa bersubahat dengan Sulaiman melakukan perbuatan tersebut antara pukul 11.30 malam, 1 Mei dan 12.30 tengah malam, 2 Mei 2009 di tempat yang sama.

Dia dituduh mengikut Seksyen 109 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 377B Kanun Keseksaan.

Hezer juga didakwa atas satu lagi pertuduhan iaitu mencabul kehormatan mangsa pada pukul 11 malam, 1 Mei 2009 di dalam kereta jenis Proton Wira bernombor pendaftaran NBB6507 di Perindustrian Rumbia, dekat sini.

SPRM tahan 34 individu terbabit seludup pasir ke negara jiran

PUTRAJAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membongkar kes kecurian dan penyeludupan pasir ke negara jiran dan menahan 34 individu di seluruh negara sejak semalam.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Mohd Shukri Abdull, berkata tangkapan itu membabitkan 24 penjawat awam, lima orang awam, tiga pekerja swasta, seorang pegawai khas kepada ahli politik dan seorang setiausaha sulit kepada ahli politik.

"Sejak tahun lalu, SPRM menerima 410 maklumat berkaitan kes ini. Bertindak atas maklumat ini kita jalankan intipan, pemerhatian dan seterusnya siasatan dan hasilnya kita telah memulakan operasi minggu lalu," katanya pada sidang media di ibu pejabat SPRM di sini hari ini.

Mohd Shukri berkata, jumlah anggaran wang rasuah bagi kes itu melebihi RM280,000 dengan nilai suapan antara RM500 dan RM50,000 seorang.

"Ada kes-kes wang rasuah diterima secara bulanan dan terdapat tiga kes membabitkan rasuah seks," katanya.

Beliau berkata, pemberian rasuah itu dipercayai bagi tujuan memproses permohonan permit pasir, mempercepat permohonan permit pasir dan tidak mengambil tindakan terhadap individu yang membawa pasir keluar tanpa permit.

Ditanya negeri dan jabatan yang terbabit, Mohd Shukri berkata setakat ini beliau tidak boleh mendedahkannya kerana operasi dan siasatan masih berjalan.

Bagaimanapun, beliau berkata penjawat awam yang ditangkap adalah pegawai kanan atau ketua jabatan, pegawai sokongan dan profesional.

"Saya tidak dapat beri gambaran yang jelas berhubung tindakan yang akan datang. Cuma saya boleh katakan bahawa kita menjangkakan akan ada lagi beberapa tangkapan termasuk membabitkan jawatan yang lebih tinggi," katanya.

Ditanya sama ada melibatkan ahli politik, Mohd Shukri berkata: "Kita tidak dapat sebut. Tunggu, sabar dan lihat."

Mengulas tangkapan yang dibuat di sebuah negeri petang tadi berhubung kes itu, Mohd Shukri berkata ada cubaan menghalang individu tersebut untuk dibawa ke ibu pejabat SPRM.

Namun, katanya, individu tersebut berjaya dibawa ke SPRM untuk diambil kenyataannya selepas perbincangan dengan peguam individu tersebut kira-kira dua jam.

Beliau turut meminta orang ramai supaya memberi kerjasama kepada SPRM dalam usaha membanteras kes rasuah sebegini.

"Kita bertindak atas maklumat orang ramai. Tidak rugi bekerja dengan kita. Bila kita bertindak, SPRM bukan dapat apa-apa pun. Kita bantu banteras rasuah, negeri pula tidak hilang pendapatan," katanya.

Beliau berkata, sebahagian individu terbabit sudah dilepaskan selepas kenyataan mereka diambil manakala sebahagian lagi masih ditahan. - Bernama

Rasidi dituduh membunuh




Oleh MOHAMMAD YASIR JAAFAR
utusanN9@utusan.com.my



Zaharah Atan (kiri) sempat mengusap muka Rasidi Ismail yang menghadapi tuduhan membunuh empat ahli keluarganya di Mahkamah Majistret Rembau, semalam.

--------------------------------------------------------------------------------



REMBAU 19 Jan. – Kematian ngeri empat beranak termasuk seorang daripadanya dipenggal kepala genap dua minggu lalu telah mengheret seorang daripada ahli keluarga mangsa ke mahkamah hari ini.

Rasidi Ismail, 32, seorang penganggur dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini atas tuduhan membunuh adiknya, Siti Khadijah, 22; bapa, Ismail Awang, 76; nenek, Sufiah Katas, 80; dan datuk, Atan Daud, 87.

Dia didakwa membunuh Siti Khadijah di rumah No. 119 di Kampung Batang Rokan, Gemencheh di sini manakala tiga lagi mangsa didakwa dibunuh di sebuah rumah tidak bernombor di kampung yang sama antara pukul 7 pagi dan 11 pagi, 5 Januari lalu.

Dakwaan terhadap tertuduh mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati jika sabit kesalahan.

Di bawah seksyen tersebut, tertuduh tidak dibenarkan bebas dengan jaminan.

Rasidi kelihatan tenang dan menganggukkan kepala tanda faham selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Siti Nur Shafrida Hashim.

Tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh yang tidak diwakili peguam bela.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Masri Mohd. Daud.

Siti Nur Shafrida menetapkan 19 Februari ini sebutan semula kes tersebut di Mahkamah Majistret Tampin sementara menunggu laporan kimia.

Tertuduh yang memakai kemeja T dan seluar panjang biasa serta bergari kedua-dua belah tangannya tiba di mahkamah pada pukul 8.45 pagi dengan dikawal beberapa anggota polis.

Ibu tertuduh, Zaharah Atan, 59, serta seorang anak saudara lelaki turut hadir di mahkamah.

Selepas prosiding selesai, Zaharah dengan rasa hiba turut menghampiri Rasidi dan mengusap pipi anaknya yang ketika itu ditempatkan di dalam kereta polis.

Dalam kejadian bunuh tersebut, mayat Atan ditemui putus tangan kanan manakala isterinya, Sufiah putus tangan kiri.

Ismail pula putus kepala dan Siti Khadijah ditemui dengan sebilah senjata tajam masih terpacak di dadanya.

Tertuduh ditahan di jejambat berhampiran stesen transit aliran ringan (LRT) Masjid Jamek, Kuala Lumpur kira-kira pukul 4.05 petang 6 Januari lalu.

Tindakan tegas menanti penyeludup, penjual mercun

KUALA LUMPUR 19 Jan. - Kastam Diraja Malaysia (KDRM) akan mengambil tindakan tegas terhadap mereka yang cuba menyeludup dan menjual mercun serta bunga api sempena sambutan Tahun Baru Cina tidak lama lagi.

Malah, jabatan itu telah pun melancarkan operasi 'Ops Palang' di seluruh negara bagi membanteras penyeludupan barangan tersebut bermula 12 Januari lalu.

Timbalan Ketua Pengarah KDRM (Penguatkuasaan/Pematuhan), Datuk Mohamed Khalid Yusuf berkata, tindakan undang-undang akan turut diambil terhadap pemegang lesen menjual bunga api yang sah sekiranya mereka didapati melanggar syarat ditetapkan.

"KDRM kini akan meneruskan pemantauan bukan sahaja kepada pihak yang melakukan kegiatan penyeludupan haram, tetapi juga terhadap pihak yang sudah memiliki lesen sah untuk menjual bunga api.

"Terdapat segelintir pemegang lesen menjual bunga api dan mercun yang tidak memenuhi spesifikasi ditetapkan iaitu bunga api dan mercun berbahaya," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Pada 14 Januari lalu, KDRM merampas sebanyak tujuh tan mercun dan bunga api bernilai RM346,000 termasuk cukai di Kemaman, Terengganu.

Semalam pula, pelbagai jenis mercun dan bunga api bernilai RM20,000 ditemui di tapak pelupusan sampah, kira-kira 80 meter dari pintu sempadan Malaysia-Thailand di Padang Besar, Perlis.

Mohamed Khalid memberitahu, lebih 300 anggota dan pegawai penguat kuasa KDRM terlibat dalam operasi membanteras penyeludupan dan penjualan bahan larangan itu.

"Kami akan menggunakan beberapa strategi baru dalam operasi kali ini. Strategi yang digunakan biasanya berubah mengikut keadaan dan keperluan.

"Kebiasaannya, analisis mengenai trend penyeludupan mercun dan bunga api akan dibuat selepas perayaan berakhir berdasarkan statistik yang dikeluarkan," katanya yang enggan mengulas mengenai strategi yang diguna pakai dalam operasi kali ini.

Menurut beliau, berdasarkan trend kegiatan penyeludupan tahun lalu, kemasukan rokok mencatat rekod paling kritikal diikuti dengan minuman keras.

"Penyeludupan mercun dan bunga api pula hanya dilaporkan tinggi menjelang musim perayaan sahaja.

"Disebabkan musim perayaan akan tiba tidak lama lagi, kami beri amaran supaya orang ramai tidak terlibat dalam kegiatan penjualan dan penyeludupan barangan ini," tegasnya.

Kereta diubah suai jadi stesen minyak bergerak

PADANG BESAR 19 Jan. – Pelbagai taktik digunakan pihak tertentu untuk mengaut keuntungan daripada langkah kerajaan menguatkuasakan peraturan pembelian terhad petrol dan diesel di kalangan warga asing.

Di sempadan tanah air, kegiatan menyeludup dan menjual petrol serta diesel subsidi ke negara jiran, mendorong pemilik kereta mengubah suai kenderaan - menambah tangki tambahan di tempat duduk belakang.

Tangki yang dimuatkan dalam kereta jenis Ford Laser itu mampu memuatkan 1,000 liter petrol atau diesel pada satu-satu masa.

Pemilik kenderaan tersebut menjadikan keretanya sebagai stesen minyak bergerak untuk memasarkan bahan api berkenaan kepada pemilik kenderaan di negara jiran.

Helah itu dilakukan setelah kerajaan tidak lagi membenarkan mana-mana kenderaan asing yang ingin balik ke negara asal mereka mempunyai muatan tangki melebihi 20 liter minyak subsidi, mulai 9 Disember lalu.

Ketua Polis Daerah Padang Besar, Supritendan Che Man Md. Dros berkata, tindakan pemilik ‘stesen minyak bergerak’ itu bagaimanapun terbongkar apabila kereta tersebut ditemui ditinggalkan di sebuah stesen minyak di Titi Tinggi di sini semalam.

“Sepasukan polis yang membuat rondaan di sebuah stesen minyak di Titi Tinggi kira-kira pukul 12.10 malam itu, menghampiri sebuah kereta yang dalam keadaan mencurigakan.

“Menyedari kehadiran polis, pemandunya melarikan diri. Pemeriksaan mendapati kereta tersebut telah diubah suai dengan menyediakan tangki minyak tambahan,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Che Man tidak menolak kemungkinan kereta itu digunakan sebagai stesen minyak bergerak atau berfungsi menjadi kenderaan pemunggah bahan api ke stesen minyak haram bagi memenuhi permintaan pasaran gelap, khususnya pemilik kenderaan negara jiran.