
Oleh Mohd Sabran Md Sani
sab@hmetro.com.my
2010/01/18 KOTA BHARU: “Keputusan ini ganjil,” kata peguam syarie, Mohd Zaki Zainal Abidin berhubung keputusan Mahkamah Tinggi Syariah di sini, semalam membenarkan notis bantahan awal dikemukakan bekas Ketua Penerangan Dewan Pemuda Pas Kelantan, Dr Rosli Allani Abd Kadir, 35.
RAYUAN...Mohd Zaki dan Mohd Noor (kanan) berbincang mengenai kes mufarakah selepas mendapat keputusan daripada hakim.
Dalam penghakimannya, Hakim Syarie, Mohd Yusof Awang membenarkan permohonan Dr Rosli Allani dan isteri keduanya, Ilyani Mohd Noor, 30, membatalkan perintah mufarakah (dipisahkan) terhadap mereka.
Mohd Yusof yang meneliti notis permohonan dan hujahan peguam pemohon dan afidavit sokongan dikemukakan di mahkamah turut membatalkan perbicaraan kes induk dikemukakan Mohd Noor untuk membatalkan perkahwinan terbabit.
Sehubungan itu, Dr Rosli Allani (defendan pertama) dan Ilyani (defendan kedua) dibenarkan mendaftarkan perkahwinan mereka dilangsungkan di Kampung Bangsal Wakseng, Wilayah Pattani, Selatan Thailand, pada 22 Disember tahun lalu.
“Saya bersetuju dengan peguam pemohon bahawa kes membatalkan perkahwinan kedua-dua defendan tidak lagi praktikal diteruskan dan ia tidak bermakna lagi.
“Jika kes diteruskan, merugikan masa mahkamah kerana tuntutan plaintif terjawab selepas defendan mengesahkan berkahwin semula di Selatan Thailand,” kata Mohd Yusof memberikan alasan penghakimannya.
Beliau berkata, hujah peguam plaintif bahawa defendan pertama dan kedua mengemukakan bantahan awal untuk mengelak mereka dikenakan tindakan undang-undang, tidak dapat diterima.
“Dengan perkahwinan kedua di Wilayah Pattani, Selatan Thailand dan didaftarkan di mahkamah ini (Mahkamah Syariah Kota Bharu) menunjukkan pasangan terbabit membuat pengakuan perkahwinan mereka terdahulu tidak sah.
“Justeru itu, tuntutan plaintif (Mohd Noor) terjawab dalam keadaan dan realiti. Defendan pertama dan kedua sudah berkahwin semula di Pattani dan mengakui perkahwinan pertama tidak sah,” katanya.
Menurutnya, berdasarkan fakta kes, Mohd Noor menuntut kepada mahkamah untuk membatalkan perkahwinan menantu dan anak perempuannya itu.
“Mahkamah mendapati tarikh perkahwinan tidak sama seperti didaftarkan. Pernikahan itu (pertama) berlangsung di Masjid Lapangan Terbang Subang, Selangor dengan berwali hakim yang diragukan tanpa keizinan.
“Plaintif memohon supaya pasangan defendan diperintahkan mufarakah, manakala defendan yang diwakili peguam syarie, Mustafa Kamal Mat Hassan kemudian mengeluarkan notis bantahan awal terhadap Mohd Noor,” katanya.
Katanya, mahkamah mempunyai bidang kuasa untuk mendengar, mengacarakan dan memutuskan permohonan terbabit mengikut Seksyen 9 (2)(1) Enakmen Pentadbiran Mahkamah Syariah Negeri Kelantan 1982.
“Isu yang timbul di hadapan mahkamah ini, adakah permohonan difailkan defendan pertama dan kedua mempunyai alasan kukuh membolehkan mahkamah mendengar, mengacarakan dan memutuskannya,” katanya.