Search This Blog

Sunday, January 17, 2010

200,000 korban gempa di Haiti



PENDUDUK tempatan mencuri barangan dari sebuah kedai yang musnah dalam gempa bumi di Port-au-Prince, kelmarin.



Port-au-Prince musnah teruk, mangsa tinggal di khemah kaki lima

PORT-AU-PRINCE: Kira-kira 200,000 orang maut dalam gempa bumi yang memusnahkan Haiti dan tiga suku daripada ibu negaranya, Port-au-Prince, yang perlu dibangunkan semula, kata pihak berkuasa di negara Caribbean itu.

"Kami sudah mengumpulkan kira-kira 50,000 mayat. Kami menjangka ada sejumlah 100,000 hingga 200,000 mangsa terkorban, walaupun kami tidak mengetahui angka tepat," kata Menteri Dalam Negeri, Paul Antoine Bien-Aime.

Kira-kira 40,000 mayat sudah pun dikebumi dalam satu kubur, kata Setiausaha Negara bagi Keselamatan Awam, Aramick Louis. Sekiranya angka kematian itu tepat, maka gempa berukuran 7.0 magnitud itu yang melanda Haiti Selasa lalu antara 10 gempa paling dahsyat pernah dicatat.

Tiga hari selepas ia melanda, beberapa kumpulan perompak mula menjadikan mangsa gempa yang tinggal di khemah di kaki lima dan tepi jalan sebagai mangsa rompakan.

Presiden Rene Preval dan Perdana Menteri, Jean-Max Bellerive kini tinggal di ibu pejabat perundangan polis berhampiran lapangan terbang dan menyelaraskan bantuan kerajaan, di mana kebimbangan utama mereka adalah keadaan terdesak itu boleh bertukar menjadi ganas.

MANGSA gempa bumi di Haiti bergaduh berebut kotak makanan di sekitar Port-au-Prince, kelmarin.

"Saya tidak ada rumah, saya tidak ada telefon, inilah istana saya sekarang," kata presiden berkenaan, yang kehilangan rumah kerajaan dalam gempa itu.

"Kami kena pastikan ada minyak kenderaan, bagi membolehkan trak mengumpulkan mayat. Hospital juga penuh, dan terlebih pesakit," kata Preval.

Pihak berkuasa melaporkan beberapa kejadian kecurian dan kemarahan di kalangan mangsa terselamat kecewa kerana kelewatan bantuan.

Terdapat beberapa kejadian di mana mangsa terbabit mencuri atau bergaduh untuk mendapatkan makanan. Mereka terdesak, kerana berada dalam keadaan tiga hari tanpa makanan atau sebarang bantuan," kata Penolong Setiausaha Agung Pasukan Pengaman Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB), Alain Le Roy, yang turut kehilangan 36 daripada 9,000 anggota misinya apabila bangunan ibu pejabatnya runtuh dalam gempa itu.

Le Roy memberitahu PBS NewsHour bahawa keadaan masih terkawal sekarang, tetapi mengingatkan bahawa kelaparan boleh menyebabkan berlaku kekacauan jika bantuan tidak tiba dengan segera.

Pertubuhan Kesihatan Seluruh Amerika berkata, sekurang-kurangnya lapan hospital dan pusat kesihatan di Port-au-Prince runtuh atau musnah teruk dan tidak dapat beroperasi.

"Kami tiada bekalan. Kami perlu sarung tangan pembedahan, antibiotik, antiseptik, cecair pembunuh kuman. Kami tiada apa-apa. Malah air pun tidak ada. Ramai kanak-kanak kehausan dan kami tidak mempunyai air untuk diberikan kepada mereka," kata seorang doktor, Jean Dieudonne Occelien. – Reuters

Wanita bakar diri meninggal

NIBONG TEBAL 16 Jan - Seorang ibu yang bertindak membakar dirinya menggunakan petrol gara-gara kedegilan anak perempuannya enggan pulang ke rumah, 9 Januari lalu, meninggal dunia malam tadi.

Rosliana Rosli, 33, yang bekerja sebagai pembantu kedai meninggal dunia kira-kira pukul 8.30 malam, iaitu enam hari selepas menerima rawatan di Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar, Kedah.

Menurut suaminya, Marzuki Jamaluddin, 39, dia menerima panggilan daripada hospital kira-kira pukul 5.30 petang semalam dan memaklumkan isterinya yang melecur separuh badan semakin tenat.

"Tiga jam selepas itu, arwah meninggal. Arwah dimandi dan dikafankan di HSB.

"Saya bawa pulang jenazah pagi tadi sebelum disembahyangkan di Masjid Kampung Sungai Buaya pukul 9.30 pagi dan dikebumikan kira-kira setengah jam kemudian," katanya di sini hari ini.

Dalam kejadian tersebut, Rosliana bertindak membakar dirinya dipercayai selepas anak keduanya, Norhidayah Marzuki, 16, enggan pulang selepas tidur di rumah neneknya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Seberang Perai Selatan, Supritendan Shafien Mamat berkata, kes terbabit dianggap selesai dan mangsa disahkan meninggal dunia akibat melecur

242 penonton samseng jalanan ditahan

Oleh NURUL HUDA HASSAN
huda.hassan@utusan.com.my

PULAU PINANG 16 Jan. - Jika sebelum ini, polis hanya menahan samseng jalanan kerana melakukan aksi berbahaya di jalan raya, namun di Jalan Tunku Kudin di sini, seramai 242 orang penonton ditahan.

Kesemua mereka ditahan atas kesalahan kerana menyaksikan aksi-aksi berbahaya di jalan raya oleh lapan samseng jalanan pada pukul 11 malam tadi.

Mereka yang ditahan berusia dalam lingkungan 17 hingga 25 tahun termasuk lima daripadanya wanita.

Menurut Ketua Trafik negeri, Supritendan Wan Aziz Wan Husin, operasi tersebut juga melibatkan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Jabatan Alam Sekitar (JAS).

Katanya, hasil pemeriksaan tiga daripada lapan samseng jalanan terbabit didapati positif dadah jenis syabu.

Tambahnya, turut disita 39 buah motosikal kerana pemandunya tidak mempunyai lesen dan disiasat mengikut Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan (JPJ).

"Daripada 250 yang ditahan, lapan orang adalah samseng jalanan yang membuat 'pertunjukan' berbahaya.

"Sebanyak 129 saman juga dikeluarkan atas pelbagai kesalahan," katanya kepada Mingguan Malaysia ketika dihubungi di sini hari ini.

Tinjauan Mingguan Malaysia mendapati beberapa buah kereta peronda polis dan JPJ digunakan bagi mengelakkan mereka cuba melarikan diri.

Dalam operasi lebih lima jam itu, semua mereka yang ditahan diminta menolak sendiri motosikal mereka ke Ibu Pejabat Kontinjen Polis negeri.

Menurut Wan Aziz, operasi itu membabitkan seramai 69 pegawai dan anggota polis negeri selain JPJ (15 orang) dan JAS (sembilan).

"Dalam operasi itu, kita berjaya menemui sebuah motosikal dipercayai dicuri yang dilaporkan di Balai Polis Jelutong pada 2008," ujar beliau lagi.

Kontraktor mati selepas ditikam tujuh kali

JEMPOL 16 Jan. - Seorang kontraktor mati selepas ditikam bertubi-tubi oleh tiga lelaki ketika sedang makan di sebuah medan selera di Jalan Rompin-Bahau, dekat sini awal pagi tadi.

Mangsa, Abd. Murad Md. Yusuf, 41, meninggal dunia sebaik sahaja tiba di Hospital Seri Jempol, di sini akibat cedera parah di perut dan dada akibat ditikam dengan senjata tajam dipercayai pisau.

Ketua Polis negeri, Datuk Osman Salleh berkata, kejadian pada pukul 2 pagi itu dikatakan berpunca selepas berlaku pertengkaran antara mereka.

Katanya, mangsa dari Kampung Sepri Tengah, Kuala Klawang, Jelebu, kemudian ditikam tujuh kali.

"Polis mencari tiga suspek yang dipercayai telah melarikan diri dengan sebuah kereta jenis Honda berwarna putih," katanya dalam satu sidang akhbar di Seremban, hari ini.

Menurut Osman, polis menyiasat motif serangan tiga suspek berkenaan dan tujuan mangsa berada di kawasan itu.

Katanya, mayat mangsa dihantar ke Hospital Tuanku Ja'afar (HTJ), Seremban untuk dibedah siasat dan telah dituntut oleh keluarganya lewat petang ini.

"Orang ramai yang melihat kejadian itu diminta menghubungi polis bagi membantu siasatan dan mengenal pasti tiga penyerang berkenaan," katanya.

Sementara itu, di bilik mayat HTJ di Seremban, abang mangsa, Abd. Babji Md. Yusuf yang berusia lewat 40-an memberitahu, adiknya tersebut sudah berkahwin dan mempunyai dua anak.

"Arwah tidak mempunyai musuh dan rapat dengan semua saudara dan ahli keluarga. Saya tidak tahu mengapa adik saya dibunuh dengan kejam.

"Dia seorang yang baik dan jarang sekali memarahi orang lain," katanya.

Beliau berharap agar penyerang adiknya itu segera ditahan pihak berkuasa dan dihadapkan ke muka pengadilan.

Pelajar Aswara didakwa

MOHAMAD TASYRIF menutup muka ketika keluar dari Mahkamah Sesyen Petaling Jaya semalam.

KUALA LUMPUR - Hanya menulis ayat: 'Ke nak aku baling bom petrol di sana plak? harga boleh runding' menerusi laman sosial Facebook, seorang pelajar dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini semalam.

Pelajar Akademi Seni Budaya dan Warisan (Aswara) itu dihadapkan atas tuduhan menghantar komen berbentuk ancaman yang berkaitan dengan isu bakar gereja dan penggunaan kalimah Allah.

Tertuduh, Mohamad Tasyrif Tajudin, 25, hanya mengangguk kepala tanda memahami pertuduhan yang dibacakan di hadapan Majistret Ho Kwong Chin.

Namun, tiada sebarang pengakuan direkodkan daripada pelajar tahun pertama tersebut.

Pemilik stor beras bantu penyeludup

KHAIRI MOHAMAD
mohdkhairi.mohamad@kosmo.com.my

PEGAWAI PGA, Inspektor Mohd. Fazly Yaakob memeriksa sebahagian daripada 304 kampit beras seludup yang berjaya dirampas di Kampung Belukar, Pasir Mas semalam.

PASIR MAS - Akibat kemaruk untung, seorang pemilik stor simpanan beras berlesen sanggup bersekongkol dengan penyeludup menjadikan stornya sebagai pusat transit beras seludup.

Bagaimanapun, hasratnya itu terbantut apabila Pasukan Gerakan Am (PGA) menyerbu stor tersebut kira-kira pukul 9.30 pagi semalam.

Pegawai Pemerintah Batalion 7 PGA, Supritenden Mohamad Khalid Wahab berkata, sebelum diserbu, pihaknya telah membuat intipan di pangkalan haram Ikan Kering, Kubang Pak Itam dekat sini.

Menurutnya, ketika melakukan intipan, pihaknya ternampak beberapa buah kereta sarat dengan muatan dipercayai beras keluar dari pangkalan haram tersebut lalu mengekori kenderaan mereka.

Setinggan PATI diserbu Imigresen

MOHD. ZAINI SAMSU HADI
mohdzaini.samsuhadi@kosmo.com.my

SEBAHAGIAN PATI yang ditahan dalam operasi di rumah kongsi Jalan
Putramas, Jalan Kuching, Kuala Lumpur malam kelmarin.

KUALA LUMPUR - Kurang 24 jam selepas didedahkan Kosmo!, kawasan setinggan warga asing di Jalan Kuching di sini diserbu sepasukan Jabatan Imigresen Wilayah Persekutuan malam kelmarin.

Serbuan di tanah rizab Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) pada pukul 12 malam itu turut melibatkan Anggota Ikatan Relawan Rakyat Malaysia (Rela) dan Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM).

Ketika serbuan, sebilangan penghuni setinggan di situ yang dipercayai pendatang asing tanpa izin (PATI) sempat melarikan diri sebaik menyedari kedatangan pihak berkuasa.

Timbalan Penolong Pengarah Jabatan Imigresen Wilayah Persekutuan, Amdan Yahaya berkata, biarpun tidak dapat menangkap warga asing yang melarikan diri itu, namun pihaknya berjaya memeriksa 54 penduduk di situ.

Menurutnya, sembilan warga Indonesia yang ditahan didapati tiada dokumen pengenalan diri yang sah.

"PATI yang ditahan itu terdiri daripada lima lelaki dan empat perempuan yang berusia lingkungan 20 hingga 40 tahun.

"Mereka kemudian telah dibawa ke Pejabat Imigresen Wilayah Persekutuan untuk dibuat dokumentasi," katanya kepada pemberita selepas operasi tersebut di sini semalam.

Amdan memberitahu, semua PATI terbabit dihantar ke Depoh Tahanan Imigresen di Semenyih, Kajang..

Mati kerana hendak kurus

Oleh TURMADZI MADUN,
MUSTAPA LAKAWA dan ZANI SAMSU HADI
berita@kosmo.com.my

HASRAT Faridah menjalani rawatan sedut lemak seperti dalam gambar hiasan ini berakhir dengan nyawanya sendiri melayang.

KUALA LUMPUR - Penjual barangan kraf tangan, Faridah Sahari bertekad mahu memberi kejutan kepada suaminya dengan niat menguruskan badan.

Dia bimbang kerana selepas berkahwin tiga tahun lalu, berat badannya naik 10 kilogram kepada 64 kilogram.

Tanpa pengetahuan suaminya yang juga seorang juruterbang, Samaon Ishak, 54, Faridah meninggalkan rumah mereka di Paka, Terengganu untuk sesi rawatan sedut lemak di sebuah klinik di Taman Desa, di sini pada 17 Disember lalu.

Namun hanya 20 minit selepas dia menerima suntikan bius untuk pembedahan itu, Faridah dikatakan menggelupur sebelum meninggal dunia.

Kejadian pada pukul 3.30 petang itu menyebabkan beberapa orang kakitangan klinik cemas dan berlari keluar dari dewan bedah.

Reman Empat Jahanam dilanjut


UALA LUMPUR - Polis memohon mahkamah supaya melanjutkan tempoh reman terhadap tiga lelaki yang digelar 'Penjahat Empat Jahanam' bagi membantu menyelesaikan kes samun sebuah klinik di Ampang Jaya akhir bulan lepas.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Abdul Jalil Hassan berkata, ia bagi membolehkan polis mengumpul lebih banyak keterangan daripada tiga suspek yang ditahan di Pasir Puteh serta pengesahan gambar yang direkod kamera litar tertutup (CCTV) yang diperoleh.

Menurut beliau, polis memohon perintah lanjutan reman itu di Mahkamah Majistret Ampang Jaya pagi semalam.

Ketua Hakim Negara bidas pihak sengaja lengahkan kes

PUTRAJAYA: Ketua Hakim Negara, Tun Zaki Tun Azmi, hari ini menegur tindakan segelintir peguam bela, timbalan pendakwaraya dan hakim yang sengaja melengah-lengahkan perbicaraan sesuatu kes.

Beliau berkata, ini kerana kes yang tiada keputusan atau penghakiman adalah satu kezaliman nyata kepada individu terbabit.

Beliau berkata demikian ketika melancarkan Persidangan Perundangan Tahun 2010 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Purtajaya (PICC) di sini, hari ini.

Pindaan Akta Hak Cipta: Miliki sekeping VCD cetak rompak boleh dikena tindakan

GEORGETOWN: Orang ramai yang memiliki walau hanya sekeping cakera video digital (DVD) atau cakera padat video (VCD) cetak rompak boleh dikenakan tindakan undang-undang selepas Akta Hak Cipta dipinda tidak lama lagi.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata perkara itu termasuk dalam rangka cadangan pindaan akta berkenaan yang sedang diteliti oleh kementerian itu.

"Di bawah Akta Hak Cipta (sedia ada), menjual salah tetapi membeli sekeping DVD atau VCD cetak rombak tidak salah, sepatutnya kalau jual salah, beli pun salah juga," katanya kepada pemberita selepas melancarkan Program Kesedaran Kepenggunaan di sini, hari ini.

Beliau berkata di bawah peruntukan akta sedia ada, hanya mereka yang memiliki tiga keping atau lebih DVD atau VCD cetak rompak boleh dikenakan tindakan undang-undang.

Katanya cadangan pindaan akta itu bagi mengawal penjualan DVD dan VCD cetak rompak di negara ini.

Selain itu, katanya melalui cadangan pindaan akta itu juga, pemilik premis yang menjual DVD dan VCD cetak rompak juga boleh dikenakan tindakan.

Bagaimanapun, beliau berkata bentuk tindakan bagi kedua-dua kesalahan itu sedang diperincikan oleh kementerian itu.

Katanya pindaan akta itu dijangka dibentangkan pada sesi persidangan Dewan Rakyat Mac ini.

"Ini adalah cadangan di peringkat kementerian, kita kena kemukakan cadangan itu kepada Pejabat Peguam Negara, kemudian ke Kabinet dan jika tiada sebarang masalah kita akan bentangkan di Parlimen seterusnya dilulus dan diwartakan," katanya.

Selain itu, katanya empat lagi akta akan dipinda iaitu Akta Perlindungan Pengguna, Akta Jualan Langsung, Akta Kawalan Harga dan Akta Sewa Beli.

Katanya akta baru iaitu Akta Persaingan juga akan dibentangkan di Parlimen tidak lama lagi. - Bernama

KPDNKK tarik lesen tujuh pemborong gula

KUALA KANGSAR: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) setakat ini sudah mengambil tindakan terhadap tujuh pemborong di seluruh negara yang didapati menyorok bekalan gula daripada dihantar kepada peruncit, dengan menarik lesen mereka serta-merta.

Timbalan Menterinya, Datuk Tan Lian Hoe, berkata tindakan berkenaan diambil sejak bermulanya krisis gula September lalu.

"Setakat ini, memang ada rayuan dibuat oleh pemborong berkenaan kepada kementerian dan memang kita tidak akan perbaharui lesen mereka sebab kita telahpun memberi peringatan tetapi mereka masih enggan mematuhi peringatan ini.

"Maka kita ingin sekali lagi maklumkan kalau tidak ada kerjasama daripada pemborong, lesen mereka akan ditarik dan tidak ada lagi pembaharuan lesen untuk mereka," katanya kepada pemberita selepas melawat premis beberapa pemborong dan peruncit gula di sini hari ini.

Beliau juga berkata setakat ini kerajaan tidak berhasrat untuk menaikkan lagi harga gula dan memohon kerjasama peniaga untuk tidak menyorok bekalan keperluan berkenaan.

Mulai 1 Januari lalu, harga runcit gula dinaikkan sebanyak 20 sen sekilogram kepada RM1.65 di Semenanjung dan RM1.75 di Sabah dan Sarawak berikutan kenaikan harga gula mentah dunia.

Tan berkata orang ramai juga perlu memberi kerjasama dengan memaklumkan pihak kementerian jika ada pemborong atau peruncit yang enggan menjual gula pada harga yang telah ditetapkan oleh kerajaan supaya tindakan sewajarnya boleh diambil terhadap peniaga sedemikian.

"Boleh hubungi kita melalui talian bebas tol 1 800 886 800 ataupun hubungi pejabat KPDNKK negeri ataupun pejabat cawangan yang terdekat. Kalau adanya kerjasama dan maklum balas daripada pengguna, pastinya kita dapat mengurangkan masalah ini dalam pasaran," katanya.

Beliau berkata penstrukturan semula rangkaian pengedaran gula di negeri-negeri adalah jalan penyelesaian bagi mengatasi masalah pembekalan komoditi itu kepada pengedar yang berlaku sekarang.

"Pihak KPDNKK telahpun membuat kajian dan kita akan menstruktrur semula rantaian pengedaran ini di seluruh negara supaya bekalan gula ini senang didapati dan diedarkan oleh pengedar tempatan sahaja.

"Kita akan umumkan seberapa segera (penstrukturan semula rangkaian pengedaran gula), mungkin pada Mac atau April," katanya. - Bernama

Perlu tangani isu hadapi dunia Islam: Najib

JEDDAH: Datuk Seri Najib Razak berkata Malaysia dan Arab Saudi perlu meningkatkan usaha dalam menangani pelbagai masalah getir yang dihadapi dunia Islam.

Perdana Menteri berkata hubungan antara kedua-dua negara sepatutnya melampaui bidang ekonomi.

"Arab Saudi adalah negara yang amat penting bagi kita daripada segi menjalin kerjasama dalam memperjuangkan perjuangan umat Islam," katanya.

Perdana Menteri berkata demikian pada perhimpunan anjuran Majlis Perniagaan Malaysia di sini malam tadi sempena lawatan rasmi empat hari beliau ke Arab Saudi.

Najib dijadual menghadap Raja Abdullah Abdulaziz Al-Saud di Riyadh hari ini.

"Saya berhasrat berbincang dengan baginda bukan sahaja mengenai cara terbaik untuk meningkatkan hubungan ekonomi antara kedua-dua negara tetapi juga mengenai perlunya kedua-dua negara bekerjasama lebih rapat dalam membantu menyelesaikan isu-isu yang dihadapi umat Islam," katanya.

Isu berkenaan, katanya termasuk yang melibatkan umat Islam di negara yang dilanda konflik.

Perdana Menteri turut menyentuh mengenai perlunya menangani isu berhubung imej agama dan umat Islam yang sering diputarbelitkan.

"Banyak perseptif negatif dilemparkan terhadap umat Islam di banyak negara di dunia," katanya. - Bernama

Ketua al-Qaeda Yaman terbunuh dalam serangan udara

SANAA: Ketua tentera rangkaian al-Qaeda Yaman bersama lima pemimpin lain dilaporkan terbunuh dalam satu serangan misil udara di Semenanjung Arab, semalam.

Qassem al-Rimi adalah antara 23 orang yang berjaya meloloskan diri dari penjara di Sanaa, pada Februari 2006 dan beliau termasuk dalam senarai 152 suspek pengganas yang diburu pihak berkuasa Yaman.

"Enam pemimpin al-Qaeda terbunuh termasuk ketua rangkaian tenteranya, Qassem al-Rimi dalam serangan semalam," menurut seorang pegawai kerajaan yang enggan disebut namanya.

Beliau berkata, serangan itu mensasarkan lapan suspek.

Selain al-Rimi, turut terbunuh ialah Ayedh al-Shabwani, Abdullah Hedi al-Tais, dan Abu Ayman al-Masri dari Mesir.

Dua lagi suspek, Ammar al-Waili dan Saleh al-Tais - dilaporkan berjaya menyelamatkan diri dalam serangan yang berlaku di gurun Al-Ajashir, di timur Wilayah Saada. - AFP

Gempa di Haiti: Lebih 50,000 disahkan maut

PORT-AU-PRINCE: Lebih 50,000 orang maut manakala 250,000 lagi cedera akibat gempa di Haiti, tiga hari lalu yang dianggap bencana terburuk di negara itu sejak 160 tahun lalu.

Gempa 7.0 magnitud itu juga menyebabkan 1.5 juta rakyat negara itu hilang tempat tinggal.

Angka korban dan cedera itu dikeluarkan Menteri Kesihatan Awam Haiti, Alex Larsen hari ini pada sidang akhbar mengenai keadaan terkini akibat gempa berkenaan.

Beliau juga mengumumkan ibu pejabat kerajaan dipindahkan ke balai polis berhampiran lapangan terbang antarabangsa manakala semua pusat sukan di ibu negara itu dijadikan hospital sementara untuk merawat ribuan mangsa yang cedera.

"Mayat lebih 15,000 kini sudah dikumpul dan dikebumikan," kata Perdana Menteri Haiti, Jean-Max Bellerive sambil menambah angka kematian mungkin melonjak.

“Kami kini menguruskan usaha mengutip mayat di sepanjang jalan raya utama terlebih dulu," katanya.

Beliau berkata, ribuan mayat lagi masih tertimbus di celah runtuhan bangunan dan rumah kediaman. - AFP

Gempa 5.6 magnitud landa timur Venezuela

empa 5.6 magnitud landa timur Venezuela

WASHINGTON: Gempa bumi sederhana 5.6 magnitud melanda timur Venezuela, awal pagi ini tetapi tiada yang terkorban setakat ini.

Yayasan Penyelidikan Seismologi Venezuela (FUNVISIS) melaporkan gempa berlaku jam 1.30 tengah hari waktu tempatan(1800 GMT) di kedalaman 11.7 kilometer di wilayah Sucre.

Pusat gegaran terletak di 40 kilometer di barat daya Carupano dan di 375 kilometer di timur ibu negara, Caracas. - AFP

39 ditahan termasuk 6 penuntut IPT kerana 'berpesta dadah'

KUALA LUMPUR: Gara-gara khayal akibat dadah, 36 orang termasuk enam penuntut 'merelakan' diri mereka ditahan sepasukan polis dalam satu serbuan di sebuah pangsapuri di Jalan Pudu Ulu, Cheras, awal pagi ini.

Timbalan Ketua Polis Daerah Cheras, Superintendan Abdul Rahim Hamzah Othman, berkata semua suspek yang berumur lingkungan 18 hingga 30 tahun itu sedang khusyuk ''berpesta dadah'' ketika serbuan dilakukan pada kira-kira 4 pagi.

"Mereka ini dalam keadaan berkhayal sambil berhibur mendengar lagu semasa serbuan. Mereka seolah-olah tidak sedar dan tidak melawan mahupun cuba melarikan diri apabila diberkas," katanya kepada pemberita di pejabatnya di sini.

Beliau berkata daripada jumlah yang diberkas itu, seramai 29 orang adalah lelaki manakala selebihnya wanita.

"Daripada jumlah itu juga, enam yang ditahan adalah penuntut Institusi Pengajian Tinggi (IPT) awam dan swasta di ibu negara...yang mana empat daripada pelajar terbabit adalah wanita," katanya.

Hasil pemeriksaan, polis menemui pelbagai jenis dadah termasuk beberapa biji pil eramin 5 dan ecstasy.

"Selain eramin 5 dan ecstasy, kita juga menemui beberapa paket kecil yang mengandungi serbuk syabu dan ganja. Dadah-dadah ini dilihat berselerakan di atas meja dan ada juga yang kita temui pada suspek-suspek terbabit," katanya.

Abdul Rahim berkata ujian saringan air kencing turut mendapati 34 daripada mereka positif dadah termasuk enam penuntut berkenaan.

"Siasatan awal juga mendapati mereka ini mengenali antara satu sama lain dan berkunjung ke pangsapuri ini untuk berhibur. Kita juga tidak menolak kemungkinan ada berlakunya aktiviti seks memandangkan dalam kumpulan ini terdapat wanita.

"Kesemua mereka ditahan dan akan disiasat mengikut Seksyen 39A (1) Akta Dadah Berbahaya," katanya. - Bernama

Guna kemudahan Facebook dengan bertanggungjawab: Rais

SEREMBAN: Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr Rais Yatim berkata rakyat Malaysia perlu membentengkan diri dengan sikap tanggungjawab dan pegangan agama sebelum menerima bulat-bulat pemakaian budaya internet seperti Facebook dan Twitter.

Beliau berkata ini kerana seseorang itu perlu bertanggungjawab terhadap apa juga komen atau ulasan yang dimuatkan dalam laman sosial Facebook atau Twitter termasuk dikenakan tindakan undang-undang.

"Apabila memakai dan menggunakan alat-alat ini (Facebook dan Twitter), sifat keMalaysiaan, sifat keIslaman, sifat buddhisme, sifat kristian yang ada pada seseorang itu perlu dijadikan benteng," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Seminar Kesedaran 1Malaysia di sini hari ini.

Katanya selain itu mereka juga perlu berhati-hati dan menimbangkan kebenaran dan ketepatan maklumat yang dipaparkan dalam internet yang tidak semuanya benar.

"Kita (masyarakat) menerima ini semua (internet) dalam satu keadaan kejutan budaya," katanya sambil mengkritik sesetengah rakyat Malaysia yang suka mencemuh golongan yang tidak mahu mengikuti budaya baru itu.

"Kita jangan lekas sangat `condemn'' atau memandang rendah pada mereka yang tidak menggunakan Facebook. Surat khabar akan tetap relevan, Facebook pun begitu tetapi jangan terima semua isian ini seolah-olah yang lama ini tidak pakai lagi," katanya.

Beliau memuji tindakan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) atas kejayaan mengesan salah laku seorang pelajar dari Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara) yang mendakwa bertanggungjawab membakar sebuah gereja berhubung isu kalimah Allah, di laman sosial Facebook, baru-baru ini.

"Tahniah kepada SKMM yang meneliti salah laku rakyat kita dalam pemakaian Facebook, Twitter dan SMS. Jadi, saya suka menerangkan sebagai seorang bekas peneliti perundangan negara, pemakaian (menggunakan internet) bukan bermakna kita (boleh) melepaskan diri dari tanggungjawab."

Mengenai gagasan 1Malaysia, beliau berkata lebih banyak program akan disusun untuk menerapkan kefahaman 1Malaysia di kalangan rakyat terutama kepada masyarakat kampung dan pelajar. - Bernama

Ibu bakar diri kerana marah anak meninggal

NIBONG TEBAL: Ibu tujuh anak yang membakar diri kerana marahkan anak perempuannya dengan mencurah petrol ke badannya minggu lalu meninggal dunia di Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar malam tadi.

Rossliana Rosli, 32, yang terbakar 54 peratus dalam kejadian Sabtu lalu meninggal dunia jam 8.30 malam.

Mantapkan penghujahan isu kalimah Allah

Oleh MOHD. Radzi Mohd. Zin
Gambar Asmaruddin Jamaluddin


serius... ahli panel menyampaikan hujah masing-masing di Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya, baru-baru ini.

Keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membenarkan Herald-The Catholic Weekly menggunakan kalimah Allah dalam penerbitannya atas alasan ia ada hak dalam Perlembagaan pada 31 Disember 2009 mencetuskan kemarahan masyarakat Islam.

Sebabnya, keputusan itu dilihat akan mengelirukan masyarakat majmuk seperti Malaysia. Apatah lagi, kalimah Allah itu telah sekian lama hanya digunakan oleh umat Islam.

Antara alasan paling kuat mengapa keputusan itu ditentang adalah para penganut agama lain perlu menghormati penggunaan kalimah Allah yang merupakan lafaz jalalah iaitu gelaran tertinggi dan paling mulia yang digunakan umat Islam untuk merujuk kepada Allah.

Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan yang bersidang kali ke 82 pada 5 hingga 7 Mei 2008 turut memutuskan bahawa lafaz Allah merupakan kalimah suci yang khusus bagi agama dan umat Islam dan ia tidak boleh digunakan atau disamakan dengan agama-agama bukan Islam yang lain.

Sememangnya umat Islam membantah keputusan itu tetapi bantahan sahaja tidak menyelesaikan masalah. Ia perlu disusuli dengan tindakan perundangan supaya isu ini diselesaikan sekali dan selama-lamanya.

Namun, dalam undang-undang hujah dari segi agama tidak mendapat perhatian hakim kerana keputusan penghakiman dibuat tertumpu kepada alasan-alasan perundangan.

Demikian ditegaskan oleh Fellow Kanan Jabatan Syariah dan Undang-undang Akademi Pengajian Islam (API), Universiti Malaya (UM), Datuk Dr. Abdul Monir Yaacob.

Katanya, walaupun keputusan hakim itu menimbulkan rasa kurang senang dan bantahan majoriti umat Islam, Mahkamah Sivil tidak terikat dengan apa-apa fatwa.

Menurut beliau, mahkamah juga tidak menimbangkan apa dukacita akibat keputusan penghakimannya yang dibuat.

"Ia hanya terikat dengan penghakiman mahkamah yang lebih tinggi daripadanya. Dalam kes sivil ini pula, Mahkamah Syariah tidak ada bidang kuasa menafsirkan Perlembagaan," katanya.

Beliau berkata demikian pada Wacana Ilmiah 'Isu Kalimah Allah' di Galeri Ilmu API, UM, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Dua lagi ahli panel ialah pensyarah Jabatan Dakwah dan Pembangunan Insan APIUM, Prof. Dr. Ab. Aziz Mohd. Zin dan pensyarah Jabatan Sejarah dan Tamadun Islam (JSTI) APIUM, Prof. Madya Dr. Ahmad Zaki Ibrahim.

Forum anjuran JSTI APIUM itu mendapat sambutan hangat apabila ramai yang terpaksa berdiri selepas kira-kira 200 ruang kerusi yang disediakan penuh.

Hadir sama ialah Pengarah APIUM, Prof. Dr. Ahmad Hidayat Buang dan Ketua JSTI, Dr. Mohd. Roslan Mohd. Nor.

Menurut Monir, apa yang perlu dilakukan kini adalah mempersiapkan hujah-hujah yang kukuh apabila di Mahkamah Rayuan kelak.

Katanya, para peguam yang berkenaan perlu mengemukakan hujah sejauh mana boleh berlaku kesilapan hakim dalam kes ini.

"Yang penting dalam mahkamah adalah kekuatan hujah bukannya siapa yang menjadi hakim. Sebabnya institusi kehakiman itu perlu adil," jelas beliau.

Sementara itu, Ab. Aziz berkata, memang golongan bukan Islam pernah mengguna kalimah Allah sebagai mana dinyatakan dalam al-Quran.

Antaranya dalam ayat 73 surah al-Maaidah yang bermaksud: Demi sesungguhnya telah kafirlah orang yang berkata: Bahawasanya Allah adalah salah satu daripada tiga tuhan, padahal tiada tuhan (yang berhak disembah) melainkan tuhan yang Maha Esa.

Demikian juga dalam ayat 18 surah al-Maaidah yang bermaksud: Orang Yahudi dan Nasrani berkata: Kami adalah anak-anak Allah dan sangat-sangat disayangi-Nya...

Namun, tegas beliau, penggunaan nama Allah oleh golongan kafir itu terbahagi kepada dua tempat.

"Pertama, mengiktiraf dengan sifat Allah dan kedua, membuat tuduhan atau salah percaya terhadap Allah.

"Kebimbangan kita adalah penggunaan kalimah Allah ini hanya untuk tempat kedua iaitu fahaman yang silap terhadap Allah," katanya.

Ab. Aziz turut mempersoalkan tujuan akhbar tersebut menggunakan kalimah Allah kerana yang nyata ia mudah mengelirukan umat Islam yang baru mengenali agama suci ini.

Katanya, apabila kalimah Allah itu sama diguna pakai oleh kristian, jadi ia tidak terasa asing atau pelik.

"Jadi ia mudah diterima dan mungkin juga agenda tersembunyi untuk mengelabui mata umat Islam.

"Kalimah ini disukai kerana ia ada tarikan dan akan memerangkap golongan yang lemah pengetahuan Islam mereka," jelasnya.

Pada masa yang sama, kata Ab. Aziz, apa yang berlaku sekarang memberi peluang kepada para pendakwah berperanan lebih besar memberi penjelasan tentang isu tersebut.

"Masyarakat Islam juga perlu diberi perhatian supaya kelemahan penghayatan boleh diatasi," kata beliau.

Seorang lagi ahli panel, Ahmad Zaki berkata, isu tersebut perlu dilihat daripada sudut negatif dan positifnya.

Katanya, walaupun bukan Islam sudah menggunakan perkataan Allah sebelum ini tetapi yang selalu digunakan adalah Rabb (tuhan).

Menurut beliau, penggunaan kalimah Allah oleh orang Arab musyrik pula adalah dalam bacaan sembahyang mereka.

"Cuma kalau keputusan Mahkamah Rayuan kelak tidak memihak kepada kita, tindakan balas kita adalah penting.

"Kita perlu membuat persediaan termasuk dalam kurikulum di sekolah supaya anak-anak Muslim tidak mudah terpesong atau dikelirukan dengan penggunaan kalimah ini," tegasnya.

Akhlak Islam pikat Idris

Susunan ZUARIDA MOHYIN

IDRIS Tawfiq memperoleh gelaran kesarjanaan dari Universiti Manchester dalam bidang sastera, manakala gelaran uskup (paderi besar) dari Universiti Saint Thomas Aquinas di Rom, Itali. Ggelaran tersebut melayakkan beliau mengajar fahaman Katholik kepada pengikut ajaran tersebut.

Namun siapa sangka, individu yang merupakan ketua pusat pengajian di beberapa sekolah sekitar selatan London dan sudah bertahun mengajar mengenai agama-agama utama di dunia seperti; Kristian, Yahudi, Buddha, Islam, Sikh dan Hindu, kini beralih mengajar agama Islam sebaik dirinya mengucap dua kalimah syahadah.

Apa yang berlaku ke atas Idris ini bertepatan dengan ayat ke-25 dalam surah Yunus yang bermaksud: Allah menyeru manusia ke Darussalam (Syurga), dan memberi petunjuk kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya ke jalan yang lurus (Islam).

Ayat di atas menjelaskan bahwa Allah SWT akan memberikan hidayah (jalan kebaikan) kepada sesiapa saja yang dikehendaki-Nya. Tidak kira status, latar belakang, waima agama anutan nenek moyang mereka sebelum ini.

Hakikatnya, ayat tersebut layak disematkan pada Idris Tawfiq, seorang pastor Roman Katolik dan kini sudah menetap di Mesir.

Idris bergelar mualaf setelah mempelajari Islam dan tertarik kepada agama ini sejurus melihat kelembutan serta kesederhanaan sikap umat Islam itu sendiri.

"Dulu saya senang menjadi pastor atau paderi, selain berpeluang membantu masyarakat menerangkan tentang kewujudan kepelbagaian agama dan kepercayaan di dunia ini, terutamanya berkaitan agama Kristian.

"Namun, semuanya berubah apabila saya melihat sendiri kelebihan agama Islam terutamanya menerusi akhlak anak-anak murid saya yang beragama Islam. Yang pastinya, bulan Ramadan menjadi titik tolak kepada tarikan saya terhadap Islam," akui Idris yang tidak pernah menyesal bergelar Muslim meskipun kedudukannya di dalam gereja pada masa itu sudah kukuh.

Hidayah yang diperoleh oleh Idris menyingkap kembali kepada tempoh dakwah Rasulullah SAW, salah satu punca yang membawa kepada pengislaman masyarakat Arab jahiliah pada ketika itu ialah disebabkan kehebatan akhlak Rasulullah.

Kata Idris, apa yang berlaku ke atas dirinya adalah ketentuan Allah. Sungguhpun ramai tidak menyedarinya, namun setiap peristiwa sama ada kecil mahupun besar kesan yang cukup penting dalam keseluruhan kehidupan seseorang itu.

Muhasabah diri

"Ini mungkin disebabkan kita terlalu sibuk dengan rutin harian sehingga tidak berpeluang atau tidak mengambil pusing soal muhasabah diri. Padahal, kita mengakui bahawa keberadaan kita sekarang ini adalah natijah daripada ketentuan dahulu. Bahawasanya juga dengan melihat semula ke belakang akan menjadikan kita seorang yang lebih bersyukur dan reda dengan perancangan Allah ke atas umat-Nya.

"Bagi saya, kenangan Ramadan sebagai seorang Muslim menjadikan saya seorang insan yang amat menghargai setiap yang berlaku di dalam hidup ini. Di samping, dua kali Ramadan yang sempat dilalui adalah saat paling bermakna di dalam diari kehidupan saya," cerita Idris.

Terang beliau, semuanya bermula apabila para pelajarnya yang beragama Islam melaksanakan solat di dalam biliknya. Pertama kerana, bilik itu adalah satu-satunya yang berkarpet dan mempunyai tempat mengambil wuduk.

Apa lagi sebagai pensyarah yang sentiasa menjadikan asas toleransi sesama pelajar walaupun pelbagai agama dan bangsa, sekali gus memberi pemahaman agar semua pihak menghormati di antara satu sama lain.

Katanya, kefahaman beliau tentang Islam tambah mendalam sejak mengunjungi Mesir, di mana beliau melihat sendiri cara hidup orang Islam. Sebelum ini, pandangannya mengenai Islam lebih ke arah negatif.

"Bagi saya, Islam sinonim dengan keganasan, potong tangan, diskriminasi terhadap perempuan dan sebagainya.

"Namun, pandangan itu mulai berubah sedikit demi sedikit, ketika di Mesir inilah. Sebenarnya, Islam jauh berbeza sebagaimana yang digambarkan oleh media barat," jelasnya.

Di samping itu, kata Idris, untuk menyediakan diri dengan kefahaman Islam yang sebenar, terpaksalah beliau banyak membaca, meskipun ketika itu belum bergelar Muslim.

"Pada masa yang sama, para pelajar di situ memohon kebenaran menggunakan bilik saya sebagai ruang bersolat sepanjang bulan Ramadan. Mahu tidak mahu, saya akur dengan permintaan mereka, ditambah mahu memberi contoh yang baik kepada kakitangan dan pelajar di situ," akui Idris yang langsung tidak terlintas dirinya akan memeluk Islam.

Jelas Idris , itulah cara Allah merapatkan diri beliau dengan agama Islam.

Tambahnya, sepanjang Ramadan, beliau melihat solat lima waktu umat Islam serta yang paling menyentuh hatinya, adalah ukhuwah yang ditunjukkan hasil solat berjemaah dan kemeriahan berbuka puasa.

Sehinggalah pada penghujung Ramadan, Idris sudah mampu untuk membaca sesetengah ayat-ayat yang ringkas walaupun tanpa mengetahui maksudnya. Malah bilik yang sama juga telah digunakan untuk mengerjakan solat fardu Zuhur sehinggalah pada tahun-tahun seterusnya.

Cerita Idris lagi, pada Ramadan berikutnya, beliau telah mengikut para pelajar Muslim itu berpuasa walaupun dirinya belum Islam.

Pada awalnya sebagai membuktikan rasa perpaduan di antara mereka. Alhamdulillah, tidak lama selepas itu, beliau akhirnya mengucap dua kalimah syahadah.

Ayat al-Maidah

Dari saat itu, Idris mula mempelajari al-Quran. Ia membaca ayat-ayat suci daripada terjemahannya. Dan ketika membaca ayat 83 surah al-Maidah, dirinya kaku dan hatinya tersentuh. Secara tiba-tiba, beliau menitiskan air mata.

"Dan apabila mereka mendengarkan apa yang diturunkan kepada Rasul (Muhammad), kamu lihat mata mereka mencucurkan air mata disebabkan kebenaran (al-Quran). (al-Maidah: 83).

Idris semakin serius mempelajari Islam. Bahkan, ketika berlakunya peristiwa 11 September 2001, timbul juga kekhuatiran pada peringkat awal tetapi keyakinannya terhadap agama Islam mangatasi apa yang digambarkan media. Ditambah pula dengan pengalaman ketika di Mesir, yang menguatkan kepercayaan Idris kepada agama Islam.

Pertuturan Idris yang lembut sikapnya yang sopan turut membuatkan masyarakat mesra dengan beliau. Gaya berbicaranya juga baik , sangat sederhana dan lemah lembut menyentuh hati. Beliau kini giat berceramah dan menulis buku tentang keindahan Islam.

Idris menyampaikan ceramah di berbagai-bagai tempat dengan satu tujuan - menyebarkan dakwah Islam. Beliau juga banyak memberikan bimbingan dan latihan penulisan serta berpidato untuk siswa maupun orang dewasa.

Kesempatan itu digunakannya untuk mengajar orang lain, termasuk menjelaskan Islam pada dunia Barat yang majoritinya bukan beragama Islam.

Idris juga dikenali sebagai penulis. Tulisannya tersebar di berbagai akhbar, majalah, jurnal, dan laman web di London. Ia juga menjadi penyumbang kepada laman web www.islamonline.net dan www.readingislam.com