Search This Blog

Loading...

Saturday, January 16, 2010

Tiga kereta Perdana V6 Terengganu hilang

KUALA TERENGGANU 22 Dis. - Tiga buah kereta Proton Perdana V6 untuk kegunaan pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) dilaporkan hilang di tiga tempat berasingan sepanjang tahun lalu.

Selain itu, sebuah jengkaut milik Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) bernilai kira-kira RM1 juta turut dilaporkan hilang awal tahun ini.

Laporan mengenai kehilangan kereta itu diperoleh berdasarkan laporan Ketua Audit Negara bagi 2008.

Bagaimanapun, sebuah daripada Proton Perdana V6 itu serta jengkaut berkenaan berjaya ditemui semula selepas laporan polis dibuat.

Wakil rakyat pembangkang, Mohd. Abdul Wahid Endut (Pas-Wakaf Mempelam) ketika membangkitkan perkara itu pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) hari ini mempertikaikan kehilangan berkenaan yang disifatkannya tidak sepatutnya berlaku.

Menurutnya, mengikut laporan itu kereta bernombor pendaftaran TAF 2277 yang digunakan oleh Pegawai Daerah Kuala Terengganu hilang di tempat letak kereta restoran makanan segera KFC di Batu Buruk di sini.

''Sebuah lagi kereta bernombor pendaftaran TAM 323 hilang di tempat letak kereta Tesco, Ampang, Selangor, manakala kereta bernombor pendaftaran TAF 8181 bagi kegunaan Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat negeri hilang di rumahnya,'' katanya semasa membahaskan Bajet Terengganu 2010 pada persidangan DUN hari ini.

Jelasnya, beliau membangkitkan isu berkenaan bagi menyedarkan betapa tidak seriusnya pegawai kerajaan negeri dalam mengawasi dan menjaga kereta milik kerajaan.

''Saya bukan mereka-reka cerita tetapi pendedahan dibuat setelah meneliti laporan tersebut. Walaupun semakan audit mendapati tiga pegawai telah membuat laporan polis pada hari kehilangan tetapi pemantauan kurang dilakukan.

''Sehingga kini satu kes kehilangan kenderaan (TAF 2277) telah selesai manakala dua kes lagi masih di tangan Jawatankuasa Penyiasat,'' katanya.

Mengenai kehilangan jengkaut milik MBKT, Mohd. Abdul Wahid berkata, kenderaan milik agensi itu dijumpai di tempat pembuangan sampah MBKT di Kampung Tok Koh, Sungai Ikan dekat sini selepas dilaporkan hilang.

Beliau berasa hairan bagaimana jengkaut sebesar dan seberat puluhan tan metrik itu boleh hilang.

Lebih banyak rumah untuk orang miskin

KUALA LUMPUR 22 Dis. - Lebih banyak kediaman untuk golongan miskin akan dibina di Lembah Klang dengan menggunakan wang hasil penjualan rumah milik Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar, Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin berkata, wang hasil jualan rumah Program Perumahan Rakyat (PPR) MTEN dan Perumahan Awam (PA) DBKL masing-masing dimasukkan ke dalam akaun terkumpul Kementerian Kewangan dan pihak berkuasa tempatan berkenaan.

''Wang ini akan digunakan oleh kerajaan untuk membina rumah di Kuala Lumpur atau kawasan sekitarnya,'' katanya menjawab soalan tambahan Senator Datuk Rizuan Abdul Hamid pada sidang Dewan Negara di sini hari ini.

Menurut beliau, sebahagian wang terkumpul itu akan turut digunakan bagi menyelenggara kemudahan di rumah-rumah yang telah dijual oleh MTEN dan DBKL.

''Penyelenggaraan oleh DBKL membabitkan prasarana dikongsi bersama yang memerlukan peruntukan besar seperti pili bomba, lif dan kawasan siar kaki,'' katanya.

Dalam pada itu, katanya, penyelenggaraan yang memerlu kos kecil akan dilakukan sendiri oleh Badan Pengurusan Bersama (JMB) yang akan ditubuhkan di kawasan perumahan terbabit.

''Sementara menunggu JMB ditubuhkan, DBKL akan melaksanakan kerja-kerja pengurusan dan penyelenggaraan pada peringkat permulaan,'' katanya.

Menjawab soalan tambahan Senator Ahmad Hussin, beliau berkata, penduduk miskin yang tidak mampu membeli rumah yang dijual MTEN dan DBKL akan terus dibenarkan menyewa pada kadar RM124 sebulan.

''Kadar rendah dapat ditawarkan kerana subsidi yang diberikan Kerajaan Pusat. Jumlah ini adalah jauh lebih baik jika dibandingkan kadar sewa RM220 sebulan yang dikenakan kerajaan Selangor,'' jelasnya.

Waktu undian Dewan Rakyat boleh ditetapkan

KUALA LUMPUR 22 Dis. - Waktu bagi menjalankan undi belah bahagian untuk meluluskan sesuatu undang-undang atau bajet boleh ditetapkan oleh Dewan Rakyat.

Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, ahli Parlimen boleh mengusulkan perkara itu sekiranya mereka ingin melakukan perubahan pada sistem undi belah bahagian yang diamalkan sekarang.

''Memang boleh jika kita hendak tetapkan waktu bagi menjalankan proses undi belah bahagian bagi memberi ruang kepada semua ahli Parlimen untuk berada dalam Dewan Rakyat,'' katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas cadangan agar pengurusan sistem pengundian belah bahagian diperkemaskan bagi memastikan semua ahli Parlimen tahu lebih awal bila pengundian hendak dibuat.

Ia ekoran insiden 14 Disember lalu apabila pembangkang hampir berjaya menggagalkan Bajet 2010 daripada diluluskan ekoran ramai wakil rakyat Barisan Nasional (BN) tidak berada di dalam Dewan ketika pengundian hendak dijalankan.

Dalam sesi pengundian belah bahagian itu, BN berjaya mengatasi pembangkang hanya dengan kelebihan tiga undi (66-63) bagi membolehkan Bajet 2010 diluluskan.

Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia selepas sesi pengundian tersebut menjelaskan, berdasarkan konvensyen bagi sebuah negara berparlimen, sekiranya bajet tidak diluluskan, kerajaan BN terpaksa dibubarkan dan satu pilihan raya baru terpaksa diadakan.

Menurutnya, jika usaha pembangkang itu berjaya, ia juga bermakna kerajaan tidak akan mendapat perbelanjaan yang dibentangkan baru-baru ini kerana Dewan Rakyat tidak meluluskannya.

Dari segi komposisi, BN mempunyai 137 wakil di Dewan Rakyat berbanding 82 pembangkang dan tiga anggota Bebas.

Mengulas lanjut mengenai perkara itu, Wan Junaidi bagaimanapun berkata, jika waktu pengundian ditetapkan ia sebenarnya hanya membazirkan masa yang sepatutnya digunakan untuk perbahasan.

''Kalau kita tetapkan pengundian pada pukul 4.30 petang dan penggulungan peringkat jawatankuasa selesai pukul 10 pagi, apa yang Dewan Rakyat hendak buat pada waktu terluang di antaranya. Ia pasti akan membazirkan waktu dan tempoh perbahasan juga terpaksa dilanjutkan,'' jelasnya.

Tambahnya, undi belah bahagian telah diamalkan di Parlimen sejak negara merdeka dan ia merupakan sesuatu yang lazim sehingga 1970-an.

Namun menurutnya, sejak era 1980-an, undi belah bahagian jarang sekali berlaku kerana BN mempunyai jumlah wakil rakyat yang ramai di Parlimen berbanding pembangkang.

''Mungkin akibat sudah lama, ahli Parlimen ambil mudah dan ia diburukkan lagi apabila wakil rakyat selepas generasi 1980-an tidak mengetahui tentang undang-undang (undi belah bahagian) yang menjadi amalan kita selama ini.

''Pada saya, sistem undi belah bahagian yang diamalkan negara kita berkesan, malah ia turut menjadi amalan negara lain,'' ujarnya.

Menurutnya, apa yang penting ialah setiap ahli Parlimen sedar tanggungjawab mereka dan Ketua Whip perlu memainkan peranan memberi penjelasan terutamanya kepada wakil rakyat generasi baru.

Sementara itu, Ahli Parlimen Seri Gading yang juga Bendahari Kelab Penyokong Barisan Nasional (BNBBC), Datuk Mohamad Aziz berkata, tiada apa yang kurang dengan sistem pengurusan jadual sesi Dewan Rakyat seperti yang diamalkan sekarang.

Beliau yang telah empat penggal menjadi ahli Parlimen memberitahu, setiap anggota Dewan telah dibekalkan dengan jadual persidangan dan menjadi tanggungjawab mereka untuk memastikan kehadiran.

Empangan Bakun tarikan baru pelancongan

Empangan Bakun tarikan baru pelancongan

KUALA LUMPUR 22 Dis. - Empangan Hidroelektrik Bakun, Sarawak yang dijangka siap pembinaannya dalam tempoh empat hingga lima tahun akan datang bakal dijadikan produk pelancongan baru di negara ini khusus untuk mereka yang meminati alam semula jadi.

Timbalan Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Noriah Kasnon berkata, pihaknya akan bekerjasama dengan Kementerian Pelancongan bagi mempromosi empangan itu sama seperti yang dilakukan terhadap Tasik Kenyir yang kini menjadi antara tarikan utama negara dalam bidang ekopelancongan.

''Tidak mustahil Empangan Hidroelektrik Bakun akan menjadi popular sama seperti Tasik Kenyir yang kini menempatkan Stesen Janaelektrik Sultan Mahmud,'' katanya menjawab soalan tambahan Senator Sharifah Azizah Syed Zain pada sidang Dewan Negara di sini hari ini.

Beliau berkata, faedah lain daripada pembinaan empangan itu adalah bagi menyediakan sumber air untuk kawasan pertanian di Sarawak.

Terdahulu menjawab soalan asal Senator Datuk Maijol Mahap, beliau berkata, bekalan elektrik dari empangan itu tidak akan disalurkan ke Sabah berikutan kos tinggi bagi membina talian penghantaran.

''Kos tinggi ini disebabkan pembinaan talian penghantaran ke negeri berkenaan akan meliputi jarak yang jauh dan melalui kawasan muka bumi berbukit-bukau.

''Perbelanjaan tinggi tidak sepadan dengan permintaan bekalan elektrik yang rendah di Sabah,'' katanya.

Sebagai alternatif bagi memenuhi permintaan elektrik khususnya di Pantai Timur Sabah, katanya, kerajaan akan membina dua stesen janakuasa hidroelektrik baru di negeri itu masing-masing di Ulu Padas dan Liwagu.

Sementara itu, Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Saifuddin Abdullah berkata, kerajaan tidak bercadang mewujudkan Skim Pinjaman Buku Teks kepada pelajar di institusi pengajian tinggi (IPT) berikutan senario pembelajaran yang berbeza di situ berbanding di sekolah.

''Kaedah pembelajaran di IPT adalah berasaskan teori, praktikal, kajian kes dan pembelajaran secara berkumpulan. Ini memerlukan sumber rujukan lebih meluas dan tidak terhad kepada buku teks sahaja.

''Sebab itu, istilah buku teks jarang digunakan di IPT,'' katanya menjawab soalan Senator Datuk Saripah Aminah Syed Mohamed.

Media Malaysia reda kekecohan

Oleh NIZAM YATIM
nizam.yatim@utusan.com.my

KUALA LUMPUR 22 Dis. - Sikap media massa Malaysia yang tidak bertindak balas berjaya meredakan pelbagai kekecohan yang ditimbulkan pihak tertentu di Indonesia bagi mewujudkan ketegangan hubungan kedua-dua negara.

Timbalan Menteri Luar, A. Kohilan Pillay berkata, media massa di negara ini tetap melaporkan setiap isu dengan baik dan tidak terikut-ikut rentak media Indonesia yang sengaja memperbesar-besarkan isu kecil dan terpencil seperti tarian Pendet dan penderaan pembantu rumah.

''Syabas media Malaysia sebab 'main muzik' dengan baik jika dibandingkan media Indonesia,'' katanya menjawab soalan tambahan Senator Muhamad Yusof Husin pada sidang Dewan Negara di sini hari ini.

Menurutnya, ketegangan hubungan Malaysia dan Indonesia semakin reda apabila pemimpin tertinggi kedua-dua negara saling kunjung-mengunjungi.

Tambah beliau, selain itu turut diadakan mesyuarat Kumpulan Tokoh Terkemuka (EPG) bagi membincangkan langkah bagi mengeratkan hubungan.

Menjawab soalan tambahan Senator Datuk Abdul Rahman Bakar, Kohilan Pillay berkata, beliau berpendapat wujud anasir jahat yang berselindung di sebalik media massa Indonesia bagi menimbulkan situasi hubungan tidak harmoni antara kedua-dua negara.

''Saya percaya ia turut mempunyai kaitan dengan kempen pihak tertentu untuk menang semasa pilihan raya Presiden republik berkenaan pada Julai lalu.

''Jika dilihat, setiap isu hanya ditimbulkan sebelum atau semasa kempen pilihan raya. Selepas pembentukan Kabinet baru Indonesia isu ini nampaknya okay sedikit,'' ujarnya.

Tambah beliau, isu berkenaan turut dibangkitkan pihak tertentu yang tidak berpuas hati dengan keputusan Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) pada tahun 2002 untuk menyerahkan hak milik pulau Sipadan dan Ligitan kepada Malaysia.

Anwar cipta isu baru menjelang 25 Januari?

KUALA LUMPUR 15 Jan. - Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim diramal mencipta satu lagi isu baru menjelang tarikh perbicaraan kes tuduhan meliwat bekas pembantu peribadinya, Mohd. Saiful Bukhari Azlan pada 25 Januari ini.

Bekas Exco Angkatan Muda Keadilan (AMK), Azwanddin Hamzah yang membuat dakwaan itu berkata, isu baru memburukkan kepimpinan kerajaan bertujuan mengalihkan perhatian rakyat terhadap perbicaraan kes berkenaan.

"Saya tidak terkejut jika muncul satu lagi isu baru yang menyerang kepimpinan kerajaan termasuk Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Tun Razak) dan kemudian mangsa serangan diberi label negatif tertentu sebelum 25 Januari ini.

"Taktik sebegini pernah dibuat sewaktu perbicaraan kesnya pada 1998 dengan menyerang dan melabelkan bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir sebagai 'Mahafiraun' dan 'Mahazalim', akhirnya rakyat lebih banyak bercakap tentang dua label itu berbanding perjalanan kes," katanya yang dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Azwanddin yang pernah berkhidmat di akhbar rasmi PKR, 'Suara Keadilan' dan memegang jawatan Ketua AMK Wilayah Persekutuan mendakwa 'masak' dengan pelbagai isu ciptaan Anwar.

Ia termasuk yang dilancarkan dari dalam penjara mengenai penggunaan racun arsenik kononnya untuk membunuhnya.

Katanya, semua anggota AMK diarah terus memainkan isu arsenik tersebut bagi menggoncang sentimen rakyat.

"Tapi sampai hari ini dia masih sihat, kalau sudah diracun arsenik pasti lain ceritanya," tegas Azwanddin.

Dalam pada itu Azwanddin mengemukakan beberapa isu yang diolah Anwar untuk mengabui mata masyarakat termasuk penubuhan kerajaan pakatan pembangkang pada 16 September 2008 dan serangan terhadap Biro Tatanegara (BTN).

Dakwanya, isu 16 September dicipta bagi mengalihkan perhatian terhadap pertentangan pendapat di kalangan PKR negeri berhubung kerjasama dengan parti pembangkang lain.

Sementara itu, isu BTN pula untuk mengalihkan perhatian masyarakat menjelang sebutan kes liwatnya.

"Bagaimanapun saya tidak pelik dengan sikap masyarakat untuk mempercayai apa jua penipuan Anwar.

"Ini kerana semua isu itu direka mengikut selera sekumpulan besar masyarakat yang sememangnya tidak berpuas hati dengan kerajaan," katanya.

Elie dibebas dengan jaminan polis

KUALA LUMPUR 15 Jan. - Dr. Elie Yousef Najem, lelaki Lebanon yang ditahan polis kerana memiliki wang palsu AS$66.02 juta (RM220.6 juta) pada 10 Januari lalu, dibebaskan dengan jaminan polis petang semalam.

Polis bagaimanapun sedang menunggu keputusan Pejabat Timbalan Pendakwa Raya (DPP) berhubung sebarang tindakan lanjut terhadap lelaki yang mengaku sebagai 'hartawan' itu.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Wira Muhammad Sabtu Osman berkata, Elie, 50, dibebaskan selepas perintah tahanan reman yang dikenakan terhadapnya sejak 10 Januari lalu berakhir semalam.

"Sementara menunggu keputusan pihak DPP, dia dibebaskan dahulu.

"Pasport Elie ada dalam simpanan pihak mahkamah kerana dia kini menjalani perbicaraan bagi kes lain," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Akhbar hari ini melaporkan, polis telah menahan Elie pada 10 Januari lalu di sebuah hotel kerana memiliki wang palsu AS$66.02 juta (RM220.6 juta).

Elie menyewa bilik hotel tersebut dua hari sebelum itu kerana menghadiri perbicaraan satu kes mahkamah setelah didakwa membeli peralatan pejabat menggunakan wang palsu pada 2005.

Pada 2006, lelaki itu pernah mendakwa memiliki kekayaan bernilai AS$46 bilion (RM175 bilion) dan menyatakan hasratnya menderma RM1.01 bilion kepada Majlis Kanser Negara (MKN).

Dia pernah disiasat oleh polis ekoran wujudnya 'unsur-unsur mencurigakan' mengenai dirinya terutama apabila ada pihak tampil dengan lima laporan polis terhadapnya termasuk kes penipuan dan cabul.

Dua siswa, wartawan ditahan

KUALA LUMPUR 15 Jan. - Dua pelajar universiti dan seorang wartawan portal berita pembangkang ditahan ketika menyertai demonstrasi membantah penggunaan sistem e-undi dalam pilihan raya kampus di hadapan Kementerian Pengajian Tinggi di Putrajaya petang ini.

Pelajar terbabit dikatakan mewakili kumpulan lebih 50 anggota Soladiriti Mahasiswa Malaysia (SMM) yang berkumpul bagi menghantar memorandum tersebut, kira-kira pukul 3 petang ini.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Datuk Ku Chin Wah ketika dihubungi mengesahkan mengenai penahanan itu dan berkata ketiga-tiga mereka ditahan setelah enggan mematuhi arahan polis supaya bersurai.

Beliau berkata, mereka yang ditahan akan dibebaskan dengan jaminan pihak polis selepas proses merakamkan keterangan selesai.

"Kita baru sahaja tahan mereka dan sedang rakam percakapan. Mereka akan dibebaskan dengan jaminan sebaik sahaja polis selesai merakamkan percakapan," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Difahamkan, perhimpunan itu antara lain bertujuan menyerahkan memorandum kepada Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

Peniaga putus tangan akibat ditetak

KUALA LANGAT 15 Jan. - Seorang peniaga daging babi putus pergelangan tangan kanan akibat ditetak dua lelaki yang menyerangnya di hadapan rumah mangsa di Sungai Jarum, Jenjarom di sini pagi ini.

Ketika kejadian pukul 6.30 pagi itu, mangsa yang berusia lingkungan 50-an dikatakan baru tiba di pagar hadapan rumahnya selepas berpatah balik dari pasar untuk membuang air.

Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Suprintendan Mohamad Radzi Ishak berkata, semasa mangsa sedang membuka pagar rumah, dua lelaki bermotosikal dan bersenjatakan sebilah parang panjang tiba-tiba muncul dan menetak mangsa.

Beliau berkata, mangsa yang terkejut diserang dua lelaki itu tidak sempat mengelak dan hanya menggunakan tangan kanannya untuk bertahan daripada tetakan parang suspek.

"Serangan itu menyebabkan pergelangan tangan kanannya putus.

"Keluarga mangsa yang berada dalam rumah hanya menyedari kejadian itu apabila terdengar suara mangsa meraung kesakitan dan mereka terus meluru keluar untuk membantunya," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Menurut Mohamad Radzi, mangsa kini dirawat di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) dan usaha sedang dijalankan untuk menyambung semula pergelangan tangannya yang terputus.

Dalam pada itu, kata beliau, siasatan awal yang dijalankan mendapati mangsa tidak mempunyai musuh dan tidak mempunyai hutang dengan mana-mana individu. Motif kejadian juga masih disiasat.

Oleh kerana ketika kejadian hari masih gelap, ujarnya, mangsa tidak dapat mengecam wajah kedua-dua suspek.

Sehubungan itu, kata beliau, polis meminta kerjasama orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu supaya menghubungi mana-mana balai polis terdekat bagi membantu siasatan.

Lapor segera jika gereja terima ugutan

TEMERLOH 15 Jan. - Pihak jawatankuasa gereja di daerah ini yang menerima ugutan menerusi khidmat pesanan ringkas (SMS) diminta melaporkan segera kepada polis bagi memudahkan tindakan susulan diambil.

Ketua Polis Daerah Temerloh, Asisten Komisioner Ahmad Fadzillah Mohamed berkata, jawatankuasa gereja juga dinasihati tidak menyebarkan SMS itu kepada pihak lain kerana bimbang boleh mencetuskan ketegangan kaum dan agama.

Selain ugutan SMS, katanya, jawatankuasa gereja perlu menghubungi polis jika mengesan gerak-geri pihak mencurigakan berhampiran kawasan bangunan rumah ibadat mereka.

"Isu kalimah Allah adalah sensitif dan perlu ditangani segera dengan berhemah bagi menjamin ketenteraman awam.

"Polis memberi jaminan akan menjaga keselamatan dan melindungi semua rumah ibadat termasuk gereja di sekitar Temerloh dan Mentakab daripada sebarang perbuatan khianat," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Menurut Ahmad Fadzillah, jaminan itu diberikan selepas dia mengadakan pertemuan dengan dua jawatankuasa Gereja Khatolik Jalan Kerayong, Mentakab dan Gereja Gospel Chapel, Jalan Bahagia di sini baru-baru ini.

Hasil pertemuan itu, katanya, kedua-dua jawatankuasa gereja tersebut berpuas hati dengan jaminan polis dan akan memberi kerjasama supaya isu serangan gereja tidak berlaku di sini.

Ahmad Fadzilah juga menasihati pengurusan gereja menyediakan khidmat pengawal keselamatan dan memasang kamera litar tertutup (CCTV).

"Kita juga mengesyorkan mereka memasang lampu di sekitar bangunan pada waktu malam.

"Pihak polis akan membuat rondaan berkala bagi memastikan pihak yang sengaja mengambil kesempatan untuk menimbulkan ketegangan kaum dan agama dapat dibendung dan dihindari," katanya.

Tambahnya, terdapat tiga gereja utama dan 11 gereja kecil di sekitar bandar Temerloh dan Mentakab.

Polis Melaka tumpas Geng Irwan

MELAKA 15 Jan. - Sejak dua tahun lalu, lima lelaki yang digelar Geng Irwan terbabit dalam lebih 30 kes pecah kereta dan samun wang tunai yang dianggarkan bernilai RM300,000 di seluruh negeri ini.

Tanpa mempedulikan keselamatan dan kerugian yang terpaksa ditanggung mangsa, kumpulan penjenayah ini menggunakan palam pencucuh untuk memecahkan cermin kenderaan mangsa sebelum melarikan wang tunai.

Akhirnya, kegiatan Geng Irwan ini tumpas apabila tiga daripada mereka ditahan dalam satu operasi di Batu Berendam pada bulan lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Asisten Komisioner Mohd. Adnan Abdullah berkata, susulan penangkapan tiga lelaki itu, polis berjaya menahan dua lagi rakan mereka di Kuala Lumpur pada awal bulan ini.

"Kesemua ahli kumpulan Geng Irwan ini berusia lingkungan 20-an, terdiri daripada tiga rakyat tempatan dan dua warga asing," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Melaka hari ini.

Menurut Mohd. Adnan, pihaknya yakin dengan tertangkapnya lima ahli geng itu, lebih 30 kes pecah kenderaan dan samun sejak tahun 2007 dapat diselesaikan.

Beliau berkata, selain di Melaka, kumpulan tersebut juga dipercayai giat menjalankan kegiatan jenayah mereka di Johor, Negeri Sembilan dan Selangor.

Tambahnya, modus operandi kumpulan itu ialah meninjau mangsa yang mengeluarkan wang tunai yang banyak di sekitar institusi perbankan di negeri ini.

"Kumpulan ini akan menggunakan palam pencucuh untuk memecahkan cermin kenderaan sebelum melarikan wang tunai dibawa mangsa.

"Terdapat beberapa kes di mana suspek akan menunggu mangsa leka sebelum membuka pintu kenderaan dan melarikan wang tunai tanpa disedari," tambahnya.

Menurutnya, polis tidak menolak kemungkinan terdapat ahli kumpulan terbabit yang masih bebas dan sedang memburu mereka.

Setiausaha MDSR didakwa rasuah sekali lagi

BATU PAHAT 15 Jan. - Selepas didakwa dengan dua tuduhan rasuah minggu lalu, Setiausaha Majlis Daerah Simpang Renggam (MDSR) hari ini sekali lagi dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini atas tuduhan menerima rasuah RM10,000 pada pertengahan tahun lalu.

Mohd. Helmi Sha'ri, 28, (gambar) yang merupakan anak Timbalan Mufti Johor mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Mohamad Haldar Abdul Aziz.

Bapa kepada seorang anak itu didakwa menerima suapan dalam bentuk wang tunai RM10,000 daripada Rahmat Arsat, 61, di Pejabat MDSR pada 30 Mac tahun lalu bagi membiayai pakej lawatan ke Indonesia pada 23 hingga 27 April 2009.

Suapan tersebut didakwa sebagai dorongan untuk mempercepatkan tunggakan pembayaran kepada Syarikat Perniagaan Rahmat bagi kerja-kerja menolak dan menyelenggara sisa-sisa pepejal di kawasan Majlis Perbandaran Kluang dan Majlis Perbandaran Batu Pahat di tapak pelupusan sampah MDSR di Ladang CEP 1, Renggam, Simpang Renggam.

Dia didakwa mengikut Seksyen 16(a)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24 akta yang sama.

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dihukum penjara tidak lebih 20 tahun atau denda tidak kurang lima kali ganda jumlah suapan atau RM10,000 atau mengikut mana-mana nilai lebih tinggi.

Mohamad Haldar membenarkan tertuduh diikat jamin RM4,000 dengan seorang penjamin sementara menunggu sebutan semula kes pada 25 Mac ini.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Syafinaz Shabudin sementara tertuduh diwakili peguam bela, Rosli Kamaruddin.

Pada 6 Januari lalu, Mohd. Helmi mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Johor Bahru atas dua pertuduhan menerima rasuah bernilai RM50,000 pada pertengahan tahun lalu.

Dia didakwa menerima suapan dalam bentuk cek RHB Bank bernilai RM48,000 dan cek Bank Muamalat Malaysia Bhd. bernilai RM2,000 daripada Zainal Abidin Ibrahim, 49, antara pukul 2.45 petang dan 3.45 petang pada 13 April tahun lalu di Restoran Indahpura, Kulaijaya.

Wang suapan itu didakwa diterima bagi membiayai pakej lawatannya ke Indonesia pada 23 hingga 27 April tahun lalu dan sebagai dorongan untuk membantu Zainal Abidin mendapatkan projek-projek menaik taraf jalan dan sistem perparitan di sekitar kawasan pentadbiran MDSR bagi enam buah syarikat membabitkan wang berjumlah RM1.02 juta.

Tiada bukti bocor maklumat

Oleh NOOR AZMAH IBRAHIM
pengarang@utusan.com.my

SHAH ALAM 15 Jan. - Kebimbangan pakar patologi dari Thailand, Dr. Pornthip Rojanasunand akan didakwa berikutan penyiaran artikel berhubung hasil bedah siasat kedua Teoh Beng Hock berakhir apabila Peguam Negara mengesahkan tiada sebarang asas untuk mengheretnya ke mahkamah.

Peguam yang dilantik oleh kerajaan, Tan Hock Chuan dalam prosiding inkues di Mahkamah Koroner di sini hari ini memaklumkan bahawa Tan Sri Abdul Gani Patail yang meneliti kertas siasatan mendapati tiada bukti Pornthip membocorkan maklumat itu.

Katanya, Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan juga memberi jaminan bahawa Pornthip tidak akan ditahan atau disoal siasat berhubung laporan polis yang dibuat oleh pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Raub Ghani terhadapnya.

Sehubungan itu, jelas beliau, saksi tersebut berpeluang hadir ke mahkamah untuk memberi keterangan berhubung hasil bedah siasat kedua mayat Beng Hock tanpa sebarang ancaman atau gangguan.

''Kertas siasatan telah diserahkan kepada Jabatan Peguam Negara semalam. Peguam Negara telah teliti dan mendapati tiada bukti menunjukkan Pornthip membocorkan sebarang maklumat yang membawa kepada penyiaran artikel di akhbar Suara Keadilan.

''Jadi, tiada sebarang asas untuk membuat dakwaan terhadap Pornthip,'' katanya.

Sementara itu, Koroner Azmil Muntapa Abas, menyarankan perbicaraan permohonan abang Beng Hock, Teoh Meng Kee agar Raub dikenakan tindakan menghina mahkamah yang dijadualkan hari ini tidak dipanjangkan lagi.

Katanya, ia bertujuan membolehkan prosiding inkues diteruskan dengan keterangan oleh saksi-saksi termasuk Pornthip memandangkan beliau telah diberi jaminan tidak akan ditahan atau didakwa.

Saranan itu bagaimanapun dibantah oleh peguam yang mewakili keluarga Beng Hock, Karpal Singh dengan alasan perbuatan mengugut dan mengancam saksi telah pun dilakukan oleh Raub melalui laporan polis tersebut.

Katanya, pegawai SPRM itu telah melakukan kesalahan serius dan boleh didakwa mengikut Seksyen 5 Akta Pelarian dan Ancaman Secara Jenayah Saksi 1947.

Bantahan itu disokong oleh peguam Gobind Singh Deo dan peguam yang mewakili kerajaan negeri Selangor, Malik Imtiaz Sarwar.

Dalam prosiding hari ini, Karpal turut memohon agar Datuk Abdul Razak Musa dikenakan tindakan menghina mahkamah kerana mengeluarkan komen menyentuh keadaan fizikalnya yang tidak mampu berdiri.

Komen tersebut dibuat Ketua Bahagian Pendakwaan Undang-Undang SPRM semasa kedua-duanya bertikam lidah apabila Karpal berkali-kali menyuruh beliau duduk.

Abdul Razak bangun untuk membantah kenyataan Karpal bahawa Beng Hock telah dibunuh dengan kejam memandangkan ia masih belum terbukti.

Kata-kata: ''Saya akan duduk, tapi kamu tak boleh berdiri'' itu turut membangkitkan kemarahan Gobind sehingga beliau mendesak Abdul Razak dipenjara kerana mempersendakan seorang peguam berpengalaman.

Karpal kini berkerusi roda setelah teksi yang dinaikinya terlibat dalam kemalangan jalan raya beberapa tahun lalu.

Azmil bagaimanapun menolak permohonan tersebut dan hanya memberi peringatan kepada Abdul Razak kerana beliau telah memohon maaf tanpa syarat.

Beliau kemudiannya menetapkan 22 Januari ini untuk pihak-pihak berhujah sama ada laporan polis yang dibuat oleh Raub mempunyai elemen menghina mahkamah.

Pada 1 Januari lalu, dua pegawai SPRM, Raub dan Hisyam Mohd. Yusoff membuat laporan polis terhadap akhbar Suara Keadilan dan Pornthip di Ibu Pejabat Polis Daerah Shah Alam.

Kedua-dua laporan dibuat berdasarkan artikel bertajuk 'Pornthip sahkan Beng Hock dibunuh' yang disiarkan dalam akhbar tersebut bertarikh 29 Disember hingga 5 Januari 2010.

Beng Hock, 30, setiausaha politik kepada Exco kerajaan negeri Selangor, Ean Yong Hian Wah ditemui mati pada 16 Julai tahun lalu di tingkat lima, Plaza Masalam selepas memberi keterangan di pejabat SPRM Selangor yang terletak di tingkat 14 bangunan sama.

Bapa rogol anak dipenjara 32 tahun

KLANG 15 Jan. - Gara-gara melempiaskan nafsu dengan anak sendiri empat tahun lalu, seorang peniaga sayur terpaksa menghabiskan usia tua di sebalik tirai besi apabila dia dihukum penjara 32 tahun oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini.

Hakim Datuk Anita Harun menjatuhkan hukuman tersebut selepas tertuduh yang berusia 53 tahun itu didapati bersalah atas dua daripada tiga pertuduhan merogol anaknya yang berusia 10 tahun ketika kejadian.

Beliau memerintahkan hukuman penjara 16 tahun bagi kesalahan pertama dan jumlah yang sama bagi kesalahan kedua. Kedua-dua hukuman itu diperintahkan berjalan secara berasingan mulai tarikh tertuduh ditangkap pada 5 Jun 2006.

Lelaki itu didapati bersalah melakukan sumbang mahram dengan merogol anak kandungnya yang berusia 10 tahun empat bulan di rumahnya di Taman Permai, Banting dekat sini antara pukul 6 pagi dan 6 petang, sekitar Januari 2006.

Dia juga didapati bersalah merogol anak kandungnya itu di tempat yang sama antara pukul 7 malam dan 12 tengah malam, sekitar Februari 2006.

Dia bagaimanapun dibebaskan bagi tuduhan ketiga iaitu merogol mangsa tersebut antara pukul 6 pagi dan 6 petang, sekitar Mac 2006.

Bagi setiap pertuduhan, dakwaan terhadapnya dibuat mengikut Seksyen 376B Kanun Keseksaan yang memperuntukan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan jika disabitkan kesalahan.

Terdahulu, tertuduh merayu agar hukumannya diringankan dengan alasan dia telah insaf selain isterinya meninggal dunia akibat kanser sebulan sebelum kejadian pertama.

Timbalan Pendakwa Raya, Nurul Maisarah Kamal memohon hukuman berat sebagai pengajaran kepada tertuduh yang sanggup merogol anak sendiri selain pengajaran bagi masyarakat umum.

Sepanjang perbicaraan, pihak pendakwa mengemukakan lapan orang saksi, sementara hanya tertuduh seorang memberi keterangan di peringkat pembelaan.

Mengikut keterangan saksi, mangsa dirogol oleh tertuduh di atas sofa, katil dan di atas birai kolah di bilik air semasa abang dan kakaknya tiada di rumah.

Perbuatan itu hanya terbongkar apabila mangsa mengadu kepada ibu saudara dan kakaknya yang kemudiannya membuat laporan polis.