Search This Blog

Friday, December 10, 2010

Warga asing ditembak mati ketika cuba pecah rumah




2010/12/10

SEREMBAN: Seorang lelaki warga asing yang menyerang polis dengan sebilah parang, mati ditembak dalam satu kejadian di Taman Desa Ros, Ampangan dekat sini, hari ini.

Ketua Polis negeri, Datuk Osman Salleh, berkata ketika kejadian 4 pagi tadi, lelaki berkenaan bersama dua lagi yang berjaya melarikan diri, sedang memecah masuk ke sebuah rumah.
Beliau berkata, sepasukan polis dari Ibu Pejabat Kontinjen Polis negeri dihantar ke kawasan perumahan tersebut selepas menerima maklumat awam."Dalam kejadian ini, pasukan polis telah berpecah dua yang mana pasukan yang
di belakang sebuah rumah di situ telah terserempak dengan sekumpulan tiga orang lelaki sedang memotong pagar rumah tersebut.

"Apabila menyedari kehadiran polis, mereka telah berpecah untuk melarikan diri walaupun telah diberi amaran oleh polis. Seorang daripada mereka kemudian cuba menyerang polis dengan sebilah parang," katanya.

Beliau berkata, lelaki tersebut yang memakai topeng ski dan sarung tangan juga tidak mengendahkan amaran supaya berhenti, menyebabkan polis melepaskan dua das tembakan yang mengenai kepala dan dadanya.
"Dua lagi melarikan diri ke arah semak di belakang kawasan perumahan tersebut. Selepas diperiksa, selain sebilah parang di sisi mayat lelaki yang ditembak, polis juga menemui sebilah lagi parang, satu alat pemotong dan satu pemutar skru di kawasan berhampiran," katanya.

Katanya, polis juga yakin lelaki yang ditembak mati itu adalah ketua kumpulan penjenayah warga asing yang dikenali "Kumpulan Gemuk" dan dipercayai terbabit dengan 26 kes samun bersenjata di negeri itu.

Tahun ini saja, katanya, sebanyak tujuh kes dipercayai dilakukan kumpulan tersebut di sekitar Paroi dan Rahang.

"Modus operandi kumpulan ini selalunya memecah masuk menerusi bahagian belakang rumah. Setiap kali melakukan pecah rumah, mereka selalunya membeli alat baru seperti parang, pemotong dan pemutar skru. Selepas saja digunakan, alat baru ini akan dibuang terus.

"Pihak polis telah memantau kumpulan ini yang didapati aktif sejak dua tahun lepas," katanya.

Beliau berkata, polis kini mengesan tiga lagi anggota kumpulan itu termasuk seorang dipercayai bertindak sebagai pemandu kenderaan yang diguna bagi melarikan diri selepas menyamun. - BERNAMA 

No comments:

Post a Comment