Search This Blog

Friday, December 24, 2010

Terselamat rumah dihempap pokok getah



SEBERANG TEMERLOH – Seorang penjawat awam yang sedang berwuduk dalam bilik air terkejut apabila sebatang pokok getah tumbang menghempap rumahnya di Kampung Tebal di sini jam 6 petang kelmarin.

Abd Rani Mohd Razali, 34, yang terselamat dalam kejadian itu baru sahaja sampai di rumah ketika angin kencang dan hujan lebat petang kelmarin.

“Ketika berwuduk saya dikejutkan dengan bunyi runtuhan kuat mengenai bumbung dan dinding rumah sebelum beberapa dahan getah yang patah dari bumbung menuju tepat ke arah saya.

“Dalam kekalutan saya sempat mengelak lalu berlari mendapatkan anak dan isteri di bilik sebelah dan keluar dari rumah,” katanya sewaktu ditemui di rumahnya semalam.

Abd Rani berkata, semasa kejadian isteri dan lima anaknya berada dalam rumah. Dua anaknya termasuk anak bongsu berusia sebulan tidur di bilik sebelah yang rosak dihempap batang getah.

Menurutnya, dia bernasib baik kerana semua ahli keluarganya terselamat walaupun mengalami detik cemas dalam kejadian itu.

Abd Rani berkata, beberapa hari sebelum kejadian, dia menebang sebatang pokok rambutan di sebelah rumahnya yang berbahaya jika berlaku ribut.

“Tak sangka pula pokok l+ain yang tumbang menghempap rumah,” katanya.

Abd Rani berkata, akibat kejadian dia mengalami kerugian yang dianggarkan lebih RM3,000 yang membabitkan kerosakan bumbung dan siling rumahnya.

Antara yang awal melawat mangsa semalam ialah Pengerusi Biro Kebajikan Pertubuhan Kebajikan Warisan Kuala Semantan, Sukri Abu Bakar dan Bendaharinya, Mohamad Tais yang melawat dan menyampaikan sumbangan kepada mangsa.

No comments:

Post a Comment