Search This Blog

Friday, December 10, 2010

Terima padah beri rasuah





KUANTAN - “Saya memohon supaya tidak dijatuhkan hukuman berat, lagipun saya ada dua anak yang perlu dijaga selepas mendiang isteri meninggal dunia akibat bunuh diri kerana minum racun,” itu rayuan seorang pemandu lori, K.Murugan, 38 di Mahkamah Sesyen 1, di sini, semalam. 

Menurutnya, dia perlu menjaga dua anaknya yang berusia 8 dan 10 tahun selepas pemergian mendiang isterinya dan merayu supaya Hakim Noradidah Ahmad menjatuhkan hukuman setimpal. 

Namun Hakim Noradidah menjatuhkan hukuman penjara sehari dan denda RM25,000 atau enam bulan penjara jika gagal membayarnya selepas menyatakan ia kesalahan itu demi kepentingan awam. 

Tertuduh yang berasal dari Port Dickson itu tenang ketika membuat pengakuan bersalah atas kesalahan memberikan satu suapan iaitu wang tunai RM5,000 kepada seorang ejen Kerajaan Malaysia iaitu seorang Penolong Pegawai Penguat kuasa, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK). 

Timbalan Pendakwa Raya dari Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Syafinaz Shabudin mengendalikan kes itu. 

Mengikut fakta kes, kejadian berlaku pada 10 November 2010 lalu kira-kira jam 4.50 pagi bertempat di sebuah stor Jalan Feri Lama Kampung Tanjung Gemok, Endau Rompin. 

Dalam satu operasi bersama KPDNKK, Ibu Pejabat SPRM dan SPRM Cawangan Kluang bagi mengesan aktiviti penyelewengan diesel subsidi di sekitar lokasi Endau-Rompin. 

Kira-kira jam 4.30 pagi, pengadu mendapat isyarat memaklumkan lori yang dipandu tertuduh telah memasuki ke kawasan kejadian dan mendapati tertuduh sedang melakukan kerja-kerja pemindahan diesel subsidi daripada tangki minyak ke dalam lori tangki. 

Selepas pemeriksaan, tertuduh meminta perbincangan dan meminta tolong supaya tidak diambil tindakan terhadap pengadu dan selepas pengadu memberi amaran perbuatan memberikan suapan adalah salah di sisi undang-undang namun tertuduh masih mendesak. 

Tertuduh kemudiannya menyerahkan wang tunai RM50 sebanyak 100 keping yang turut dikemukakan ke mahkamah sebagai bahan bukti daripada tangan kanannya dan menghulurkan kepada pengadu sambil berkata wang RM5,000 yang diperhatikan pegawai SPRM terlibat. 

Pegawai itu kemudiannya terus memperkenalkan diri sebagai pegawai SPRM terhadap tertuduh dan menangkapnya atas kesalahan memberi rasuah kepada penjawat awam atas kesalahan berkaitan barang kawalan diesel di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961. 

Tertuduh disabitkan kesalahan di bawah Seksyen 17 (b) Akta SPRM 2009 dan boleh dihukum di bawah seksyen 24 Akta yang sama membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda maksimum lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana-mana lebih tinggi.

No comments:

Post a Comment