Search This Blog

Friday, December 17, 2010

Terbayang ajal menjemput

DUNGUN: “Saya sedih kerana terpaksa melepaskannya dalam keadaan terkapai-kapai ditelan ombak biarpun rakan saya itu masih memanggil saya minta diselamatkan.
“Apakan daya saya, ketika itu saya sudah keletihan dan kejang kaki selain banyak terminum air laut,” kata Muhammad Sulaiman, 30, dari Kampung Pulau Serai, di sini.

Rakannya, Bahaman Yusof, 26, dari Pengkalan Nyereh, Besut, gagal diselamatkan dan ditemui lemas dalam kejadian di pantai Kuala Abang, di sini, pada jam 12.20 tengah hari semalam.

Menurut Muhammad, sebelum kejadian, Bahaman dan 11 rakannya yang aktif dalam kegiatan tabligh baru tiba di Masjid Kuala Abang kira-kira jam 7.30 pagi dari Surau Haji Yusof, Kampung Batu Tiong, di sini.

Katanya, dia dan Bahaman bersama tiga rakan ke pantai belakang masjid berkenaan untuk mandi pada jam 10 pagi sebelum mangsa dilihat terkapai-kapai kira-kira 30 meter dari pantai.

“Tanpa berlengah saya terus meredah ombak kuat dan berjaya memegangnya lalu menolaknya dari belakang untuk ke daratan, namun selepas 15 minit membantu saya terpaksa melepaskan mangsa meskipun dia masih memanggil nama saya kerana mengalami kekejangan kaki selain tidak berdaya berikutan banyak terminum air laut,” katanya.


Katanya, dia juga terbayang ajal menjemputnya kerana sudah tidak mampu berenang ke daratan dan dia ketika itu hanya berserah kepada takdir.

“Keadaan tiba-tiba berubah apabila kaki saya terasa memijak kawasan berpasir dan dengan perlahan-lahan saya ke daratan,” katanya.

Katanya, sebelum ke pantai mangsa sudah dibekalkan dengan pelampung, namun mungkin leka menyebabkan peralatan itu terlepas dari pegangannya.

Katanya, ketika kejadian mangsa jauh di tengah laut, manakala dia dan rakan lain mandi berhampiran pantai.

“Suara Bahaman yang sayu-sayu meminta saya menolongnya masih bermain di telinga. Saya sedih kerana tidak mampu membantunya,” katanya.

Katanya, mangsa aktif dalam kegiatan tabligh dan sudah berada di daerah itu 24 hari.

“Sebelum kejadian, seorang jemaah memberitahu bermimpi salah seorang daripada 12 jemaah dalam kumpulan itu tidak akan pulang selepas 40 hari di daerah ini,” katanya.

No comments:

Post a Comment