Search This Blog

Saturday, December 25, 2010

Sempat beli baju sekolah anak sebelum maut



Boon Soom Inong (dua kiri) berbual dengan Eerun Aicher (tiga kanan) ketika melawat keluarga Soontorn Kian Kian di Kampung Pida 8, Jerlun, Kedah, semalam.


JERLUN 24 Dis. - Pemandu pelancong rakyat Malaysia keturunan Siam yang terbunuh dalam nahas bas persiaran di Jalan Cameron Highlands-Simpang Pulai, Isnin lalu sempat membelikan pakaian sekolah untuk tiga anaknya tiga hari sebelum tragedi yang meragut nyawanya.
Soontorn Kian Kian, 38, membawa anak-anaknya, Jaytawaan, 13; Aynneetha, 10 dan Wathcharyn, 7, membeli barangan keperluan sekolah di Jitra pada Jumaat lalu.
Bapanya, Kian Kleu, 63, berkata, anak sulungnya itu menggunakan masa tersebut untuk memastikan barangan keperluan sekolah anaknya dibereskan sebelum keluar bekerja pada Sabtu lalu.
"Dia tidak cakap apa-apa semasa keluar bekerja tetapi ada memberitahu kami akan pergi membawa pelancong ke Cameron Highlands.
"Kami sekeluarga sangat terkejut dengan kemalangan ini kerana pada kira-kira pukul 9 pagi hari kejadian, dia ada menghubungi kami memberitahu akan balik pada hari tersebut," katanya yang ditemui di rumahnya di Kampung Pida 8, dekat sini, semalam.
Sebelum itu, Ahli Dewan Negara, Senator Boon Soom Inong meluangkan masa menziarahi keluarga itu dan memberikan penghormatan terakhir kepada mayat Soontorn.
Kian memberitahu, Soontorn sudah bekerja kira-kira setahun sebagai pemandu pelancong dengan syarikat berkenaan dan tidak pernah mengadu apa-apa mengenai kerjaya itu.
Sementara itu, bekas isteri Soontorn, Eerun Aicher, 39, berkata, walaupun mereka sudah berpisah selama lima tahun, Soontorn tidak pernah lupa tanggungjawab sebagai bapa.
Katanya, mendiang akan selalu menghubungi anak-anak yang tinggal bersama beliau di Pengkalan Hulu, Perak.
"Apabila cuti sekolah, dia akan membawa anak-anak tinggal bersamanya di sini (Jerlun).
"Apa yang saya bimbang, anak kedua, Aynneetha akan terasa kehilangannya kerana mendiang gemar memanjakan anak perempuannya itu," katanya.
Mayat Soontorn dijangka dibakar pada Khamis ini sebelum disempurnakan mengikut agama Buddha.

No comments:

Post a Comment