Search This Blog

Friday, December 24, 2010

Rugi RM280,000 akibat ‘gatal tangan’




ALOR SETAR - Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS) terpaksa membazirkan wang lebih RM280,000 akibat penyakit ‘gatal tangan’ atau vandalisme oleh pihak tidak bertanggungjawab yang sengaja merosakkan harta benda awam.

Datuk Bandar, Datuk Khazali Din berkata, kos untuk membaik pulih harta benda awam yang rosak amat tinggi dan pihaknya kini membuat pemantauan lebih ketat di lokasi-lokasi yang dikenal pasti bagi membendung gejala itu.

“MBAS telah membaik pulih kolam air di Taman Jubli Perak termasuk menggantikan lampu hiasan yang rosak di Dataran Medan Bandar akibat perbuatan vandalisme. Kita terpaksa memperuntukkan RM200,000 untuk baik pulih kolam air yang tercemar manakala RM80,000 untuk menggantikan lampu hiasan yang rosak,” katanya.

Menurutnya, walaupun MBAS membuat pemantauan dengan menempatkan anggota penguatkuasa preman selain memasang rakaman litar tertutup (CCTV), namun sikap orang awam yang harus diubah sekiranya mahu vandalisme dihentikan.

“Semua ini berlaku kerana kebanyakan orang awam tidak peka dengan alam sekitar. Jika berterusan MBAS tidak teragak-agak menguatkuasakan undang-undang lebih ketat, dengan menaikkan kadar denda lebih tinggi jika tertangkap,” katanya.

Khazali berkata, MBAS turut melaksanakan gerak gempur kempen kebersihan membabitkan lebih 1,000 anggota membersihkan jalan-jalan utama termasuk persekitaran bandaraya bagi memastikan bandar ini bebas daripada sampah sarap.

“Kami turun padang mengutip sampah di jalanan kerana kecewa dengan sikap masyarakat yang gemar membuang sampah merata-rata. Sikap ini harus dikikis jika mahu melihat bandaraya ini bersih dan indah dan ini memerlukan kerjasama semua pihak,” katanya.

Menurutnya, kempen kebersihan MBAS akan diperluas ke peringkat sekolah supaya golongan ini didedahkan dengan ilmu menghargai alam sekitar, selain diterapkan dengan nilai-nilai murni.

“Dianggarkan hanya 10 peratus penduduk Kedah peka dengan isu kebersihan alam sekitar, sedangkan bukannya payah untuk menjaga alam sekitar.               Mulai sekarang, kita harus tanamkan sikap tidak membuang sampah merata-rata dan mahu semua penduduk terlibat dalam kempen ini,” katanya.

Khazali berkata, pihaknya akan meningkatkan kadar kompaun kepada RM300 sekiranya orang ramai masih berdegil dan enggan memberi kerjasama.

“Jika kompaun RM20 bagi kesalahan membuang sampah terlalu rendah dan tidak memberi pengajaran, kita tidak teragak-agak naikkan denda kepada RM300,” katanya.

No comments:

Post a Comment