Search This Blog

Sunday, December 26, 2010

Remaja lelaki maut kemalangan



TEMERLOH – Seorang remaja maut apabila motosikal ditungganginya melanggar pembahagi jalan di Kilometer 2 Jalan Karak-Mentakab di hadapan Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan Hwa Lian kira-kira jam 8.50 malam semalam.

Mangsa yang dikenali sebagai Mohd Izwan Ibrahim, 20, itu mati serta-merta di tempat kejadian akibat patah tengkuk selain kecederaan di bahagian kepala.

Ketua Bahagian Ketenteraman Awam dan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Temerloh, Asisten Superintendan Mohd Hamzah berkata, kemalangan itu dipercayai membabitkan seorang lagi penunggang motosikal yang menghilangkan diri.

Menurutnya, saksi kejadian itu menyatakan bahawa mangsa bergesel dengan sebuah lagi motosikal lalu terbabas ke tengah jalan.

“Pada masa sama, sebuah kereta dari lorong kiri berjaya mengelak penunggang motosikal yang melarikan diri itu lalu bergesel dengan sebuah motosikal lain.

“Bagaimanapun, tiada kecederaan lain membabitkan pengguna jalan raya lain kecuali mangsa,” katanya.

Mohd berkata, kes itu disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Mohd menasihati orang ramai khususnya pengguna jalan raya supaya sentiasa berhati-hati ketika memandu dalam keadaan cuaca tidak menentu sekarang.

Beliau berkata, permukaan jalan licin boleh menyebabkan kejadian tidak diingini berlaku malah kecuaian pengguna ketika berada di atas jalan raya boleh menyebabkan orang tidak bersalah menjadi mangsa.

No comments:

Post a Comment