Search This Blog

Friday, December 10, 2010

Pengusaha dodol mati jatuh kawah


Oleh Fazurawati Che Lah
bhkb@bharian.com.my
2010/12/10

MESIN pengacau dodol yang meragut nyawa Wan Zainab (gambar kecil), semalam.
MESIN pengacau dodol yang meragut nyawa Wan Zainab (gambar kecil), semalam.
Wanita melecur, tangan remuk terperangkap putaran mata mesin

TUMPAT: Hasrat seorang pengusaha dodol memenuhi permintaan pasaran yang tinggi ketika cuti sekolah, bertukar tragedi apabila mati terjerumus ke dalam kawah panas dodol yang dimasaknya itu, petang semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 5 petang di Kampung Laut dekat sini, mangsa, Wan Zainab Wan Ali, 62, meninggal dunia ketika dikejarkan untuk rawatan kecemasan di Hospital Tumpat, sejurus dikeluarkan anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Tumpat.Mangsa mati dalam keadaan melecur teruk pada kedua-dua kaki dan muka, selain tangan kanannya remuk akibat terperangkap pada putaran mata mesin pengacau dodol berkenaan.

Ketua Operasi Bomba dan Penyelamat Tumpat, Yaakub Abdullah berkata, mangsa dipercayai terjerumus dalam kawah selepas tudung dipakainya tersangkut dan terlilit pada batang mesin pengacau dodol terbabit ketika memeriksa masakan berkenaan.

Anak saudara mangsa, Nik Roslan Nik Hussein, 41, berkata beliau bergegas ke bangsal tempat ibu saudaranya mengusahakan dodol selepas terdengar jeritannya meminta tolong.

“Saya bergegas meninjau keadaan mak cik yang bersendirian di bangsal dan terkejut melihatnya sedang dipusing mesin pengacau dodol sambil meraung kesakitan. Saya terus mematikan mesin terbabit sebelum mengambil air menjirusnya dan memanggil bantuan penduduk. 
“Penduduk yang datang hanya menyiram air pada dodol panas kerana sukar mengeluarkan mak cik berikutan keadaannya mengerikan dengan kaki tersekat pada sebelah batang mesin,” katanya.

Enam anggota Bomba dan Penyelamat Tumpat yang tiba pada jam 5.30 petang, mengambil masa kira-kira lima minit untuk memotong komponen kawah sebesar satu pemeluk dengan ketinggian kira-kira 1.3 meter itu dan mengeluarkan mangsa yang terus dipeluk anaknya, Zarika, 40, dalam keadaan menyayat hati. 

No comments:

Post a Comment