Search This Blog

Saturday, December 11, 2010

Pemandu teksi dakwa ditembak polis


KUALA LUMPUR 10 Dis. - Seorang pemandu teksi yang cedera ditembak di Jalan Pudu pada 23 September lalu, hari ini tampil mendakwa penembak itu adalah seorang anggota polis.
Berikutan itu Yeow Leong Kang, 41, membuat laporan berhubung kejadian menimpanya di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Cheras di sini.
Turut hadir bersamanya ialah Ahli Parlimen Segambut, Lim Lip Eng; Ahli Parlimen Bukit Bintang, Fong Kui Lun dan Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar.
Leong Kang mendakwa, dia mengesyaki penembak itu adalah polis kerana individu pertama menghampiri dia ketika kejadian adalah seorang anggota polis.
Menceritakan semula insiden itu katanya, ketika kejadian dia sedang tidur dalam kenderaannya sebelum tiba-tiba dikejutkan dengan bunyi letupan.
Dakwanya, selepas itu dia tersedar dan mendapati orang ramai mula mengerumuni kenderaannya.
Menurutnya, pada masa sama dia mendapati darah mula mengalir dari kedua-dua belah kakinya.
"Ketika itu datang seorang lelaki dan memperkenalkan dirinya sebagai anggota polis dan meminta saya supaya tidak bergerak.
"Badan saya ketika itu jadi seram sejuk dan mula terasa darah keluar dengan banyak di kedua-dua kaki. Polis itu memaklumkan sudah menghubungi ambulans untuk membawa saya ke PPUKM (Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia) bagi mendapatkan rawatan lanjut," katanya.
Pada 24 September lalu, akhbar melaporkan Leong Kang cedera di kaki apabila terkena satu das tembakan daripada seorang lelaki.
Dalam kejadian pukul 4.45 petang itu, suspek yang dipercayai menaiki sebuah motosikal telah melepaskan satu das tembakan ke arah mangsa.
Leong Kang mendakwa, tembakan yang dilepaskan suspek menembusi pintu sebelah pemandu sebelum terkena pada betis kanan dan tapak kaki kirinya.
Berikutan itu jelasnya, dia hilang upaya untuk berjalan dan tidak dapat memandu teksi yang merupakan sumber pendapatannya selama ini.
Dakwa Leong Kang yang masih bujang, dia sedih ekoran kejadian itu, dia terpaksa berehat di rumah dan tidak boleh memandu teksi seperti biasa.
Justeru katanya, dia berharap pihak polis dapat menyiasat kejadian itu dan memohon supaya pampasan dapat diberikan berikutan kerugian yang ditanggung.

No comments:

Post a Comment