Search This Blog

Sunday, December 26, 2010

Pelancong cemas rumah tumpangan terbakar

ANGGOTA Bomba dan Penyelamat berusaha memadam sisa kebakaran yang memusnahkan 37 bilik tamu tempat penginapan pelancong asing dan dua buah rumah di Kampung Belacan, Batu Feringgi, Pulau Pinang, hari ini. Tiada kemalangan jiwa dilaporkan memandangkan ramai penghuninya sedang beriadah di pantai berdekatan. - Foto Bernama

PULAU PINANG 25 Dis. - Lebih 150 pelancong terpaksa melalui saat-saat cemas berasak-asak meredah laluan keluar yang sempit dan dilitupi asap tebal apabila dua buah rumah tumpangan dua tingkat yang mereka huni di Bayu Senja, Batu Feringghi di sini terbakar pagi ini.
Selain dua rumah tumpangan mengandungi 37 bilik itu, turut hangus dalam kejadian kira-kira pukul 11.40 pagi di Kampung Belacan di sini ialah dua buah kediaman yang terletak di kawasan berdekatan.
Dalam kejadian berkenaan, semua penghuni terdiri daripada pelancong asing dan tempatan berjaya menyelamatkan diri tetapi sebahagiannya terpaksa mengorbankan barangan termasuk dokumen seperti tiket kapal terbang, pasport dan pakaian yang gagal diselamatkan.
Asap tebal kebakaran tersebut dapat dilihat dari jauh dan ia dipercayai bermula di tingkat bawah rumah berkenaan yang berdekatan dengan Masjid Batu Feringghi dan Hotel Park Royal di sini.
Timbalan Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat (Operasi) negeri, Mohd. Razam Taja Rahim ketika ditemui di tempat kejadian berkata, struktur rumah yang diperbuat daripada kayu menyebabkan api merebak dengan cepat dan sukar dikawal.
Jelasnya, selain faktor tiupan angin kerana kawasan tersebut terletak berdekatan pantai, faktor cuaca yang kering juga menyumbang kepada keadaan itu.
Menurutnya, enam jentera bomba dari Jalan Perak, Bagan Jermal dan Teluk Bahang dengan 35 anggota dikejarkan ke tempat kejadian sebaik sahaja mendapat panggilan daripada orang awam.
"Selain berjaya memadamkan api dalam masa 15 minit, tindakan pantas anggota juga berjaya menyelamatkan 10 rumah lain yang berada di kawasan berdekatan daripada turut terbakar," katanya.
Jelas Mohd. Razam, pihaknya mengambil masa kira-kira-kira sejam untuk mengawal kebakaran itu sepenuhnya.
Katanya, tiada kemalangan jiwa dilaporkan kerana semasa kejadian kebanyakan pelancong yang menginap di rumah tumpangan itu berada di pantai Batu Feringghi dan keluar bersiar-siar di kawasan sekitar.
Bagaimanapun, katanya, dua anggota bomba sukarela cedera di tangan akibat terkena api ketika cuba memadamkan kebakaran itu.
Tambah beliau, pihaknya sedang menyiasat punca dan jumlah kerugian akibat kejadian itu.
Kebakaran itu menyebabkan jalan menghala ke Batu Feringghi sesak teruk kira-kira 10 kilometer.
Sementara itu, seorang saksi, G. Shanta, 30, berkata, selain barang berharga miliknya, 15 pasport antarabangsa milik pelancong dari India yang berada dalam simpanannya turut musnah dalam kejadian itu.
Salah seorang pemilik rumah tumpangan berkenaan, Zuhana Mohd. Ali pula berkata, kebakaran itu merupakan kali kedua berlaku di premis itu.
Katanya, kejadian pertama yang berlaku pada 1987 memusnahkan sebahagian kecil rumah itu sebelum ia dibangunkan semula oleh arwah ayahnya.

No comments:

Post a Comment