Search This Blog

Sunday, December 26, 2010

Pelajar 16 tahun antara dicekup dalam Ops Tapis bersepadu





2010/12/25

HULU TERENGGANU: Usianya baru menjangkau 16 tahun, namun seorang remaja lelaki anak kepada peneroka di sini sudah terbabit dengan penagihan dadah sejak berusia 15 tahun lagi. 

Biarpun tahu perbuatan yang dilakukan salah di sisi undang-undang namun remaja lelaki ini tidak pernah gentar, malah terus menjadikan tabiat buruk mengambil pil kuda sebagai rutin hariannya.
Bagaimanapun, suspek yang masih bersekolah di sebuah sekolah menengah di sini, dicekup polis dalam Ops Tapis Bersepadu awal pagi semalam.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik negeri, Superintendan Roslan Abd Wahid, berkata suspek ditahan kira-kira jam 3 pagi dalam serbuan di rumahnya di FELDA Jerangau Barat. 

"Suspek dibawa ke Balai Polis Ajil untuk menjalani ujian saringan air kencing. Hasil ujian itu mendapati dia positif dadah jenis pil kuda dan pelajar itu kini ditahan untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya di sini. 

Menurut Roslan, dalam operasi itu seramai 87 diperiksa dan 66 daripadanya didapati positif dadah, semua suspek berumur antara 16 dan 40 tahun yang kini direman untuk siasatan lanjut. 

"Selain positif dadah, ada yang ditahan disiasat kerana terlibat dalam memiliki dan mengedar dadah," kata beliau. 
Katanya, turut dirampas dalam operasi itu sejumlah dadah jenis heroin, syabu dan sebiji pil kuda. 

Operasi disertai 66 pegawai dan anggota dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen negeri dengan diketuai Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Deputi Superintendan Amran Ramli. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment