Search This Blog

Thursday, December 9, 2010

Nigeria fail saman Dick Cheney


LAGOS 8 Dis. - Pihak berkuasa Nigeria memfailkan dakwaan terhadap bekas Naib Presiden Amerika Syarikat (AS), Dick Cheney dan beberapa orang lain berhubung skandal rasuah yang didakwa melibatkan syarikat tenaga, Halliburton.
Mereka yang didakwa termasuk Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Halliburton, David Lesar serta Halliburton Inc, bekas anak syarikatnya Kellogg Brown and Root (KBR), bekas ketua KBR Albert 'Jack' Stanley dan ketua KBR sekarang, William Utt.
"Dakwaan konspirasi dan menawarkan sogokan kepada pegawai awam adalah antara tuduhan yang difailkan.
"Terdapat juga satu tuduhan menghalang proses keadilan," kata Pendakwa Raya, Godwin Obla mengenai 16 tuduhan yang difailkan di Mahkamah Tinggi di ibu negara Nigeria, Abuja.
Seorang jurucakap agensi antirasuah negara ini mengesahkan tuduhan yang difailkan terhadap sembilan suspek, termasuk Cheney yang mengetuai Halliburton sebelum menjadi Naib Presiden AS selepas pilihan raya Presiden AS pada 2000.
Kes itu membabitkan skandal pembayaran wang tunai berjumlah AS$182 juta (RM564 juta) untuk mendapatkan kontrak bagi tempoh 10 tahun sehingga 2005 berhubung pembinaan sebuah loji gas asli cecair (LNG) di selatan Nigeria.
Halliburton menafikan pembabitan dalam kes itu dan jurucakap Cheney menyifatkan tuduhan terhadap beliau sebagai tidak berasas.
Konsortium yang terlibat dalam projek loji gas itu, TSKJ turut didakwa.
Obla dalam kenyataannya berkata, langkah itu diambil selaras dengan komitmen Nigeria untuk membawa ke muka pengadilan semua yang terlibat dalam kegiatan jenayah berkaitan pemberian rasuah untuk kontrak berhubung projek LNG yang berlarutan untuk tempoh yang lama. - AFP

No comments:

Post a Comment