Search This Blog

Saturday, December 25, 2010

‘Mereka terjun tengah laut’

KOTA KINABALU: “Saya dibawa menaiki bot oleh sekumpulan lelaki bersenjata ke tengah laut sebelum semua mereka terjun meninggalkan kami sebaik mendengar deruman enjin bot lain menghampiri bot kami,” kata Lai Wing Chau, 26, menceritakan detik diselamatkan komando Unit Tindakan Khas Polis Filipina pada 22 Disember lalu.
Dia bersama sepupunya Tsen Vui Chung, 41, yang diculik sekumpulan lelaki bersenjata di perairan Pulau Sebangkat, Semporna pada 8 Februari lalu tiba di Terminal Dua Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA) tepat jam 5.50 petang semalam.

Ketibaan mereka yang menaiki pesawat Sebu Pacific Air dari Manila, Filipina turut diiringi Duta Besar Malaysia di Filipina, Datuk Dr Ibrahim Saad.

Lai berkata, pada malam itu, dia tidak mengetahui akan diselamatkan, cuma diarahkan menaiki bot dengan keadaan tangan diikat tanpa menutup mata.

Menurut Lai, ini kerana mereka sering berpindah dari satu tempat ke tempat lain dan menganggap ia perkara biasa sejak ditahan.

“Keadaan yang gelap menyukarkan saya mengecam semua mereka dan hanya menurut arahan supaya menaiki bot.

“Ketika berada di tengah laut, saya mendengar bunyi enjin bot dan semua pengganas bersenjata ini terjun ke laut melarikan diri sebelum ketibaan pasukan komando,” katanya sambil memberitahu semua penculik terbabit fasih berbahasa Melayu.

Menurut Lai, dia dan Tsen tidak pernah dikasari, malah dilayan dengan baik termasuk diberi makan setiap hari.
“Pembebasan ini hadiah Krismas paling bermakna buat saya sekeluarga dan saya mengucapkan terima kasih kepada kerajaan Filipina dan negara ini yang menyelamatkan kami,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Pesuruhjaya Polis Sabah, Senior Asisten Komisioner Tan Kok Lian berkata, pihaknya masih menyiasat untuk mengenal pasti semua penjenayah terbabit.

“Masih terlalu awal untuk mengenal pasti identiti mereka tetapi polis sudah mendapat beberapa petunjuk.

“Kami akan bekerjasama dengan Polis Filipina dalam membanteras aktiviti seumpama ini berulang pada masa akan datang,” katanya.

Tan berkata, pihaknya tidak boleh mendedahkan petunjuk itu atas faktor keselamatan.

“Namun, saya memberi jaminan keselamatan negara terutama kawasan perairan bersempadan dengan negara jiran akan dipertingkatkan.

“Kami juga mengucapkan terima kasih atas kerjasama erat Polis Filipina dan apa yang penting, kedua-dua tebusan ini selamat pulang,” katanya.

No comments:

Post a Comment