Search This Blog

Friday, December 10, 2010

Maut ditembak ketika berburu


KENINGAU 9 Dis. – Seorang lelaki maut selepas terkena satu das tembakan yang dipercayai dilepaskan oleh ahli keluarganya ketika memburu di hutan sekitar Nabawan kira-kira 100 kilometer dari sini pada Isnin lalu.
Jainol Wot, 45, sempat dihantar ke Hospital Keningau untuk diberikan rawatan kecemasan, namun disahkan meninggal dunia kira-kira pukul 7.20 petang hari yang sama.
Ketua Polis Daerah, Deputi Supritendan Zahari Mohamed berkata, tembakan peluru penabur dari senapang buatan sendiri itu menyebabkan mangsa mengalami kecederaan di perut, kaki, paha dan kemaluan.
“Sebelum dihantar ke Hospital Keningau, mangsa mendapat rawatan awal di Klinik Kesihatan Nabawan.
“Maklumat awal menunjukkan mangsa keluar memburu bersama adik iparnya di kawasan hutan berhampiran ladang getah kira-kira pukul 4 petang,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.
Zahari menambah, selain mangsa dan adik iparnya, satu lagi kumpulan daripada keluarga yang sama dikatakan keluar memburu babi hutan di kawasan itu.
Katanya, kumpulan kedua yang terdiri daripada adik ipar dan sepupu mangsa itu dikatakan melepaskan tembakan kerana menyangka mangsa ialah babi hutan.
Beliau berkata, ketiga-tiga suspek, semuanya ahli keluarga mangsa berusia antara 25 hingga 27 tahun ditahan untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

No comments:

Post a Comment