Search This Blog

Friday, December 31, 2010

Mangsa tikaman 19 kali jalani pembedahan tampal kulit




SENAI – Mangsa tikaman 19 kali, Nur Ain Ashikin Jemedi, 17, dijangka menjalani pembedahan bagi menampal kulit di seluruh anggota badannya.

Kakak mangsa, Marlina Jemedi, 30, berkata, beliau difahamkan doktor, adiknya perlu menjalani proses tampal kulit selepas keadaan adiknya stabil.

“Kami sekeluarga difahamkan adik memerlukan kulit tambahan kerana kulit yang ada tidak mencukupi untuk menampal keseluruhan kulit yang rosak.

“Doktor nasihatkan supaya memperuntukkan kewangan bagi proses pembelian kulit itu namun faktor kewangan yang tidak mengizinkan,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian, di sini, semalam.

Marlina berkata, keadaan adiknya masih tidak berubah, ada masanya kurang stabil dan masih menjalani rawatan membuang sel kulit mati akibat terkena simbahan asid daripada insiden terbabit.

Katanya, mereka sekeluarga belum dapat menemui mangsa, hanya melihat dari luar cermin.

Sementara itu, menurut Timbalan Pengarah Hospital, Dr Khadijah Abu Bakar dimaklumkan bahawa pesakit masih dalam keadaan tidak stabil dan masih menjalani rawatan cucian.

Katanya, secara umumnya proses menampal kulit akan dilakukan bagi pesakit yang mengalami kulit terbakar.

“Mengikut kes Nur Ain, kami perlu pastikan pesakit dalam kondisi baik sebelum meneruskan rawatan selanjutnya, mangsa masih ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU),” katanya.

Menurutnya, pegawai kerja sosial akan membantu mana-mana pesakit dalam soal kebajikan, jika diperlukan.

Dalam kejadian kira-kira jam 9.15 pagi 16 Disember lalu, mangsa berasal dari Kampung Baru Sungai Redan, Kota Tinggi ditikam bertubi-tubi di beberapa bahagian tubuh termasuk kiri dan kanan punggung, belakang badan, kedua-dua belah tangan dan kaki selain melecur 75 peratus akibat disimbah dengan asid.

No comments:

Post a Comment