Search This Blog

Friday, December 10, 2010

Mangsa ajak cuti sebelum lemas





BESERI – Seorang ibu, Rosminah Baharom, 43, tidak menyangka permintaan anak keduanya, Mohamad Azfar Md Ghani, 18, untuk bercuti jauh adalah ajakan yang terakhir sebelum mangsa dijumpai lemas di Empangan Timah Tasoh di sini, kelmarin. 

Mangsa yang dikatakan lemas pada jam 5.30 petang ketika berkelah di tasik berkenaan bersama dua abang dan adiknya serta lima rakan mereka. 

Rosminah berkata, pada malam Selasa lalu, dia menghantar Azfar ke Institut Kemahiran Mara (IKM) Alor Setar untuk mengambil peperiksaan. 

Menurutnya, pada malam berkenaan, Azfar mengajaknya untuk pergi bercuti jauh setelah selesai peperiksaan selepas lima bulan melanjutkan pelajaran peringkat Sijil Teknologi Awam Lukisan Struktur di IKM terbabit. 

“Pada masa itu, saya tidak menyangka apa-apa sehingga dikejutkan dengan berita dia lemas ketika sedang berkelah pada petang kelmarin. 

“Azfar yang turut ditemani abangnya, Mohamad Afiq, 19, dan adiknya Mohamad Aqil, 15, ketika kejadian itu adalah seorang yang pendiam dan serba boleh dalam keluarga,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian. 

Ketika kejadian itu, Rosminah berada di Pulau Pinang untuk menghadiri mesyuarat Jabatan Pelajaran Perlis. Beliau yang bekerja sebagai pegawai di jabatan berkenaan tidak mengetahui rancangan anak-anaknya untuk berkelah di tasik terbabit. 

Sementara itu, abang mangsa, Afiq berkata, sebelum kejadian, dia bersama tiga lagi rakannya mengambil sebuah sampan di kampung nelayan berhampiran manakala Azfar dan Aqil serta dua lagi rakan menunggu di tepi tasik. 

Menurutnya, apabila sampan berkenaan menghampiri tepi tasik, Azfar bertindak berenang ke arah sampan walaupun dihalangnya. 

“Saya tidak membenarkan Azfar berenang ke arah kami kerana pada waktu itu angin kuat sehingga ada arus dalam tasik. 

“Namun begitu, Azfar tidak mengendahkan larangannya dan terus berenang ke arah sampan sehingga dia hampir lemas kerana kekejangan berikutan kawasan terbabit dalam dan berarus. 

“Apabila melihat keadaan Azfar yang tenggelam timbul, Aqil segera berenang untuk menyelamatkannya. Namun, cubaan itu gagal apabila Aqil turut mengalami kekejangan. 

“Dalam keadaan kelam kabut, kami hanya sempat menyelamatkan Aqil yang ketika itu berada berdekatan dengan sampan sebelum mendarat di tepi tasik dan menghubungi polis,” katanya. 

Afiq berkata, pada petang kejadian itu, Azfar sempat menyuruhnya membawa bekalan nasi untuk dimakan selepas selesai mandi. 

“Apa yang menyayat hati, sebelum berenang ke arah sampan, Azfar sempat menyuruh rakan kami, Azrul Helmi, 17, untuk menjaga saya dan seorang lagi rakan baiknya,” katanya. 

Azfar dikatakan tenggelam di tasik itu selepas 70 meter berenang dari daratan ke arah sampan berkenaan. 

Mayat Azfar dijumpai di dasar tasik pada jam 11.25 selepas 18 jam operasi mencari yang dilakukan Unit Penyelam Jabatan Bomba dan Penyelamat pada jarak 30 meter dari tebing tasik berkenaan. 

Ketua Unit Penyelam Bomba, Abdul Rahim Baharom berkata, walaupun pencarian yang bermula sejak jam 8 malam kelmarin tidak mendatangkan hasil, namun pihaknya tidak berputus asa dan terus berusaha mencari mayat mangsa. 

“Operasi yang turut dibantu anggota Jabatan Perkhidmatan Awam Malaysia (JPAM) membuahkan hasil apabila kami menjumpai mayat mangsa di dasar tasik selepas memulakan operasi pada hari ini (semalam). 

“Mayat Azfar ditemui kira-kira 4 meter di dasar tasik dalam keadaan tertiarap sebelum dibawa naik,” katanya ketika ditemui. 

Timbalan Ketua Polis Daerah Padang Besar, Deputi Superintendan, Md Rafae Hassan, berkata, polis dimaklumkan tentang kejadian itu oleh abang mangsa dan mengadakan operasi mencari dan menyelamat bermula jam 6 petang kelmarin sehingga pagi semalam. 

“Seramai 42 anggota terlibat dalam operasi itu melibatkan 21 bomba termasuk unit penyelam, 14 Jabatan Pertahanan Awam dan tujuh anggota polis,” katanya.

No comments:

Post a Comment