Search This Blog

Saturday, December 25, 2010

Lima nafi culik budak minta wang tebusan

MELAKA: Lima lelaki termasuk seorang anggota tentera mengaku tidak bersalah di Mahkamah Tinggi, di sini, semalam terhadap tuduhan menahan secara salah seorang kanak-kanak lelaki berusia tujuh tahun bagi mendapatkan wang tebusan RM120,000 daripada bapa mangsa.
Tertuduh, Mohd Shahir Axma Abdul Rahim, 27; Mohd Khairul Faizi Mohd Yassin, 27; Mohd Fazali Abdul Kudus, 22; Shamsul Amin Razali, 27, dan Noriman Ahmad, 20, didakwa melakukan kesalahan itu di depan sebuah rumah di Taman Nirwana 4, Taman Nirwana, Batang Tiga, di sini, kira-kira jam 3.30 petang, 31 Mei lalu. Berdasarkan kertas pertuduhan, mereka didakwa menahan secara salah mangsa daripada bapanya, Azamiraib Bakar, 43, dengan niat meminta wang tebusan.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 3, Akta Penculikan 1961 dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang sabit kesalahan boleh dihukum mati atau penjara seumur hidup dan sebatan. Sejurus pertuduhan dibacakan, semua tertuduh mengangguk faham sebelum mengaku tidak bersalah dan meminta dibicarakan di depan Hakim Datuk Halijah Abbas.

Mahkamah menetapkan sebutan semula kes itu pada 28 Januari ini.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya, Mahadi Abdul Jumaat.

No comments:

Post a Comment