Search This Blog

Sunday, December 26, 2010

Lelaki ditahan miliki pistol, gari




KANGAR - Polis Perlis menahan seorang lelaki berusia 23 tahun kerana memiliki sepucuk pistol tiruan, dan dua pasang gari di Kilometer 2, Jalan Kangar-Mata Ayer, di sini semalam. 

Selain itu, polis turut menemui empat paket plastik mengandungi dadah jenis syabu, peralatan menghisap dadah dan alat penimbang kecil di dalam kereta dinaiki lelaki berkenaan, kira-kira jam 7.30 pagi. 

Timbalan Ketua Polis negeri, Asisten Komisioner Zull Aznam Haron berkata, suspek yang berasal dari Sanglang di sini, turut menyimpan MyKad milik seorang remaja berumur awal 20-an. 

Menurutnya, berdasarkan barang rampasan, pihaknya akan melakukan penyiasatan terperinci kerana lelaki berkenaan berkemungkinan besar terlibat dalam aktiviti samun atau penyamaran sebagai anggota polis untuk memperdayakan orang ramai. 

“Berdasarkan rampasan, kita mengesyaki suspek berkemungkinan menggunakan barangan berkenaan untuk aktiviti penyamaran atau digunakan dalam kegiatan samun. 

“Siasatan terperinci sedang dilakukan untuk mengenal pasti modus operandi suspek yang bekerja sebagai mekanik itu,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) di sini, semalam. 

Hadir sama, Ketua Polis daerah Arau, Superintenden Mohd Nadzri Hussin. 

Difahamkan, kes berkenaan adalah yang pertama dikendalikan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Arau yang baru mula beroperasi semalam. 

Zull Aznam berkata, berdasarkan rekod, sepanjang sembilan bulan pertama bagi tahun ini, sebanyak tiga kes penyamaran sebagai anggota polis dikesan berlaku di Perlis berbanding lima kes yang sama sepanjang tahun lalu. 

Beliau berkata, pistol palsu dan gari itu dipercayai diseludup dari negara jiran dan sering digunakan untuk aktiviti penyamaran. 

Menurutnya, lelaki itu akan didakwa mengikut Seksyen 36 (1) Akta Senjata 1960 dan jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara tidak melebihi setahun atau denda RM5,000 serta Seksyen 12 (2) yang boleh hukuman penjara tidak melebihi lima tahun dan denda RM100,000 atau keduanya sekali.

No comments:

Post a Comment