Search This Blog

Wednesday, December 15, 2010

Juruteknik tidak mengaku salah





KANGAR – Seorang juruteknik mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini, semalam atas dua pertuduhan mencabul dan mencederakan isterinya Roziah Sidi di jalan pada minggu lalu. 

Mazni Osman, 45 yang sudah tidak tinggal bersama isterinya sejak 2008 lalu itu dituduh melakukan kesalahan itu kira-kira jam 10 malam di Jalan Tanjung Gelam, Simpang Empat di sini, pada 6 Disember lalu. 

Tertuduh yang juga seorang juruteknik meminta kes berkenaan dibicarakan selepas memahami pertuduhan yang dibacakan di hadapan Pendaftar Mahkamah Majistret Kangar, Noraishah Ahmad. 

Pertuduhan dilakukan wakil Timbalan Pendakwa Raya, Inspektor Azwan Irwan Yaakop manakala tertuduh diwakili Peguam Zuhir Ahmad Zakuan. 

Berdasarkan keterangan kes, Mazni dituduh menggunakan kekerasan ke atas Roziah dengan niat mencabul kehormatan mengikut kesalahan Seksyen 354 Kanun Keseksaan.� 

Tuduhan kedua iaitu di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan iaitu dengan sengaja mencederakan Roziah dalam kejadian sama. 

Mengikut pertuduhan pertama, Mazni boleh dikenakan penjara 10 tahun atau denda dan sebatan manakala bagi kesalahan kedua iaitu penjara setahun atau denda jika didapati bersalah. 

Azwan dalam pendakwaan itu meminta mahkamah mengenakan wang ikat jamin RM5,000 bagi kedua-dua pertuduhan itu kerana kesalahan terbabit adalah serius. 

Namun, Zuhir merayu agar ikan jamin itu dikurangkan memandangkan tertuduh berpendapatan rendah selain terpaksa menjaga tiga orang anak dan bapanya yang sakit. 

Noraishah memutuskan tertuduh dikenakan ikat jamin sebanyak RM2,000 dan sebutan kes itu diadakan pada 12 Januari tahun depan.

No comments:

Post a Comment