Search This Blog

Wednesday, December 22, 2010

Jambu Bongkok pusat seludup rokok utama negeri



MARANG - Rokok, mercun, beras dan kereta mewah adalah antara barang yang berjaya dirampas Bahagian Penguat Kuasa Jabatan Kastam Diraja Malaysia (KDRM) bernilai lebih RM2 juta sepanjang 11 bulan tahun ini.

Pengarahnya, Datuk Azis Yacub berkata, sebanyak 140 kes rampasan dicatatkan pada Januari hingga November tahun ini dengan nilai rampasan sebanyak RM2,448,357.40 yang melibatkan pengelakan cukai sebanyak RM5,840,763.21.

Menurutnya, rokok adalah barang rampasan tertinggi dengan nilai rampasan sebanyak RM1,103,475.80 (96 kes), kenderaan sebanyak RM414,000.00 (10 kes), mercun sebanyak RM211,457.30 (16 kes), dan beras sebanyak 47,689,00.

“Manakala minuman yang dirampas membabitkan sejumlah 15 kes bernilai RM346,689.45 dan barang-barang lain seperti telefon, cakera padat serta alatan ‘pipeline’ adalah sebanyak RM207,063.85,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Program Khidmat Bakti Masyarakat bersama KDRM dan Kempen Mencegah Penyeludupan Rokok Tidak Sah di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Jambu Bongkok di sini, semalam.

Selain hasil risikan, Azis berkata, kejayaan membanteras kegiatan penyeludupan sepanjang tahun ini adalah hasil maklumat orang ramai yang sentiasa membantu pihak berkuasa dalam usaha membanteras aktiviti penyeludupan di negeri ini.

Mengulas mengenai program itu, Azis berkata, pihaknya akan terus mengadakan program seumpama itu dari masa ke masa bagi menyalurkan maklumat kepada orang ramai khususnya di kawasan ‘hot spot’ berlakunya aktiviti penyeludupan.

“Kita juga memilih Kampung Jambu Bongkok bagi menjayakan program ini kerana ia merupakan kawasan penyeludupan rokok paling aktif di negeri ini selain di Merang, Setiu dan beberapa kawasan di Besut serta Chendor di sempadan Kemaman,” katanya.

Dalam pada itu, Azis juga meminta orang ramai berkerjasama menyalurkan maklumat mengenai sebarang kegiatan penyeludupan dengan menghubungi Pejabat Kastam Bahagian Penguatkuasaan menerusi talian 09-6228477 atau talian bebas tol 1-800-88-8855.

No comments:

Post a Comment