Search This Blog

Wednesday, December 29, 2010

Hajat tidak kesampaian



KOTA TINGGI – Kegembiraan pulang daripada bercuti di kampung dan keinginan seorang ibu untuk bertemu dengan seorang anaknya di Johor Bahru bertukar tragedi apabila wanita terbabit dan seorang bayi maut selepas terlibat dalam kemalangan di Kilometer 80.5 Jalan Johor Bahru-Mersing di sini, semalam.

Dalam kejadian jam 8.05 pagi itu, mangsa, Kamariah Daud, 39, mati di tempat kejadian, manakala bayi yang berusia 6 bulan, Nurul Atisha Humairah Aziz meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke Klinik Kesihatan Tenggaroh 2.

Sewaktu kejadian, Kamariah Daud bersama anaknya berusia lima tahun sedang dalam perjalanan untuk bertemu seorang lagi anaknya di Johor Bahru.

Manakala penumpang lain, Noor Hafiza Ismail, 24, bersama bayi sulungnya dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Johor Bahru. Mereka semua menaiki kenderaan sama yang dipandu Razali Jusoh, 39.

Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Osman Mohamad Sebot berkata, kejadian itu berlaku ketika pemandu kereta Toyota Unser dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas dan merempuh ke bahu jalan.

“Pemandu dipercayai mengantuk sebelum masuk ke kiri jalan yang curam dan terdapat longkang di bahu jalan. Tiga mangsa yang lain hanya mengalami kecederaan,” katanya.

Osman berkata, pemandu bersama empat penumpang itu dipercayai dari Pasir Mas, Kelantan menuju ke Bandar Baru Uda, Johor Bahru.

No comments:

Post a Comment