Search This Blog

Sunday, December 26, 2010

Eropah dilanda ribut salji lagi



PARIS 25 Dis. - Beribu-ribu penumpang terkandas di lapangan terbang utama Paris semalam selepas beratus-ratus penerbangan Krismas dibatalkan ekoran cuaca sejuk dan salji tebal yang menyebabkan gangguan perjalanan di seluruh Eropah.
Kira-kira 400 penerbangan masuk dan keluar dari lapangan terbang Roissy-Charles de Gaulle itu dibatalkan, kurang daripada jangkaan awal iaitu 670 penerbangan.
Penerbangan di Belgium dan Jerman turut terjejas dan pemandu kenderaan tidak menggunakan jalan raya ekoran selatan Eropah bergelut menghadapi cuaca sejuk terbaru.
Sekurang-kurangnya 2,000 orang perlu dipindahkan dari Terminal 2E, Charles de Gaulle kerana salji tebal terbentuk di atas bumbung, tempat yang pernah runtuh pada Mei 2004 sejurus selepas ia dibuka dan mengorbankan empat orang.
"Saya sangat letih sehingga tidak mempunyai tenaga untuk marah. Penerbangan saya ke Milan dibatalkan dua kali. Pembatalan pertama ketika tidak ada salji," kata seorang wanita Perancis, Zoe Stephanou, 45.
Cuaca sejuk kali ini menjejaskan pengangkutan udara, kereta api dan jalan raya di seluruh Eropah dengan beribu-ribu penumpang terpaksa bermalam di dalam kereta api atau berek dan di dalam feri atau lapangan terbang ekoran salji tebal.
Namun keadaan cuaca yang semakin elok di utara Perancis petang semalam membolehkan sejumlah besar penerbangan beroperasi. Perkhidmatan dijangka berjalan seperti biasa pagi ini, menurut operator lapangan terbang.
Jurucakap pihak berkuasa lapangan terbang berkata, antara 200 dan 300 penumpang menghabiskan hari sebelum Krismas mereka di Roissy-Charles de Gaulle dan mereka diberikan coklat dan mainan. - AFP

No comments:

Post a Comment