Search This Blog

Tuesday, December 14, 2010

Edar dadah guna kurier tumpas


KOTA KINABALU 13 Dis. - Taktik pengedar dadah menggunakan perkhidmatan pos laju dan kurier untuk menyeludup bahan itu ke negeri ini berjaya ditumpaskan dengan penahanan empat suspek dalam dua serbuan berasingan di Penampang dan Menggatal, minggu lalu.
Pesuruhjaya Polis negeri, Datuk Hamza Taib berkata, dalam serbuan tersebut pihaknya berjaya merampas dadah jenis syabu dan heroin bernilai RM17,300.
"Hasil intipan, kita menahan seorang lelaki dalam serbuan pada 8 Disember lalu di sebuah pusat kurier di Penampang dan merampas dadah syabu seberat 51.5 gram.
"Dalam serbuan kedua 10 Disember lalu pula di sebuah pejabat pos mini di Menggatal kita berjaya menahan tiga lelaki dan merampas heroin seberat 24.7 gram," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) negeri di sini hari ini.
Turut hadir Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial negeri, Supritendan Soh Hock Seng dan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik negeri, Supritendan Abdul Rahim Dolmat.
Menurutnya, kes tersebut disiasat di bawah seksyen 39 B Akta Dadah Berbahaya 1952.
Dalam pada itu, beliau memberitahu, modus operandi kegiatan tersebut adalah menggunakan nama dan alamat penerima sebenar tetapi butiran digunakan pengirim palsu.
"Seperti kes sebelum ini ia akan diambil oleh individu lain yang menyebut nama tertera (penerima) ketika menuntut bungkusan," katanya.
Sementara itu Hamza berkata, polis berjaya menahan 13 orang yang dipercayai terlibat dalam kegiatan ceti haram atau ah long dalam operasi selama sebulan di negeri ini.

No comments:

Post a Comment