Search This Blog

Friday, December 3, 2010

Dua maut, seorang cedera




LANCHANG – Dua lelaki maut selepas kenderaan pacuan empat roda jenis Hilux dinaiki merempuh belakang sebuah lori tiga tan yang diletakkan di lorong kecemasan di Kilometer 92.8 Lebuh Raya Pantai Timur (LPT) kira-kira jam 4 petang, kelmarin.

Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Mohd Nor Mansor berkata, mereka yang terbunuh ialah penumpang hadapan Hilux, Mohd Helvin Mohd Hanapiah, 25, dari Batang Berjuntai, Selangor, mati di tempat kejadian akibat tersepit dan cedera parah di kepala serta badan.

Menurutnya, seorang lagi yang terbunuh ialah pemandu Hilux, Abas Mohd Jusof 65, dari Ijok, Selangor yang mati ketika menerima rawatan di Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HoSHAS) Temerloh, manakala seorang lagi penumpang dikenali Mohd Syed Ujang, 56, hanya mengalami cedera ringan.

“Kemalangan dipercayai berlaku apabila Hilux yang dinaiki tiga lelaki berkenaan dalam perjalanan dari Kuantan ke Kuala Lumpur selepas selesai mengiringi sebuah kenderaan lain yang membawa bahan letupan.

“Apabila sampai di tempat kejadian, pemandu Hilux gagal mengelak sebuah lori tiga tan yang diletakkan sekumpulan pekerja pemasang papan iklan di lebuh raya lalu merempuhnya.

“Akibat rempuhan kuat, kenderaan dinaiki kesemua mangsa remuk teruk lalu terseret kira-kira 10 meter ke hadapan,” katanya, semalam.

Mohd Nor berkata, lori yang berhenti di lorong kecemasan itu tidak meletakkan kon amaran.

Katanya, kes itu akan disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

No comments:

Post a Comment