Search This Blog

Wednesday, December 15, 2010

Buruh asing jadi mangsa samun lelaki Orang Asli





KUANTAN- Seorang buruh warga Pakistan berputih mata apabila wang gaji RM700 dan pasport miliknya disamun sekumpulan lelaki dipercayai berketurunan orang Asli dalam satu kejadian di rumah kongsi berhampiran sebuah sekolah dekat Pos Betau, Kuala Lipis, kelmarin. 

Kejadian kira-kira jam 8.30 malam itu dipercayai berlaku ekoran satu pergaduhan melibatkan salah seorang daripada kumpulan lelaki terbabit dengan beberapa rakan mangsa yang tinggal di rumah kongsi itu. 

Pergaduhan dipercayai tercetus gara-gara perasaan tidak puas hati lelaki berusia dalam lingkungan 20-an itu yang mendakwa pekerja terbabit menghalang laluan berhampiran dengan paip air. 

Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri (Risikan dan Operasi) Superintendan Nordin Mustapha berkata, lima suspek lain yang turut serta dalam pergaduhan itu kemudiannya bertindak mengeluarkan sebilah pisau dan mengacukan ke arah mangsa sebelum mengarahkan lelaki berusia 45 tahun itu menyerahkan wang dan pasport. 

Menurutnya, mungkin bimbang dicederakan, mangsa menyerahkan wang gaji dan pasportnya kepada suspek. 

“Selepas mendapat habuannya, kumpulan itu bertindak melarikan diri manakala mangsa membuat laporan polis berhubung kejadian tidak lama kemudian. 

“Siasatan lanjut berhubung kejadian masih dalam siasatan bagaimanapun polis berjaya mengenal pasti semua suspek terlibat dan kes ini disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan,” katanya. 

Sementara itu dalam kejadian berasingan, dua remaja kerugian kira-kira RM600 selepas telefon bimbit milik mereka disamun empat lelaki bermotosikal ketika berada melalui di Jalan Kampung Batu 5, dekat Jalan Gambang di sini, malam. Kelmarin. 

Dalam kejadian kira-kira jam 11.30 malam itu, dua rakan berusia 15 dan 16 tahun itu difahamkan sedang berjalan kaki untuk pulang ke rumah sebelum didatangi empat lelaki tidak dikenali menaiki dua buah motosikal. 

Nordin berkata, salah seorang suspek turun dari motosikal dan memegang mangsa sambil mengacah-acah kayu serta mengugut akan mencederakan mereka. 

“Suspek kemudian bertindak merampas telefon bimbit mangsa bernilai kira-kira RM600 sebelum melarikan diri. 

“Siasatan lanjut sedang dijalankan termasuk mengenal pasti suspek terlibat dan kes turut disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan,” katanya.

No comments:

Post a Comment