Search This Blog

Sunday, December 26, 2010

Bas terbabas, rempuh tiga kedai




MASJID TANAH - Jeritan penumpang yang duduk di bahagian hadapan bas kilang mengejutkan separuh penumpang yang lain sebelum bas yang mereka naiki terbabas ke kiri jalan merempuh tiga kedai di Jalan Hutan Simpan, dekat sini, semalam. 

Dalam kejadian kira-kira jam 8 pagi itu, bas yang dinaiki sekumpulan pekerja kilang itu dalam perjalanan menuju ke Kilang Recon di Tangga Batu dari arah Kuala Sungai Baru terbabas, lalu merempuh deretan kedai selepas mengelak daripada bertembung dengan sebuah lagi bas kilang yang datang dari arah bertentangan. 

Bas kilang terbabit terpaksa membelok ke kiri jalan yang menempatkan kedai makan, kedai bunga dan kedai mencuci kenderaan. 

:Rempuhan kuat itu menyebabkan cermin hadapan bas kilang terbabit pecah ditusuk tiang kayu kedai mencuci kereta dan bahagian hadapan bas remuk teruk, sementara kedai berkenaan runtuh serta rosak teruk. 

Pekerja kilang, Nora Leman, 24, berkata, dia dan sebahagian rakan yang berada di bahagian tengah dan belakang bas dikejutkan dengan jeritan penumpang yang berada di tempat duduk bahagian hadapan namun tidak mengetahui apa yang berlaku. 

“Beberapa saat selepas itu, saya terasa gegaran dan bas seolah-olah meluncur laju ke sebelah kiri jalan kemudian terus merempuh deretan kedai. 

“Bas kemudiannya terhenti selepas melanggar sebatang tiang elektrik lalu menghentam kedai mencuci kereta,” katanya. 

Menurutnya, mereka semua panik apabila bas terbabas dan terpaksa keluar daripada bas melalui pintu kecemasan. 

“Bahagian hadapan bas hancur dan atap zink kedai ‘menghunus’ masuk menerusi cermin hadapan bas yang sudah pecah,” katanya. 

Nora yang masih lagi terkejut dengan kemalangan itu berkata, bas kilang yang dinaikinya itu terpaksa mengelak sebuah bas kilang lain yang datang dari arah bertentangan yang cuba untuk memotong kereta di hadapan namun gagal. 

“Bas kilang dari arah bertentangan itu dari arah Sungai Udang menghala ke Masjid Tanah gagal memotong kereta di hadapan lalu merempuh bahagian kiri jalan,” katanya. 

Saksi kejadian, Zaiton Hasan, 50, yang berada di belakang bas menuju ke tempat kerjanya di CIMB Bank Jalan Bendahara sempat memberhentikan kereta selepas menyaksikan sendiri bas kilang terbabit terbabas di kiri jalan. 

“Saya dan suami berada betul-betul di belakang bas kilang terbabit. Kami terkejut melihat bas tiba-tiba membelok merempuh deretan kedai. 

“Itu pun nasib baik bas kilang dari arah bertentangan yang cuba memotong kereta di hadapannya sempat memasuki laluannya semula, jika tidak pasti kereta kami turut dirempuh,” katanya. 

Sejurus menyaksikan kejadian itu, Zaiton terus menghubungi talian kecemasan dan mendapatkan bantuan selepas mendapati pemandu bas kilang dan dua pekerjanya mengalami kecederaan. 

Berikutan kemalangan itu, pemandu bas kilang terbabit dibawa ke Hospital Melaka untuk rawatan lanjut, sementara dua pekerja dihantar ke klinik berhampiran bagi mendapatkan rawatan pesakit luar.

No comments:

Post a Comment