Search This Blog

Friday, December 24, 2010

Bapa maut kena samun



IPOH – Seorang warga emas maut selepas ditikam dua lelaki bersenjatakan pisau yang menyamun kedai runcitnya di Taman Perpaduan di sini, malam semalam.

Mangsa, R Muniandy, 64, mati dalam perjalanan ke Hospital Pantai selepas mengalami kecederaan ditikam lelaki terbabit di rusuk kiri ketika bergelut dengan suspek.

Anak mangsa, M Tharmabalan, 24, berkata, ketika kejadian, ibunya, R Thevy bersama seorang pembantu turut berada dalam kedai itu.

“Saya difahamkan penjenayah itu berdua dan mereka tidak memakai topeng ketika melakukan samun itu.

“Mereka masuk ke bahagian kaunter untuk mendapatkan wang, tetapi bapa saya menghalangnya dan seorang daripada penyamun itu bertindak menikam bapa,” katanya ketika di temui di rumahnya di Kampung Tersusun Batu 6, Tambun di sini, semalam.

Menurut Tharmabalan, ketika kejadian suspek cuma menyerang bapanya, manakala ibu dan pembantu kedai hanya mampu melihat kejadian itu kerana takut.

Beliau berkata, identiti mangsa tidak dapat dikenal pasti, bagaimanapun beberapa orang yang berada berhampiran kedai dapat melihat suspek melarikan diri.

“Selepas kejadian itu, beberapa orang datang membantu bapa untuk dihantar ke hospital, tetapi dia mati sebelum sempat mendapatkan rawatan.

“Saya sedih dengan apa yang berlaku kerana kejadian itu meragut nyawa bapa saya yang tidak berdosa,” katanya ketika menceritakan kejadian yang berlaku kira-kira jam 9.10 malam itu.

Sementara itu, adik mangsa, R Siva Sangaram, 44, berkata, kejadian yang berlaku itu sangat dikesali kerana sepanjang abangnya menjalankan perniagaan di situ sejak 23 tahun lalu tiada sebarang kejadian jenayah.

Menurutnya, mangsa seorang yang periang dan sangat disenangi masyarakat setempat.

“Kali terakhir saya bercakap dengannya melalui telefon Ahad lalu untuk mengucapkan selamat hari jadi. Tak sangka perbualan telefon itu adalah yang terakhir saya dengan mendiang,” katanya.

Hadir sama mengucapkan takziah kepada keluarga mendiang, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Hulu Kinta, Datuk Rusnah Kassim.

Menurut Rusnah, pihaknya simpati dengan apa yang berlaku ke atas keluarga mendiang Muniandy.

“Saya lihat sekarang ini trend jenayah semakin membimbangkan sehingga meragut nyawa. Kita akan minta kerjasama dengan pihak berkuasa untuk memantau kawasan tertentu yang dipercayai berpotensi menjadi sasaran penjenayah,” katanya.

Beliau berkata, selain polis, khidmat anggota Ikatan Relawan Rakyat (Rela) dan Skim Rondaan Sukarela (SRS) diperlukan untuk memastikan kawasan kediaman dan pusat perniagaan selamat.

Menurutnya, berikutan kejadian itu, pihaknya bercadang mengadakan sesi dialog dengan polis bagi bertukar pandangan dengan orang awam untuk mencari kaedah terbaik membanteras jenayah.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Azisman Alias ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu.

No comments:

Post a Comment