Search This Blog

Saturday, December 11, 2010

3,326 ditahan jual VCD, DVD haram dan lucah





AYER KEROH - Seramai 3,326 orang ditahan pihak berkuasa dari 2005 hingga November lalu kerana menjual video cakera padat (VCD) dan video cakera digital (DVD) haram serta lucah. 

Jumlah itu adalah daripada 12,509 serbuan dilakukan, membabitkan rampasan sebanyak 2.7 juta VCD dan DVD haram bernilai hampir RM22 juta. 

Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Wira Abu Seman berkata, sebanyak RM1.8 juta denda dikenakan terhadap pesalah mahkamah membabitkan kesalahan mengikut Akta Penapisan Filem 2002 sejak Januari hingga November lalu. 

Menurutnya, penubuhan Bahagian Kawalan Penapisan Filem dan Penguatkuasaan Kementerian Dalam Negeri (KDN) jelas menunjukkan komitmen kerajaan membasmi kegiatan tidak beretika itu. 

“Hukuman maksimum RM50,000 dan tiga tahun penjara masih tidak memadai buat pesalah yang memberi impak negatif besar terhadap industri perfileman tanah air serta tatasusila rakyat. 

“Pihak KDN dalam proses melihat dan mengkaji akta sedia ada untuk memperketat lagi supaya ia lebih berkesan dengan keadaan semasa,” katanya. 

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Pelancaran Program Pendidikan Pencegahan di Kompleks KDN, di sini, semalam. 

Program sulung itu turut mendidik masyarakat memainkan peranan membantu pihak penguat kuasa bersama-sama berganding bahu menghapuskan kegiatan haram itu. 

Beliau turut menyarankan penguat kuasa perlu menjalankan tugas dengan penuh integriti dan adil kerana kerajaan tidak boleh berkompromi sekiranya undang-undang mahupun keselamatan negara dicabuli.

No comments:

Post a Comment