Search This Blog

Thursday, December 30, 2010

3 termasuk 2 pelajar maut nahas



IPOH 29 Dis. - Tiga termasuk dua pelajar terbunuh dalam tiga kemalangan yang berlaku di sekitar Perak malam tadi.
Ketua Polis Trafik negeri, Supt. Wan Abdullah Ishak berkata, kejadian pertama berlaku pukul 9.55 malam di Kilometer 13 Jalan Ulu Kenas-Kuala Kangsar membabitkan pertembungan dua buah motosikal yang ditunggang dua pelajar.
Dalam kejadian itu Ahmad Khairani Ahmad Daud, 15, terbunuh, manakala seorang lagi penunggang yang hanya dikenali sebagai Aidil, 17, cedera, katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Beliau berkata, Ahmad Khairani yang juga pelajar Sekolah Menengah Raja Muda Musa meninggal dunia di Hospital Kuala Kangsar kerana kecederaan parah di kepala akibat tidak memakai topi keledar.
Beliau menambah, kemalangan kedua berlaku pukul 10.30 malam di Jalan Kampung Gudang Jelai-Batu Kurau.
Dalam kejadian itu penunggang motosikal, Ahmad Amirul Al-Hafiz Ahmad Zaman Akman, 16, maut apabila motosikalnya bertembung dengan sebuah kereta ketika dalam perjalanan pulang ke rumah.
Sementara itu, satu lagi kemalangan membabitkan kes langgar lari yang mengakibatkan seorang pemuda R. Baskeran, 23, maut.
Wan Abdullah berkata, pemuda dari Taman Jati itu cedera parah di kepala selepas dilanggar sebuah kereta ketika melintas jalan di Jalan Jelapang-Chmeur.
Polis kini mengesan pemandu kereta tersebut yang melarikan diri dari tempat kejadian dan meminta orang ramai yang mempunyai maklumat agar menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Ipoh di talian 05-2451500. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment