Search This Blog

Friday, December 3, 2010

3 penguat kuasa KPDNKK ditahan





KUALA LUMPUR 2 Dis. - Pendedahan kegiatan penyelewengan diesel bersubsidi kepada nelayan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) baru- baru ini, turut membongkar kegiatan tiga penguat kuasa KPDNKK yang menjadi dalang kegiatan tersebut.
Kegiatan tiga penguat kuasa terbabit yang menerima suapan RM1,000 setiap bulan untuk melindungi kegiatan haram tersebut di Pahang bagaimanapun berakhir apabila mereka ditahan SPRM.
Ketiga-tiga penguat kuasa berusia dalam lingkungan 31 hingga 48 tahun itu ditahan di Pahang pada 24 November lalu.
Mereka yang ditahan terdiri daripada penolong penguat kuasa, penolong pegawai penguat kuasa dan pembantu penguat kuasa.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob ketika ditemui pada satu majlis hari ini mengesahkan penahanan terbabit.
Menurutnya, ketiga-tiga individu tersebut ditahan untuk siasatan lanjut di bawah Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.
"Semua mereka disiasat kerana dipercayai menerima rasuah daripada pengusaha haram bagi melindungi kegiatan penyelewengan dan penyeludupan diesel subsidi kepada industri-industri dan negara jiran," katanya.
Pada 23 November lalu, SPRM mendedahkan seramai 19 individu ditahan kerana didakwa terbabit dalam penyelewengan diesel bersubsidi kepada nelayan dalam operasi besar-besaran yang dijalankan di seluruh negara, sejak Jun lalu.
Mereka yang ditahan melibatkan pengusaha jeti, pemilik bot, tangki minyak haram (skid tank), depot individu dan persatuan nelayan kawasan (PNK) di empat negeri iaitu Perak, Pahang, Perlis dan Kedah.
Ismail berkata, pihaknya akan membawa cadangan SPRM sebelum ini untuk melupuskan tangki haram yang dirampas kementeriannya ke mesyuarat membanteras penyeludupan bahan api bersubsidi, hari ini.
Sebelum ini, SPRM mendakwa tangki-tangki haram yang dirampas KPDNKK sebelum ini tidak dilupuskan menyebabkan tangki itu digunakan semula oleh pihak tidak bertanggungjawab untuk kegiatan penyelewengan dan penyeludupan diesel bersubsidi.
"Semua cadangan yang baik termasuk melupuskan tangki haram dan mengkaji semula pemberian lesen kepada syarikat-syarikat pembekal petrol dan diesel ke stesen-stesen minyak kecil turut dibincangkan.
"Pihak kementerian turut menyiasat kenapa kuota yang disediakan di kawasan terpencil seperti di sempadan digunakan sepenuhnya oleh syarikat terbabit.
"Mesyuarat itu juga membincangkan penyelarasan semula kuota bahan api yang tidak digunakan supaya dapat mengelakkan penyelewengan bahan api bersubsidi pada masa akan datang," katanya lagi.
Baru-baru ini SPRM turut diminta menyiasat syarikat-syarikat yang diberi lesen untuk membekalkan petrol dan diesel subsidi kepada stesen-stesen minyak khususnya di luar bandar.
Ini kerana, ada antara syarikat itu dikesan menyeleweng dengan menjual lebihan kuota petrol dan diesel subsidi kepada pihak industri, orang persendirian malah kepada pengguna dari negara jiran.
Dua syarikat yang masing-masing mendapat lesen membekalkan petrol dan diesel subsidi berkenaan terletak di Sabah dan utara tanah air dipercayai terlibat melakukan kegiatan penyelewengan bahan api tersebut.

No comments:

Post a Comment