Search This Blog

Thursday, November 4, 2010

Wanita Myanmar maut ditikam teman lelaki



KUALA LUMPUR 3 Nov. - Akibat cemburu, seorang wanita warga Myanmar maut selepas ditikam dua kali oleh teman lelakinya di sebuah rumah teres di Taman Bukit Kinrara, Puchong, dekat sini hari ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 10 pagi itu, mangsa, Zin Mar Win, 24, dikatakan dibawa oleh suspek yang juga warga Myanmar ke sebuah hostel tempat rakan-rakannya tinggal.
Difahamkan, suspek yang berusia 29 tahun itu pernah tinggal di hostel berkenaan ketika bekerja di sebuah kilang bersama rakan-rakannya.
Ketua Polis Daerah Serdang, Supritendan Abd. Razak Elias berkata, pihaknya menerima laporan kejadian tersebut kira-kira pukul 11.55 pagi.
Katanya, ketika tiba di tempat kejadian, pihaknya mendapati mangsa terbaring berlumuran darah di ruang tamu rumah teres dua tingkat itu.
Beliau memberitahu, hostel terbabit dihuni enam pekerja sebuah kilang yang terdiri daripada tiga lelaki tempatan dan Myanmar.
"Siasatan awal mendapati pembunuhan itu bermula daripada pertengkaran antara pasangan terbabit, dipercayai akibat cemburu.
"Suspek lalu menikam mangsa di perut menggunakan senjata tajam sebelum melarikan diri apabila mendapati wanita terbabit tidak bernyawa," katanya ketika ditemui di tempat kejadian di sini hari ini.
Abd. Razak berkata, hasil pemeriksaan tidak menemui sebarang senjata yang digunakan suspek untuk menikam mangsa.
Setakat ini, katanya, pihaknya telah mengambil keterangan penghuni hostel berkenaan bagi membantu siasatan.
Katanya, pihaknya telah mendapatkan maklumat peribadi termasuk gambar daripada bekas majikan suspek dan usaha memburunya sedang dijalankan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.
Sementara itu, penghuni, Mohd. Kamal Azwan, 24 berkata, ketika kejadian dia berada di dalam bilik di tingkat atas rumah terbabit.
Katanya, dia tidak mendengar sebarang bunyi orang bertengkar kerana sedang tidur selepas baru pulang bekerja.
"Bagaimanapun, salah seorang rakan serumah saya mengetuk pintu bilik dan memberitahu terdapat seorang wanita ditikam di ruang tamu rumah kami.
"Apabila turun ke tingkat bawah, saya terkejut dan mendapati mangsa terbaring serta berlumuran darah sebelum menghubungi pihak polis," katanya.

No comments:

Post a Comment