Search This Blog

Tuesday, November 30, 2010

Tujuh beranak terjun tingkap selamatkan diri





2010/11/30

TUMPAT: Tujuh beranak termasuk seorang buruh yang terlantar akibat kemalangan jalan raya pada Jun lalu terpaksa diselamatkan menerusi tingkap, selepas terperangkap dalam kebakaran rumah mereka di Kampung Alor Tal, dekat Bendang Kerian di sini, malam kelmarin. 

Dalam kejadian jam 7.30 malam dipercayai berpunca daripada api lilin itu, buruh berkenaan, Zulkifli Said, 47, dan isterinya, Tipah Ismail, 38, baru selesai menunaikan solat Maghrib di sebuah bilik di rumahnya sebelum terdengar anak mereka menjerit mengenai kebakaran berkenaan.
Tipah berkata, sebelum kebakaran, rumahnya mengalami gangguan elektrik sejak jam 7 petang dan terpaksa memasang lilin sebelum ia menyambar langsir serta merebak ke bahagian lain.
“Ketika saya dan suami baru selesai menunaikan solat dalam bilik, kami terdengar anak kami menjerit mengenai kebakaran itu sebelum bergegas keluar untuk memadamkan api yang marak. 

“Bagaimanapun, kami gagal memadam kebakaran berkenaan,” katanya kepada pemberita di sini. 

Tipah berkata, dalam keadaan kelam kabut itu, suami menyuruhnya dan lima anak berusia antara lima hingga 17 tahun menyelamatkan diri dengan melompat keluar menerusi tingkap dan meninggalkannya sendirian berikutan kesukarannya bergerak. 

“Selepas berjaya menyelamatkan diri, saya dan anak-anak hanya mampu menjerit meminta tolong. 
“Kami bersyukur apabila penduduk kampung dan saudara mara datang membantu sekali gus berjaya mengusung suami saya menerusi tingkap dapur rumah,” katanya.

No comments:

Post a Comment