Search This Blog

Tuesday, November 23, 2010

Tertipu janji 'pasti kurus' syarikat kuruskan badan



SEREMBAN 22 Nov. - Gara-gara tertawan dengan iklan pusat menguruskan badan daripada sebuah katalog, seorang wanita sanggup menghabiskan wang sebanyak RM999 bagi mendapatkan rawatan di situ.
Malang sekali selepas tiga bulan menjalani rawatan dengan menghadiri sepenuhnya 61 sesi rawatan yang ditawarkan syarikat terbabit, wanita tersebut, S. Jaya, 37, mendakwa masih gagal menurunkan berat badannya iaitu 9 kilogram (kg) seperti dijanjikan.
Merasa tertipu dengan syarikat tersebut, Jaya membawa kesnya ke Tribunal Tuntutan Pengguna Seremban di sini pada 25 Oktober lepas.
Hari ini wanita tersebut dapat menarik nafas lega apabila Mahkamah Tribunal Tuntutan Pengguna Seremban memerintahkan syarikat terbabit, My Debeauty & Bodycare Slimming di Senawang mengembalikan semula wang sejumlah RM999 kepada Jaya.
Presiden Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia (TTPM), Mohd. Nasrim Mohd. Salleh memutuskan demikian selepas mendapati syarikat berkenaan gagal dalam memberikan perkhidmatan dijanjikan selain menipu pelanggannya dari segi iklan yang ditawarkan.
"Jelas sekali rawatan yang diberikan syarikat anda gagal menguruskan penuntut (Jaya) walaupun sebanyak 9 kg yang dijanjikan walaupun selepas dia membayar RM999 dengan jaminan gerenti kurus sebanyak 9 kg," kata Mohd. Nasrim dalam penghakimannya.
Sebelum itu, Mohd. Nasrim turut mengingatkan pemilik pusat tersebut supaya bersikap jujur dalam menjalankan perniagaan selepas mahkamah diberitahu oleh wakil syarikat yang hadir sebagai penentang bahawa jaminan gerenti kurus 9 kg itu hanya dalam pusat tersebut sahaja.
"Jadi maksud anda jaminan gerenti kurus ini hanya 'dalam' pusat sahaja tetapi di luar tidak ada gerenti. Jelas sekali syarikat anda cuba memperdaya pelanggan termasuk dengan iklan yang disiarkan dalam katalog ini," katanya.
Sementara itu, Jaya yang ditemui di luar mahkamah melahirkan rasa lega setelah berjaya mendapatkan semula wangnya.
"Ini bukan semata-mata kerana wang tetapi saya harap wanita di luar sana mengambil iktibar daripada kes saya ini supaya jangan mudah terpedaya," katanya.
Dalam pada itu, mahkamah yang sama turut mengarahkan sebuah syarikat, SmartSaver Technology untuk mengembalikan wang kepada seorang petugas kerajaan, K. Eeswary, 42, yang berasa tertipu dengan alat penjimatan elektrik keluaran syarikat itu.
Mohd. Nasrim mengarahkan syarikat tersebut memulangkan semula wang berjumlah RM200 kepada Eeswary dalam tempoh 14 hari selepas surat arahan daripada mahkamah itu dihantar ke pejabat syarikat itu di Shah Alam.
Dalam perbicaraan hari ini, SmartSaver Technology dan wakil jualannya di Pagoh, Rosdi Abdul Rahman tidak hadir ke mahkamah.
Mohd. Nasrim juga mengingatkan Eeswary supaya tidak lagi tertipu kerana Tenaga Nasional Berhad (TNB) sendiri tidak pernah mengiktiraf alat itu dan jurujual terbabit tidak menunjukkan surat kebenaran dari TNB.
Sementara itu, Eeswary memberitahu, dia membeli alat itu pada Februari tahun ini di Pagoh setelah diyakinkan oleh Rosdi bahawa bil elektrik rumahnya yang terpaksa ditanggung RM200 setiap bulan dapat dikurangkan sebanyak 30 peratus dengan alat penjimatan elektrik keluaran SmartSaver Technology.
"Tetapi selepas menerima alat itu dan menggunakan selama tiga bulan, tidak ada apa-apa perubahan pun dalam bil elektrik saya lantas ingin menuntut semula wang saya seperti dijanjikan tetapi syarikat lepas tangan," katanya.

No comments:

Post a Comment