Search This Blog

Thursday, November 4, 2010

Tak sempat lepas rindu

ALOR SETAR: “Saya pelik kerana arwah menghubungi saya pagi tadi (semalam), memberitahu dia tidak mahu kerja esok (hari ini), sedangkan dia sihat,” kata Azharuddin Che Nut, 30, suami Nurul Fitri Mohamad, 30, yang maut selepas pacuan empat roda polis dinaiki bersama empat rakan terbabas lalu terbalik di Kilometer 51.3 Lebuhraya Utara-Selatan berhampiran susur keluar Plaza Tol Alor Setar Selatan, semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 10.45 pagi itu, semua mangsa bertugas di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Muda, Sungai Petani selepas mengikuti kursus di Anak Bukit di sini, sejak empat hari lalu.

Difahamkan, ketika kejadian kenderaan dinaiki mangsa dalam perjalanan pulang ke IPD Kuala Muda selepas kursus dihadiri bersama rakannya ditamatkan lebih awal berikutan banjir yang semakin buruk di Alor Setar.

Mangsa bertugas di cawangan komunikasi IPD Kuala Muda, mati di tempat kejadian akibat parah di kepala manakala Nurul Akma Ramli, 25, yang bertugas di cawangan pengangkutan patah kaki.

Dua daripada mangsa yang cedera anggota polis dan seorang kakitangan IPD berkenaan.

Azharuddin berkata, Nurul Fitri yang berasal dari Lumut, Perak menghubunginya kira-kira jam 9 pagi semalam memberitahu dia akan pulang ke rumah dan tidak bertugas keesokan hari (hari ini).

“Arwah beritahu dia sangat rindu dua anak lelakinya iaitu Mohamad Faris Daniel, 4, serta Mohamad Alif Daniel, dua tahun.

“Bagaimanapun saya terkejut apabila dihubungi pejabatnya memberitahu isteri saya terbabit kemalangan di Alor Setar.
“Sebaik tiba di IPD Kuala Muda saya diberitahu isteri sudah tiada lagi dan dibawa ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB),” katanya.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Superintendan Ong Aik Chang berkata, berdasarkan maklumat, polis mendapati ketika menyusur keluar dari Alor Setar menghala ke Sungai Petani sebuah kenderaan pacuan empat roda menghimpit mereka menyebabkan pemandunya, seorang anggota polis hilang kawalan lalu terbabas ke dalam parit.

Katanya, kenderaan anggota polis itu remuk teruk dan terperosok ke dalam parit di tepi lebuh raya berkenaan menyebabkan seorang maut, seorang cedera parah manakala tiga lagi cedera ringan.

“Mangsa dan dua rakannya adalah kakitangan IPD Kuala Muda cawangan komunikasi dan pengangkutan manakala dua lagi anggota polis dari IPD sama,” katanya.

No comments:

Post a Comment