Search This Blog

Saturday, November 6, 2010

Satu maut, empat cedera parah


Kemalangan sebuah bas ekspress Transnasional di Kilometer 20, Jalan Kuantan-Nenasi meragut nyawa seorang penuntut Universiti Tenaga Nasional di Pekan, semalam.


PEKAN 5 Nov. - Sebuah bas ekspres membawa 33 penumpang terbabas sebelum terbalik di dalam tali air di Kampung Sungai Miang di sini, malam tadi menyebabkan seorang penumpang maut akibat lemas manakala empat lagi parah.
Kejadian berlaku kira-kira pukul 8.15 malam di Kilometer 20 Jalan Pekan-Nenasi, bas ekspres Transnasional itu dalam perjalanan dari Johor Bahru ke Kuantan.
Ketua Polis Daerah, Supritendan Yahaya Othman berkata, mangsa iaitu Ismail Natayuddin Hamdan, 25, penuntut Universiti Tenaga Nasional (Uniten) yang menjalani latihan praktikal di kawasan industri di Senai, Johor, maut kerana lemas disebabkan terperangkap di tempat duduk.
Menurutnya, empat penumpang yang parah pula kini menerima rawatan di Hospital Pekan.
"Bas berkenaan dikatakan berhenti rehat di Endau sebelum meneruskan perjalanan ke Kuantan.
"Apabila sampai di tempat kejadian, pemandu terbabit dipercayai hilang kawalan menyebabkan bas itu terbabas ke dalam tali air dan sebahagian kenderaan berkenaan dimasuki air," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.
Yahaya berkata, beberapa lagi penumpang mengalami cedera ringan dan mereka menerima rawatan pesakit luar di hospital tersebut.
Beliau memberitahu, pemandu bas tersebut dalam siasatan awal mendakwa, dia mendakwa pandangannya gelap ketika melalui jalan tersebut.
Bagaimanapun, jelasnya, siasatan akan dibuat secara menyeluruh sama ada pemandu terbabit memandu melebihi had laju atau sebaliknya.
Beliau berkata, tempat kejadian itu merupakan kawasan kemalangan maut kerana mempunyai beberapa selekoh tajam.
Katanya, pemandu bas terbabit ditahan untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1985.
Dalam pada itu, seorang penumpang bas tersebut, Ahmad Rethauddin Ramli, 36, berkata, bas yang dinaiki seperti bergoyang apabila melalui tempat tersebut.
Katanya, ramai penumpang menjadi panik kerana bas tersebut terbabas ke dalam tali air dan berusaha menyelamatkan diri dalam cuaca gelap.
"Saya bertanya kepada pemandu bas kenapa jadi macam ini, lalu dia menjawab dia tidak nampak jalan," katanya yang mengalami cedera ringan di telinga dan siku.
Bagi pelajar Tingkatan Tiga, Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Mersing, Nurain Shuhada Kamaruzzaman, 15, ketika kejadian, dia terjaga daripada tidur apabila rakan di sebelahnya menjerit memberitahu bas tersebut terbabas ke dalam tali air.
Katanya, rakannya memberitahu bas tersebut bergoyang sebelum kemalangan itu berlaku.

No comments:

Post a Comment