Search This Blog

Thursday, November 4, 2010

Remaja OKU dihanyut arus banjir



KUALA NERANG - “Ketika diajak makan bersama, dia tidak mahu sebaliknya hanya memerhatikan saya sahaja. Saya pelik dengan kelakuannya itu tetapi tidak menyangka rupanya itulah perubahan terakhir sebelum dia meninggalkan kami sekeluarga,” kata Rohani Baharum, 51, ibu kepada Zaki Amani Shaari, 13, OKU yang meninggal dunia akibat lemas setelah tergelincir lalu terjatuh dalam arus banjir petang kelmarin.

Menurutnya, dia mula menyedari kehilangan anak ke- 10 dari 11 beradik itu apabila abang mangsa, Salahudin Shaari, 14, pulang ke rumah memberitahu bahawa adiknya jatuh dalam arus banjir.

“Kami sekeluarga pergi mencarinya di kawasan itu tetapi tidak berjumpa. Turut membantu adalah orang kampung yang kebetulan ada berhampiran kawasan tempat anak saya jatuh,” katanya ketika ditemui di rumahnya, Kampung Charok Bongor, dekat sini, semalam.

Sementara itu, bapa mangsa, Shaari Ismail, 65, berkata, selepas gagal menemui mangsa, dia mengambil keputusan untuk membuat laporan polis mengenai kehilangan anaknya itu sekali gus meminta operasi mencari dilakukan.

Solehudin berkata, kejadian berlaku sekitar jam 3 petang ketika mereka berdua dalam perjalanan menuju ke kawasan sawah kerana mahu melihat orang memukat ikan.

“Dia menyuruh saya berjalan di depan dan dia di belakang . Selepas itu, saya tengok dia sudah tidak ada. Saya tidak dengar apa-apa, dia tidak menjerit tetapi hanya nampak kasunya dan kesan gelincir,” katanya.

Menurutnya, dia terus bergegas pulang memberitahu ibu dan ahli keluarga mengenai kejadian itu sehingga mereka pergi semula ke lokasi kejadian yang terletak kira-kira 500 meter dari rumahnya untuk mencari adiknya.

Rohani berkata, mereka yang dibantu penduduk kampung mengambil masa dua jam sebelum menemui mangsa di kawasan sawah yang dipenuhi air bah.

“Hampir dua jam kami mencari dan anak saya berjaya ditemui apabila orang kampung dari Barokhas menyelam di kawasan dasar sawah itu dan berjaya mengangkat naik anak saya. Ketika itu dia sudah tidak bernyawa lagi,” katanya.

Menurutnya, walaupun sedih dengan tragedi yang menimpa, namun dia tabah menghadapi suratan takdir kerana anaknya itu adalah anak lelaki yang ketiga meninggal dunia selepas dua daripadanya terlibat dalam kemalangan.

Sementara itu, mangsa merupakan pelajar Tingkatan Satu, Sekolah Menengah Kuala Nerang.

No comments:

Post a Comment