Search This Blog

Thursday, November 25, 2010

Rakyat Iran gagal seludup 8.15 kg syabu



SHAH ALAM 24 Nov. - Taktik dua lelaki Iran membungkus dadah jenis syabu dengan kertas karbon berjaya mengelakkan mereka daripada dikesan mesin pengimbas ketika melalui pemeriksaan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sabtu lalu.
Namun kecekapan polis yang memeriksa lanjut bagasi mereka secara manual selepas itu berjaya menemui 8.15 kilogram (kg) dadah jenis syabu bernilai RM2.1 juta.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) negeri, Asisten Komisioner Nordin Kadir berkata, kedua-dua suspek berusia 26 dan 35 tahun itu yang pertama kali berkunjung ke negara ini ditahan sejurus tiba di KLIA pukul 6 petang.
Katanya, pada awalnya barangan itu gagal dikesan oleh mesin pengimbas tetapi setelah bagasi mereka diperiksa, dua bungkusan ditemui dibalut dengan kertas karbon masing-masing seberat 4.1 kg dan 4.05 kg.
"Apabila balutan karbon itu dibuka ditemui pula bungkusan lut sinar yang dipercayai mengandungi dadah jenis syabu menyebabkan kedua-dua suspek ditahan untuk siasatan lanjut.
"Kesemua dadah tersebut seberat 8.15 kg dan bernilai RM2.1 juta dirampas bersama wang tunai sebanyak RM4,634.93," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Kontinjen Selangor di sini hari ini.
Nordin menambah, kedua-dua suspek dikenakan tahanan reman selama tujuh hari bermula semalam bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 39(B) Akta Dadah Berbahaya 1952.

No comments:

Post a Comment