Search This Blog

Monday, November 8, 2010

Pukul ADUN: Polis ambil keterangan 6 saksi


SHAH ALAM 7 Nov. - Polis telah mengambil keterangan enam orang saksi bagi membantu siasatan kes Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sekinchan, Ng Suee Lim yang mendakwa dipukul di Kampung Sawah Sempadan, Tanjung Karang pada Khamis lalu.
Ketua Polis Daerah Kuala Selangor, Supritendan Mohd. Taib Ahmad berkata, beberapa saksi lagi dipanggil bagi membantu siasatan kejadian tersebut esok.
Beliau berkata, dakwaan kes pukul itu disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun keseksaan iaitu menyebabkan kecederaan.
"Kita akan mengambil keterangan banyak lagi saksi selain menunggu laporan perubatan Suee Lim bagi melengkapkan siasatan.
"Setakat ini, belum ada tangkapan dibuat," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.
Dalam kejadian 4 November lalu, Suee Lim mendakwa mengalami lebam-lebam akibat dipukul di kepala dan tangan serta ditendang di perut semasa pergi ke Kampung Sawah Sempadan untuk menerima memorandum berhubung masalah petani di situ.
Turut didakwa dipukul ialah pembantu khas wakil rakyat DAP itu, Wong Ah Chia yang mengalami lebam di pipi kiri.
Suee Lim kemudian membuat laporan berhubung kejadian itu di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Selangor.
Seorang penduduk kampung yang terlibat dalam kejadian tersebut turut membuat laporan polis bagi menjelaskan situasi sebenar.

No comments:

Post a Comment