Search This Blog

Tuesday, November 30, 2010

Polis kesan Appu yang hilang


PADANG BESAR - Polis sedang mengesan seorang lelaki Samugam a/l Ramalingam, 43, yang juga dikenali dengan panggilan Appu, yang dilaporkan hilang sejak meninggalkan rumahnya di Taman Kim di sini pada 4 Okt lepas.

Appu, 43, yang bekerja sendiri, dipercayai hilang setelah keluar dari rumahnya di 114, Jalan Kasturi, Taman Kim, dengan memaklumkan kepada isterinya bahawa beliau keluar atas urusan kerja kira-kira pukul 2 petang.

Ketua Polis Daerah Padang Besar, Supt Che Man Md Dros berkata, Appu meninggalkan rumahnya dengan memandu kereta jenis Proton Saga berwarna coklat muda bernombor pendaftaran KAH 5071.

Beliau berkata, pada hari yang sama juga, Appu ada membuat panggilan kepada isterinya bertanyakan hal anak-anaknya kira-kira pukul 8.30 malam tetapi tidak memaklumkan lokasi beliau berada.

Bagaimanapun, sehingga 11 Okt lalu, beliau masih tidak pulang ke rumah sehinggalah satu laporan polis dibuat oleh isterinya pada hari yang sama kira-kira 10.35 pagi, katanya ketika dihubungi.

Che Man berkata, usaha mengesan Appu telah dibuat namun sehingga kini belum berhasil dan siasatan masih diteruskan sehingga kini.

Beliau berkata, Appu mempunyai ketinggian 180 sentimeter, berat 95 kilogram dan berbadan besar, berkulit gelap, berambut pendek, warna mata hitam, bermisai tebal, bentuk mata dan bulu kening sederhana, berhidung mancung dan memakai seluar jeans berwarna biru serta berkemeja lengan pendek berwarna putih pada hari beliau dilaporkan hilang.

Orang ramai yang mengenali atau pernah terjumpa Appu atau kenderaan miliknya diminta segera menghubungi pegawai penyiasat, Sarjan Hassan Abdullah Ibu Pejabat Polis Daerah Padang Besar menerusi talian 012-4598729 atau 04-9490824 atau berhubung dengan mana-mana balai polis yang berhampiran.

No comments:

Post a Comment