Search This Blog

Thursday, November 4, 2010

Pengawal keselamatan menyamar polis ditahan



04/11/2010 5:38pm

SHAH ALAM - Polis menahan seorang pengawal keselamatan yang dipercayai menyamar sebagai anggota polis dari ibu pejabat Bukit Aman, selepas lelaki itu merampas sejumlah wang tunai milik beberapa pekerja pembinaan warga Indonesia di tapak perumahan Seksyen U1, Bukit Jelutong di sini semalam.
Ketua Polis Daerah Shah Alam, ACP Noor Azam Jamaluddin berkata, dalam kejadian kira-kira pukul 10 pagi itu, pengadu yang merupakan pekerja pembinaan warga Indonesia di tapak perumahan itu didatangi oleh seorang lelaki yang memakai kemeja-T lambang polis dengan menunggang motosikal.
Beliau berkata, suspek yang berumur 37 tahun memperkenalkan diri sebagai anggota polis dari Bukit Aman dan meminta rakan-rakan pengadu yang tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah untuk menyerahkan RM50 kepadanya.
"Disebabkan takut, dua rakan pengadu menyerahkan RM50 tiap seorang kepada suspek dan suspek kemudian terus beredar,” katanya dalam sidang media di sini hari ini.
Noor Azam berkata, kira-kira pukul 6 petang kemudiannya, suspek kembali ke rumah kongsi yang di tapak perumahan yang sama dan sekali lagi meminta wang daripada pekerja-pekerja tersebut. - Bernama

No comments:

Post a Comment