Search This Blog

Monday, November 8, 2010

Musnah sekelip mata





MANTIN – Sebelas sekeluarga di Kawasan Merah, dekat sini tinggal sehelai sepinggang selepas rumah papan yang didiami mereka, musnah dalam kebakaran, petang kelmarin. 


Dalam kejadian kira-kira 6.15 petang itu, rumah papan yang disewa mereka sejak tiga tahun lalu hangus sekelip mata dipercayai akibat litar pintas. 


Lebih menyedihkan, keluarga berkenaan hanya mampu melihat semua barangan dan peralatan dalam rumah berkenaan hangus terbakar selepas tidak berjaya menyelamatkannya berikutan api terlalu marak. 


sebanyak empat jentera bomba dan penyelamat membabitkan 20 anggota dari Mantin, Seremban 2 dan Nilai bergegas ke tempat kejadian untuk memadamkan kebakaran. 


Seorang ahli keluarga, Shamsiah Abdullah, 50, berkata semasa kejadian, dia terdengar bunyi letupan kuat dari arah ruang tamu belakang rumah sebelum masing-masing bertempiaran menyelamatkan diri.


"Ketika itu, saya sedang mandi dan terkejut apabila anak dan cucu saya menjerit. Pada mulanya, saya tidak tahu mengapa mereka menjerit dan saya terus keluar dari bilik air. 


"Masa itu, saya lihat api sedang marak dan cuba memadamkannya, tetapi tidak berhasil. Saya hanya mampu berserah melihat satu demi satu bahagian dinding rumah dijilat api dengan cepat," katanya.


Shamsiah bagaimanapun bersyukur kerana suami, anak dan beberapa cucu yang tinggal bersama terselamat, tanpa sebarang kecederaan sekalipun kehilangan harta benda.


Sementara itu, Pegawai Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Mantin, Ghazali Maulud berkata, bomba menerima panggilan mengenai kejadian itu kira-kira 6.22 petang.


Menurutnya, sebanyak empat jentera bomba dan penyelamat membabitkan 20 anggota dari Mantin, Seremban 2 dan Nilai bergegas ke tempat kejadian sejurus selepas itu.


“Sebaik sahaja sampai ke tempat kejadian, api sudah marak. Bomba berjaya mengawal kebakaran daripada terus merebak dalam masa lima minit sahaja," katanya.


Beliau berkata, kebakaran itu tidak menyebabkan sebarang kemalangan jiwa dan punca kebakaran masih lagi disiasat.

No comments:

Post a Comment