Search This Blog

Monday, November 1, 2010

Mangsa kemalangan di Setiu dikebumi dalam satu liang lahad

BESUT: Empat sekeluarga yang terbunuh dalam kemalangan antara sebuah kereta dengan sebuah van di Setiu semalam dikebumikan dalam satu liang lahad di Tanah Perkuburan Padang Bual, Pasir Akar hari ini.
Mereka yang berasal dari Kampung Bukit China, Pasir Akar ialah Noorazyelwy Sidek, 32, adiknya Noorazry Elmy, 29, Noorafzan Efizalman, 16, dan anak perempuan Noorazry Elmy, Nor Amysha Maisarah, 1, Ibu kepada ketiga-tiga mangsa Zabedah Teh, 49, dan isteri Noorazry Elmy, Che Marina Awang, 23, turut hadir di tanah perkuburan itu.

Hujan lebat yang turun, tiba-tiba berhenti ketika pengkebumian hendak dijalankan.

Sebelum itu kereta jenazah yang membawa keempat-empat mangsa ke tanah perkuburan yang terletak kira-kira tiga kilometer daripada rumah Zabedah, terpaksa mengharung air banjir apabila jalan utama ke tempatan pengkebumian di Gertak Jerbong dinaiki air sedalam 0.3 hingga 0.6 meter.

Beberapa kampung di Besut kini dilandar banjir ekoran hujan lebat yang turun sejak semalam.

Turut terbunuh dalam kemalangan 1.30 petang itu di Km 67.5 Permasuri-Penarik berdekatan Kampung Nyatoh ialah penumpang van berkenaan, Mek Wook Yaakob, 76, yang meninggal di Hospital Setiu.

Kereta yang dinaiki keluarga itu sedang dalam perjalanan pulang dari Panarik, manakala van berkenaan yang sarat dengan 13 orang penumpang dipercayai sedang menuju ke arah Dungun.

Kereta itu dipandu Noorazydyelwy, kakitangan Universiti Malaysia Terengganu, manakala van itu dipandu Wan Mohd Mustaffa Zulkarnain, 45, penghantar barangan runcit di Jerteh.
Isterinya, Wan Samariah Wan Nawang, 47, cedera parah.

Menurut polis, kereta itu dikatakan terbabas ke kanan jalan akibat jalan yang licin ekoran hujan lebat lalu bertembung dengan van berkenaan yang datang dari arah bertentangan.-Bernama

No comments:

Post a Comment