Search This Blog

Thursday, November 4, 2010

Mangsa bimbang terputus bekalan



Sekolah Kebangsaan Seri Indra, Kangar turut ditutup ekoran banjir melanda bandar Kangar, semalam.


KANGAR 3 Nov. - Bandar Kangar yang kini ditenggelami air lebih dua meter diburukkan lagi dengan hujan lebat pagi ini, menyebabkan mangsa banjir mulai bimbang terputus bekalan makanan.
Menurut jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat, pihaknya menerima berpuluh-puluh panggilan daripada penduduk di sekitar Kangar yang membuat aduan tentang kekurangan bekalan makanan.
Keadaan ini semakin buruk apabila banyak kedai di sekitar Kangar menutup operasi berikutan paras air yang semakin meningkat.
Sehingga pukul 11 pagi ini kira-kira 8,000 mangsa dari 1,909 keluarga ditempatkan di lebih 40 pusat pemindahan di seluruh negeri ini.
Di Kangar, seramai 5,554 mangsa daripada 1,524 keluarga ditempatkan di 20 pusat pemindahan manakala di Padang Besar pula 1,034 mangsa daripada 270 keluarga kini berada di tujuh pusat pemindahan.
Seramai 926 mangsa dari 115 keluarga di Arau pula ditempatkan di sembilan pusat pemindahan.
Bagaimanapun, seramai 537 mangsa di Padang Besar sudah kembali ke rumah masing-masing termasuk 123 orang dari kawasan Titi Tinggi.
Beberapa buah pusat pemindahan banjir di Padang Besar seperti di Sekolah Kebangsaan (SK) Batu Bertangkup dan SK Guar Nangka telah ditutup.
Sementara itu, Pengarah Universiti Teknologi Mara (UiTM) Arau, Prof. Dr. Khudzair Ismail memberitahu lebih 8,000 pelajarnya termasuk 1,100 pelajar yang menetap di luar kampus ditempatkan dalam kampus utama UiTM di bandar itu.
Beliau berkata, bekalan makanan di UiTM sekarang mencukupi untuk tempoh dua hari sahaja manakala bekalan air sudah terputus sejak semalam.
"Namun begitu kakitangan UiTM akan berusaha untuk keluar dari kampus bagi mendapatkan bekalan makanan," ujarnya.

1 comment:

  1. memang sedih dan perit bile ingat balik peristiwa ni....
    kenangan utk sy di rantauan org

    ReplyDelete