Search This Blog

Friday, November 12, 2010

Ibu, 2 anak hilang di India


CHENNAI 11 Nov. — Seorang wanita warga Malaysia yang tiba di kampung asalnya di sini dari Malaysia, hilang bersama dua anaknya yang masih kecil sejak Isnin lepas, kata polis.
Butiran yang diperoleh daripada polis daerah menyatakan M. Adhila Banu, 24, anak lelaki Mohd. Aslam, 7, dan anak perempuan Ajira Banu, 5, kali terakhir dilihat pergi ke kedai runcit di kawasan kediamannya untuk membeli silinder gas memasak pada sebelah tengah hari.
Insiden itu berlaku di Barathi Nagar di bandar Ramanathapuram, Tamil Nadu.
"Ketiga-tiga mereka adalah warga Malaysia dan suami wanita itu berada di Malaysia. Kami masih mencari mereka bertiga dengan bantuan seorang saudaranya.
"Kami berusaha mengesan panggilan yang dibuat menggunakan telefon bimbitnya tetapi belum memperoleh petunjuk di mana mereka berada," kata seorang pegawai penyiasat polis kepada Bernama ketika dihubungi hari ini.
Ibu wanita yang hilang itu, Saibu Nisha, 56, membuat laporan polis selepas ketiga-tiga beranak itu tidak pulang ke rumah pada hari berkenaan.
Kehilangan mereka menimbulkan kebimbangan kepada polis tempatan ekoran beberapa kes kanak-kanak yang diculik di negeri sebelah selatan itu baru-baru ini untuk mendapatkan wang tebusan.
Polis menyiasat dari semua sudut termasuk kemungkinan wujud hubungan sulit.
Ramanathapuram terletak kira-kira 500km dari Chennai. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment