Search This Blog

Sunday, November 14, 2010

Geng rompak bersenjata api tumpas, 4 ditahan


Zulkifli Abdullah menunjukkan senjata dan barangan yang dirampas selepas penangkapan empat penjenayah pada sidang akhbar di Ipoh, semalam.


IPOH 12 Nov. – Polis berjaya menumpaskan sebuah kumpulan perompak bersenjata api yang memperoleh hasil rompakan lebih RM1.1 juta dengan penahanan empat lelaki di sekitar bandar raya ini dan Sitiawan beberapa hari lalu.
Dalam serbuan tersebut, polis turut merampas sepucuk pistol jenis Remington Rand Inc. dan satu kelopak berisi enam butir peluru hidup daripada salah seorang suspek.
Antara barang curi yang ditemui semula termasuk sebuah kereta Toyota Vios, empat unit komputer riba, 11 telefon bimbit, dua monitor komputer, tiga unit pemprosesan pusat (CPU) dan sebuah mesin pencetak.
Turut ditemui, dua alat sistem penentu kedudukan global (GPS), satu set pemanas air, sebuah kamera digital dan sepasang subang.
Ketua Polis negeri, Datuk Zulkifli Abdullah berkata, bertindak atas maklumat orang awam, polis menangkap seorang lelaki yang memandu kereta Toyota Vios di kawasan Lapangan Lagenda 1, Kampung Rapat di sini pukul 8.50 malam, Selasa lalu.
Katanya, pemeriksaan ke atas kereta tersebut mendapati ia kenderaan curi yang dilaporkan hilang di Sitiawan.
“Hasil soal siasat ke atas lelaki tersebut, polis berjaya menangkap seorang lagi lelaki di sebuah rumah di Taman Seri Berjaya di sini dan merampas sebahagian barang kes yang dilaporkan hilang di Kampung Rapat.
“Susulan itu, polis menahan seorang lagi suspek dan merampas sepucuk pistol dengan enam peluru hidup di sebuah rumah di Taman Ayer Tawar Jaya, Sitiawan dan seorang lagi suspek di Kampung Datuk Seri Kamaruddin, Sitiawan, kelmarin,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Menurut Zulkifli, siasatan polis mendapati, kumpulan perompak itu sangat berbahaya kerana sering membawa senjata seperti pistol dan parang semasa melakukan jenayah, walaupun belum ada laporan berlaku kecederaan dan kematian setakat ini.
Katanya, sejak Januari lalu, geng terbabit dipercayai terlibat dalam 10 kes pecah rumah, lima kes samun bersenjatakan parang dan satu kes samun bersenjata api di negeri ini.
“Berdasarkan siasatan setakat ini, kumpulan penjenayah ini terlibat dalam 11 kes di sini dan lima kes di Manjung dengan nilai kerugian mencecah RM1.1 juta. Kita tidak menolak kemungkinan mereka terlibat dalam kes-kes lain,” katanya.
Dua daripada empat suspek yang ditahan, berasal dari Sungai Siput manakala dua lagi dari Manjung.
Mereka mempunyai rekod kesalahan lampau dalam kes curi, dadah dan akta bahan hakisan dan letupan, katanya.
Zulkifli memberitahu, keempat-empat suspek berusia antara 31 hingga 41 tahun itu kini ditahan reman sehingga 16 November ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan.
“Kita sedang menyiasat kemungkinan terdapat saki baki ahli kumpulan ini serta rangkaian mereka,” ujar beliau.
Dalam pada itu, Zulkifli menasihatkan orang ramai supaya sentiasa berwaspada sekiranya melihat ada individu mencurigakan yang memerhati premis perniagaan atau kediaman mereka.

No comments:

Post a Comment